Bab 4

650 17 1
                                    

"Dah lama tunggu saya?" sapa Puan Wardah sebaik sahaja menghampiri Jaida dan Shifa yang sedang berdiri tegak. Peluh memercik di dahi masing-masing. Walaupun jam sudah menunjukkan pukul 5.15 petang, pancaran matahari masih terik membakar.

"Taklah puan, baru 15 minit je," jawab Shifa sambil menyeka peluh dengan lengan baju sukan.

Mereka berdua mengenakan pakaian mengikut rumah sukan masing-masing. Jaida dari rumah Kuning, manakala Shifa pula dari rumah Biru. Kemeja-T yang dikenakan melambangkan rumah sukan masing-masing. Seluar sukan pula, dua-duanya berwarna hitam.

Puan Wardah terus membiarkan mereka berdiri. Dia sendiri juga sedang berdiri tegak berhadapan dengan Jaida dan Shifa. Dia mahu mereka ambil cabaran yang bakal diberikan ini dengan serius. Puan Wardah ingin mereka belajar sesuatu yang penting tentang cabaran-cabaran hidup, tentang menjadi manusia yang bertanggungjawab dan yang paling penting ialah untuk memupuk semangat kepimpinan dalam diri mereka.

"Saya sudah fikirkan masak-masak tentang perbincangan kita pagi tadi," Puan Wardah memulakan. Jaida dan Shifa menahan nafas, berdebar-debar. "Mulanya saya terfikir untuk menghantar surat kepada ibu bapa kamu tentang perlakuan kamu yang tidak beretika. Meniru semasa ujian atau peperiksaan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Bukannya kamu tak tahu, betul tak?"

"Betul puan," Jaida dan Shifa menjawab serentak dan hati mereka juga menjadi lebih bimbang. Apa kata mak dan ayah nanti? Pasti mereka kecewa. Lebih-lebih lagi, tahun ini mereka akan menghadapi peperiksaan SPM.

"Jadi, oleh kerana kamu berdua ni sudah besar panjang, dan sudah berada di tahun akhir di sekolah ini, saya rasa tindakan sebegitu akan memburukkan lagi keadaan," ujar Puan Wardah sambil menekankan perkataan 'tahun akhir' dan 'memburukkan' agar dua orang pelajar itu sedar kesan langsung daripada perlakuan mereka pagi tadi. "Maka, saya sudah menukar rancangan. Saya tidak akan tulis surat kepada ibu bapa kamu." Puan Wardah tersenyum tawar.

"Alhamdulillah," kata Shifa sambil meraup mukanya dengan kedua-dua tapak tangan seolah-olah mengaminkan berdoa. Lega.

"Sebagai hukuman kepada perbuatan kamu pagi tadi, saya akan memberikan satu cabaran yang besar," terang Puan Wardah, kini dengan senyum lebar.

"Apa cabarannya puan?" tanya Jaida penuh rasa gusar. Harap-harap ia tiada kaitan dengan Kelab Matematik sekolah. Menurut pelajar-pelajar lain, itu kelab paling menakutkan kerana di setiap perjumpaan, para ahli diwajibkan menjawab soalan-soalan matematik.

Jaida agak lemah Matematik. Dia sendiri hairan bagaimana dia boleh berada di dalam kelas cemerlang seperti 5 Mutiara.

Shifa pula berharap, cabaran itu tiada kena-mengena dengan acara marathon yang bakal berlangsung bulan depan. Dia cuma mampu berlari 1 km. Lebih daripada itu, dia akan pengsan.

"Saya mahu kamu berdua hidupkan kembali pasukan sofbol sekolah kita," Puan Wardah menyampaikan hajatnya. Jaida dan Shifa tercengang-cengang.

"Bukankah pasukan sofbol kita sudah berkubur, puan?" tanya Shifa penuh musykil.

