Bilik rehat blok Kenanga gelap dan senyap sunyi ketika Jaida dan Shifa melangkah masuk.
"Assalamualaikum," Jaida memberi salam dengan perlahan.
"Waalaikumsalam," Shifa menyahut kemudian dia ketawa kecil kerana terasa seperti itu sesuatu yang melucukan. "Kalau aku tak jawab tadi, agak-agak ada jin yang menyahut tak?" Soalnya membuatkan Jaida mengerut kening, kurang senang dengan gurauan sebegitu.
"Syyy! Jangan sebut-sebut pasal jinlah malam-malam ni," tegur Jaida.
Suis lampu dan kipas dipetik. Shifa terus menghidupkan televisyen yang terletak di hujung bilik. Kerusi, meja kopi dan rak majalah tersusun kemas di dalam bilik yang dilengkapi permaidani kuning cair itu.
Jaida meletakkan buku-buku yang mereka pinjam dari perpustakaan tadi di atas salah satu meja kopi, termasuklah dua buah buku Softball for Dummies.
Suara televisyen diperlahankan. Bunyi nyanyian seorang penyanyi Korea yang sedang ligat menari kedengaran sayup-sayup sahaja. Jaida merenung televisyen seketika sebelum mula mengeluarkan beberap helaian nota yang sempat dibuat di perpustakaan tadi.
"Boleh kita mula?" tanya Jaida bila melihat Shifa masih mencari sesuatu dari dalam beg kanvas hijau yang sering dibawanya ke hulu ke hilir.
"Sekejap ye, aku nak cari pen biru saiz 0.5," kata Shifa. Dia mesti menulis dengan pen yang bersesuaian. Untuk menulis nota yang senang dibaca, dia perlukan pen berwarna biru dengan saiz mata 0.5mm. Untuk membuat lakaran komik pula, dia gemar menggunakan pen berdakwat hitam dengan saiz mata 0.25mm. "Hah! Dah jumpa pun." Shifa membawa keluar sebatang pen yang dibelinya dengan harga hampir mencecah 10 ringgit minggu lepas.
"Bagus, aku rasa kita memang terpaksa melukis beberapa gambar untuk memahami sukan sofbol ni," kata Jaida dengan gembira.
Mendengar kata-kata Jaida, Shifa mengeluarkan pula pen yang bersaiz 0.25 dan 0.75mm. "OK, aku dah bersedia untuk melukis!"
"Kita dah bersetuju untuk fokus tentang cara permainan sofbol sahaja malam ni, bukan?" Jaida meminta kepastian dan Shifa mengangguk.
"Ya, aku akan mulakan dengan melukis gelanggang sofbol," kata Shifa dan tangannya terus bergerak pantas melakar di atas kertas putih.
"Gelanggang sofbol diberi nama diamond kerana bentuknya seperti berlian," Jaida mengingatkan. Shifa tersengih-sengih.
"Ya, ya, aku tahu," ujar Shifa dan terus melukis hingga siap. "Ha, betul tak aku lukis ni?" tanya Shifa.
Jaida memeriksa lakaran rakannya lalu membandingkan dengan gambarajah dalam buku yang dibacanya tadi.
"Home plate di sudut bawah sekali, first base di sebelah kanan, second base di atas, bertentangan dengan home plate. Third base di sebelah kiri dan pitcher's plate di tengah-tengah diamond. Tepat sekali! Baguslah kau Shifa," Jaida memuji rakannya.
"Seterusnya aku akan lukis kedudukan pemain pula," kata Shifa sambil mula melakar gambar beberapa orang kecil yang memakai topi. Jaida memerhati rakannya melukis dengan penuh minat. Shifa memang dilahirkan dengan bakat melukis yang semulajadi. Dia boleh melakar dengan cantik dan pantas. Sekejap sahaja gambar semua pemain telah berjaya disiapkan.
"Setiap pasukan ada 9 orang pemain yang akan mengisi setiap posisi yang kaulukiskan dalam gambar ini," Jaida merujuk kepada tempat-tempat yang ditanda oleh Shifa dengan gambar orang kecil.
"Yang paling penting, ialah catcher yang duduk di belakang home plate dan pitcher yang duduk di tengah-tengah diamond untuk melontar bola kepada pemukul, betul?" Shifa mula berkongsi apa yang difahaminya daripada pembacaan tadi.
"Betul. Bijak kawan aku ni rupanya," Jaida memuji lalu Shifa tersenyum tersipu-sipu. "Catcher pula berperanan untuk menangkap bola-bola yang dilontar oleh pitcher, tak kisahlah samada pemukul berjaya memukul atau tidak," tambah Jaida.
"Lagi satu yang paling penting, kita mesti ingat, bila satu pasukan memukul, pasukan lawannya akan melakukan fielding atau memadang, iaitu menjaga posisi-posisi dalam gambar ni," Shifa mula berasa seronok.
