Bab 1

1.6K 20 0
                                    

Tak sempat bersarapanlah pagi ni, nampaknya. Jaida mengeluh keseorangan di dalam bilik air asrama ketika loceng untuk sarapan berbunyi. Menyesal pula rasanya malam tadi tidur lewat. Sudahlah tidur lewat, kemudian bila terasa lapar, dia dan Shifa telah sepakat makan mi segera. Akibatnya, pagi ini sudah lebih 20 minit dia berada di dalam bilik air. Perutnya meragam.

Bila Jaida sudah siap mandi, berpakaian dan memakai kasut sekolah, semua pelajar sudah meninggalkan dewan makan dan masing-masing menuju ke kelas. Jaida cuma sempat meneguk air kosong yang disimpan di tepi katil.

Shifa sedang menunggunya di hadapan kelas 5 Mutiara bila dia sampai.

"Kau lari pecut ke tadi?" tegur Shifa. Jaida tersengih sambil tercungap-cungap.

"Aku lambat, tadi sakit perut lama betul." Jaida mengusap-usap perutnya yang masih terasa berangin. "Kau pula, tak sakit perut ke makan lewat dengan aku semalam?" dia bertanya kepada Shifa.

"Perut aku tahan lasak, tak ada masalah. Kalau tak makan sehari suntuk pun, masih boleh bertahan," gurau Shifa.

Jaida hanya menepuk bahu rakannya itu, kerana hakikatnya dia tahu, mereka sama-sama kuat makan.

"Aku nak mintak sikit minyak angin kau, boleh?" pinta Jaida. Dia tahu Shifa kerap membawa minyak angin ke kelas, semata-mata untuk menghilangkan mengantuk. Shifa menghulurkan sebotol kecil minyak geliga.

"Nah, kau pergi sapu dekat perut kau sekarang. Sekejap lagi Puan Wardah masuk, kita ada ujian bulanan Matematik Tambahan," kata Shifa dan membuatkan Jaida terkejut.

"Ya Allah! Hari ni ke ujian? Aku belum buat ulangkaji!" Mata Jaida terbeliak sedikit, jantungnya berdegup kencang. Matematik Tambahan ialah salah satu subjek yang paling menakutkan. Hari ini bakal menjadi satu episod ngeri kerana dia langsung tidak bersedia. Seandainya dia gagal, dia akan menjadi pelajar pertama daripada kelas 5 Mutiara di Sekolah Seri Dahlia yang akan memegang rekod itu.

"Jangan bimbang, IQ kau tinggi. Mesti boleh buat!" Shifa cuba menyedapkan hati rakannya. "Apa-apa pun, kau sapu minyak dulu dekat perut kau tu. Nanti masa ujian, Insya Allah rasa selesa sikit."

Jaida akur dengan cadangan Shifa. Baju kurung diselak sedikit supaya senang untuk menyapu minyak ke perut. Untung juga belajar di sekolah perempuan. Bila keadaan terdesak dan dia perlu melakukan aksi-aksi sebegini, tiada siapa yang ambil peduli.

"Assalamualaikum kelas!" Kedengaran suara Puan Wardah lantang memecah keheningan kelas 5 Mutiara pagi itu. Semua pelajar kelam-kabut bangun, berdiri tegak dan menyambut salam yang diberikan.

"Waalaikumsalam Puan Wardah!"

Puan Wardah menyuruh mereka semua duduk. Wajahnya kelihatan begitu serius pagi ini.

Kesemua 30 orang pelajar 5 Mutiara mengambil tempat masing-masing. Buku-buku teks dan rujukan disimpan di bawah meja ketika melihat Puan Wardah sudah bersedia untuk mengedarkan kertas ujian.

Jaida duduk di belakang sekali, di barisan meja bersebelahan dengan Shifa. Minyak angin dikembalikan kepada tuan empunya. Jaida bersandar di kerusi bila perutnya terasa lega sedikit.

Walau bagaimanapun, sebelum sempat Jaida melepaskan nafas lega, perutnya bergejolak kembali bila melihat soalan-soalan pada kertas ujian yang baru sahaja diletakkan oleh Puan Wardah.

Susahnya!



JuaraWhere stories live. Discover now