Kali terakhir dia melihat pasukan sofbol Sekolah Seri Dahlia menyertai sebarang kejohanan adalah pada 3 tahun lepas, ketika itu dia baru di tingkatan 2. Selepas itu pasukan sofbol telah dibubarkan kerana mereka tidak pernah menang sebarang kejohanan dan langsung tidak mendapat sambutan dari pelajar-pelajar sendiri. Ramai pelajar yang lebih cenderung kepada sukan bola keranjang, bola jaring dan hoki. Sejak dahulu lagi sukan sofbol dipandang sepi.

"Ya, betul. Sudah 3 tahun Sekolah Seri Dahlia ini tiada pasukan sofbol. Tahun ini, saya memberikan amanah kepada kamu berdua untuk menghidup dan menaikkan sukan sofbol di sekolah ini. Kalau kamu gagal, maka terpaksalah saya teruskan rancangan untuk menghantar surat kepada ibu bapa kamu," kata Puan Wardah sedikit berbaur ancaman.

"Insya Allah boleh puan," jawab Jaida dengan suara bergetar. "Kami akan cuba hidupkan kembali, tapi..."

"Hah! Tapi apa pula?" Puan Wardah menjegilkan mata kepada Jaida.

"Kami semua tak tahu permainan sofbol puan," jawab Jaida sambil tertunduk, tidak mampu melawan mata Puan Wardah yang bersinar tajam.

"Ya saya tahu. Oleh sebab itu, saya beri kamu berdua masa seminggu untuk mempelajarinya. Minggu depan, pada petang Khamis kita akan melakukan pemilihan pasukan sofbol sekolah," kata Puan Wardah dengan tegas.

Mulut Jaida dan Shifa terus ternganga. Seminggu?

"Siapa yang akan mengajar kami puan?" tanya Shifa yang tidak pernah aktif bersukan. Dunianya hanya komik manga.

"Kamu boleh gunakan segala kemudahan yang ada di sekolah ini untuk melakukan kajian. Perpustakaan, pusat sumber, pusat komputer, gimnasium dan rakan-rakan yang lain. Kamu boleh gunakan semua itu untuk mula belajar tentang sofbol."

Jaida dan Shifa terdiam. Buntu.

"Maksud puan, tiada jurulatih?" tanya Jaida, bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarinya sejak tadi.

"Saya sedang usahakan. Kalau kita berjaya dapatkan jurulatih dari maktab perguruan dekat-dekat sini, itu sudah cukup bagus." Puan Wardah berjalan mengelilingi dua pelajar yang sedang cuba mencerna maklumat tentang cabaran mereka.

"Harap-harap dapat," bisik Jaida.

"Harap-harap lelaki kacak," sambung Shifa pula. Puan Wardah terus mengangkat kening kepadanya sebagai amaran supaya mengambil cabaran itu dengan serius.

"Itu tak penting. Ada jurulatih atau tidak, cabaran ini tetap akan diteruskan. Semuanya bergantung kepada kamu berdua. Mulai hari ini, saya melantik kamu, Jaida sebagai pengurus pasukan dan Shifa pula selaku penolong pengurus. Kamu boleh mulakan misi kamu sekarang."

Puan Wardah berlalu meninggalkan mereka berdua di tepi gimnasium sekolah. Peluh masih membasah dahi Jaida. Shifa cepat-cepat pergi berteduh di sebuah bangku di tepi dinding.

"Apa kita nak buat ni?" Shifa menggaru-garu kepala. Jaida duduk bertinggung di tepi longkang.

"Habislah kita, akupun tak tahu di mana kita nak mula." Jaida menyapu peluh di dahi dengan sapu tangan.

"Malam ni, masa prep kita pergi perpustakaan. Kita mulakan research tentang sofbol," cadang Shifa.

"Hmm, bagus juga tu," Jaida bersetuju.

Kemudian mereka berjalan beriringan pulang ke bangunan asrama. Mereka berjalan perlahan, terasa seperti ada beberapa batu besar sudah diletakkan di atas bahu mereka. Menubuhkan pasukan sofbol adalah satu misi besar. Untuk menghidupkannya kembali supaya mendapat sambutan hangat daripada para pelajar adalah misi mustahil.

JuaraWhere stories live. Discover now