Part 3 : Ibu Kota Cinta

3.5K 89 13
                                    

Kesihatan Pak Lah semakin pulih, kakinya semakin sembuh dan kini dia sudah boleh berjalan perlahan-lahan tanpa bantuan. 

Hari ini, anak-anaknya berkumpul di hospital untuk melawat dan menyambut berita baik yang lama dinantikan — Pak Lah akhirnya dibenarkan pulang. Ruang bilik hospital yang selama ini sunyi menjadi meriah dengan suara anak-anak dan gelak tawa kecil yang berkumandang.

Rahmat, anak sulungnya, berbual panjang dengan ayahnya, mengenang semula zaman kecil mereka di kampung, di mana kebun dan sawah menjadi saksi kesungguhan Pak Lah membesarkan mereka. 

Rahman dan Rashid turut berkongsi cerita lucu masa lalu yang selalu mengingatkan mereka pada ketegasan tetapi kasih sayang seorang ayah. Bagi Pak Lah, perbualan itu menceriakan hatinya yang selama ini sering rindu akan kehadiran anak-anaknya.

"Sekarang, ayah tinggal dengan saya dulu ya, sampai betul-betul sembuh," kata Rahmat lembut, tetapi dengan nada yang jelas tak boleh dibantah.

Pak Lah tersenyum pahit, hatinya masih berat meninggalkan kampung. Tetapi, demi tidak mahu melukakan hati anak-anaknya, dia bersetuju untuk tinggal sementara di rumah Rahmat, sekurang-kurangnya sampai kakinya benar-benar pulih.

Sehari di rumah Rahmat, Pak Lah lebih banyak termenung, duduk di beranda sambil memandang jauh ke luar tingkap. Dia merasakan kejanggalan dalam hidup kota yang serba sibuk dan bising ini, sesuatu yang berbeza daripada kesederhanaan dan ketenangan di kampung. 

Setiap pagi, dia melihat Rahmat keluar awal menuju ke hospital, dan ketika itu Saleha, menantunya, baru pulang dari syif malam. Pak Lah memerhatikan bagaimana kehidupan mereka berputar — Rahmat sibuk dengan kerjaya sebagai doktor, dan Saleha sebagai jururawat. 

Waktu untuk bersama suami isteri kelihatan begitu terhad, sehingga membuatkan Pak Lah terfikir. "Tak hairanlah kenapa mereka belum ada anak, masa untuk bersama pun hampir tiada," bisiknya sendirian dengan hati yang penuh prihatin.

Pada petangnya, ketika Rahmat pulang, Pak Lah mengambil kesempatan untuk bertanya dengan lembut, "Mat, ayah perhati kamu dengan Saleha jarang ada masa bersama. Tak teringin ke nak ada anak?"

Rahmat hanya tersenyum kecil sambil melepaskan keluhan halus. "Ayah, saya dan Saleha nak sangat anak. Takde rezeki lagi, kami dah berusaha."

"Kan ayah dah bagi kamu petua, minum rebusan air tongkat ali, makan gambir serawak tu, untuk bagi kamu kekuatan batin.." ayahnya lembut mengingatkan kembali nasihatnya semasa dia mendirikan rumah tangga.

"Tapi buat masa sekarang, saya perlu fokus pada kerjaya juga. Kami mahu betul-betul stabil dulu, baru akan mencuba lagi." balas Rahmat, dirinya yang bekerja sebagai doktor pakar, hanya memandang endah nasihat ayahnya untuk mencuba kaedah kampung yang difikirnya agak kolot.

Pak Lah mengangguk, cuba memahami keutamaan anak-anaknya yang berbeza dengan nilai-nilai yang dipegangnya selama ini dan dia juga tidak mahu memaksa. Bukan tanggungjawabnya untuk masuk campur hubungan kekeluargaan mereka.

Namun, hatinya kecilnya tidak dapat menafikan bahawa kebahagiaan dalam keluarga bukan semata-mata pada pencapaian, tetapi juga pada keakraban dan kasih sayang yang diberi dan diterima.

Keesokan harinya, Pak Lah tiba-tiba diserang demam panas. Dia terlupa untuk menghabiskan ubat antibiotik yang diberi semasa di hospital. Badannya menggigil kesejukkan, membuatkan dia terpaksa berbaring sepanjang hari. Dia tidak mahu menghubungi dan menganggu anak-anaknya yang sedang sibuk bekerja.

Saleha, menantunya, melangkah masuk ke rumah yang sunyi selepas hari yang panjang di tempat kerja. Masih lagi berpakaian seragam nurse, berbaju putih, dan melihat sekeliling, dia merasakan rumah itu luar biasa sunyi. 

Menantu adalah NikmatWhere stories live. Discover now