HILUX yang dipandu berhenti sebaik tiba di halaman rumah. Melihat sebuah Proton Iriz, Raid menggeleng. Lepas tiga minggu tidak balik, akhirnya balik juga adiknya. Kata Mina dia sibuk dengan aktiviti di kampus.
Tapi Raid faham saja. Biasalah pelajar universiti. Dulu dia pun begitu. Yang pelik kalau setiap minggu adiknya balik. Satu yang buat Raid bahagia sekarang dia tak perlu lagi susah payah ambil dan hantar Mina. Senang kerjanya.
Turun dari Hilux, Raid melangkah menuju ke belakang rumah. Ada kerja yang perlu diselesaikan.
"Tolong!"
Langkah kaki terhenti apabila dengar jeritan seseorang. Suara yang sangat asing di telinga. Mata mula mencari dari mana datangnya suara itu. Pusing belakang dilihat seorang gadis sedang lari menuju ke arahnya. Cemas sekali wajah itu. Apabila tiba di hadapannya, tidak sempat mulut bersuara gadis itu tiba-tiba melompat naik ke belakang badan."Hoi!" Raid pula terkejut dengan tindakan gadis itu.
"Tolong!"
Mahu pecah gegendang telinga apabila gadis itu menjerit. Keadaan mula kelam kabut. Kalaulah ada orang kampung nampak keadaan mereka begini pasti ada yang salah anggap.
"Turunlah!" Langkah kaki Raid sudah tidak stabil apabila terpaksa menampung berat badan gadis itu. Ditambah lagi gadis itu yang tidak duduk diam. Bila-bila masa saja mereka boleh jatuh ke tanah.
"Tak nak!"
Raid cuba menolak tangan yang melingkar pada lehernya tapi gagal. Malah kaki gadis itu sudah mengunci kakinya. Raid mula kalut dengan situasi tak dijangka ni. "Baik kau turun sekarang."
"Takut!"
"Takut kenapa?" Suara Raid sama tinggi. Kepala cuba paling untuk melihat wajah itu tapi gagal. Sekejap dia ke kiri, sekejap ke kanan. Cuba untuk tak tumbang.
"Itu. Itik kejar."
Dan-dan waktu itu Raid perasan binatang yang disebut gadis muda itu. Memang ada beberapa ekor. Sesaat dua mulut Raid melopong sambil memandang itik.
"Halau itik tu. Nanti dia makan Rhea."
Tersedar, mudah saja Raid halau ayam-ayam itu dengan angkat sebelah kaki. Kemudian diturunkan gadis muda yang membahaskan diri sebagai Rhea itu. Terasa badan ringan terus Raid pusing. "Kau ni tak kenal binatang ke? Itu angsa bukan itik!"
Tinggi suara memarahi. Panas hati apabila gadis itu panjat belakangnya.
"Handsomenya!"
Melopong Raid dengar pujian yang keluar. Ingat Rhea akan marah dia kembali.
"Tak sangka handsome macam ni."
"Gila!" Dengus Raid lalu kembali melangkah. Tapi lengannya yang dipegang buat kaki berhenti. Perangai Rhea betul-betul bikin hati panas. "Kau ni kenapa sesuka hati pegang orang?"
"Rhea tak salah. Itik tu kejar Rhea. Rhea cuma nak selamatkan diri je."
Rhea dipandang atas bawah. Elok gadis itu mengenakan gaun bawah lutut digayakan dengan sneakers. Rambut pula dilepas bebas. Sekilas tengok memang nampak normal. "Itu angsa." Raid beritahu lagi sambil ketap gigi.
"Ikut suka hati Rhealah nak panggil itik."
"Ikut kaulah!" Raid melangkah. Rhea panggil dia pekakkan telinga. Malas melayan. Entah datang dari planet mana, tiba-tiba muncul di rumahnya. Dan sekarang muncul di depannya. Raid tarik nafas. "Kenapa ikut aku? Kau nak apa?"
Bukannya mahu jawab tapi gadis itu hanya tayang senyum. "Jangan cari pasal dengan aku. Aku masih marah dengan kau.""Saya Rhea."
Raid pandang saja Rhea yang hulur tangan untuk bersalam. Dia tidak menyambut. Tahu halal haram. "Aku tak nak berkenalan."
"Rhea nak berkenalan dengan abang. Abang...nampak menarik!"
Terpejam Raid dengan kejujuran Rhea. Buka mata, tak sempat mulut bersuara apabila dia nampak Mina berlari anak menuju ke arah mereka.
"Abang. Rhea."
Adiknya kenal Rhea?
YOU ARE READING
RAID
Romance10 tahun bergelar duda, RAID tak pernah terfikir untuk kahwin lain. Kecurangan yang dilakukan oleh bekas isteri memberi satu tamparan yang hebat dalam hidupnya. RAID trauma dengan perkahwinan. Sehinggalah... "Rhea jatuh cinta dengan abang." - RHEA K...