"Ada lagi satu yang paling penting yang kau belum sebut," Jaida menyampuk. "Setiap perlawanan biasanya ada 7 innings, bermaksud ada 7 kali pertukaran pasukan yang memukul dan fielding."
"Ya, tapi jumlah innings bergantung kepada undang-undang pertandingan juga, kan?" Shifa mengingatkan rakannya.
"Yalah, betul kata kau. Besok, tolong ingatkan aku untuk tanya dengan Puan Wardah berapa innings yang ditetapkan untuk Liga daerah." Jaida mencatat sesuatu dalam buku nota kecil.
"OK, sekarang aku tanya kau. Bagaimana setiap pasukan boleh mengumpul mata?" Shifa memulakan soalan kuiz kepada Jaida pula.
"Ah, senang. Pasukan yang memukul, mestilah mendapatkan sebanyak larian ataupun run," jawab Jaida.
"Hah! Cuba terangkan, apa itu run?" satu lagi soalan diutarakan.
"1 run akan dikira bila pemukul berjaya menamatkan satu pusingan larian dalam diamond. Dia mesti melalui first base, second base dan tiba di home plate semula," terang Jaida penuh yakin.
"Bagaimana pula caranya untuk pasukan yang sedang fielding untuk menghalang pasukan yang sedang memukul daripada mengumpul run?" Soalan daripada Shifa kian mencabar. Jaida terdiam sejenak untuk memikirkan jawapan yang paling tepat.
"Ada beberapa cara. Pertama - Pasukan yang sedang fielding boleh tag pemukul yang sedang berlari ke arah base. Kedua - pitcher boleh lontar bola yang strike sebanyak 3 kali dan pemukul tak berjaya pukul. Ketiga - bila pemukul memukul bola tinggi ataupun istilahnya fly ball, pasukan yang fielding, boleh menangkap bola itu sebelum cecah tanah. Secara otomatik, pemukul itu akan dikira out." Jaida terhenti untuk menghela nafas sebentar sebelum menambah, "Tangkapan fly ball yang sebegitu dipanggil clean catch."
"Eh, aku rasa kita dah pergi jauh sangat ni. Itu dah termasuk dalam undang-undang permainan sofbol. Kita sepatutnya bincang tentang asas permainan dulu, kan?" kata Shifa sambil menyemak buku Dummies di hadapannya.
"Betullah, kita ni advance sangat," kata Jaida, baru tersedar. Terlalu asyik menerangkan apa yang baru dibaca tadi, rupanya dia sudah terbabas.
"Ada sesuatu yang aku nak sebut sejak tadi. Pengadil perlawanan sofbol dipanggil umpire," kata Shifa.
"Wah, banyak betul istilah dalam Bahasa Inggeris, kan?" Giliran Jaida pula menyemak buku-buku rujukan mereka.
"Biasalah, perlawanan ni berasal dari Amerika. Kalau istilah-istilah untuk perlawanan sepak takraw, mestilah dalam Bahasa Malaysia," Shifa mengingatkan rakannya.
"Kalau kita jadikan istilah-istilah ni ke Bahasa Malaysia, mesti pelik, kan? Fly ball akan jadi bola terbang. Clean catch akan jadi tangkapan bersih," kata Jaida lantas ketawa.
"Ada lagi satu yang kelakar, short stop akan jadi pendek berhenti!" Shifa pun ketawa sama.
"Oh, ya lah! Short stop yang posisinya antara pitcher dan third base. Tapi, itu posisi yang sangat penting, tau!" Jaida mengingatkan.
"Ya, dia bertanggungjawab untuk menangkap bola-bola yang dipukul dan jatuh di dalam diamond. Dia juga yang paling mudah untuk mematikan pelari dari pihak lawan!" Shifa menerangkan dan Jaida mengangguk-angguk.
"Sekarang tiba-tiba aku rasa cuak," tiba-tiba Jaida membuat pengakuan. Shifa merenungnya penuh tanda tanya.
"Kenapa pulak? Tadi aku tengok kau bukan main teruja!" tanya Shifa.
"Macam mana kita nak buat pemilihan pemain nanti? Berapa ramai pelajar yang berminat dengan sofbol?" Jaida menyuarakan kerisauannya.
"Kita perlu buat kempen besar-besaran, nampaknya," cadangan daripada Shifa. Jaida termenung panjang lagi.
"Ah, malam ni sebelum tidur, kita fikirkan, ya?" kata Jaida sebelum menguap panjang. Masing-masing baru tersedar jam sudah menunjukkan pukul 1 pagi.
YOU ARE READING
Juara
Teen FictionDua orang pelajar, Jaida dan Shifa ditangkap cuba meniru ketika ujian. Mereka mati-mati menafikannya. Bagi menyelamatkan diri daripada dihukum kedua-duanya bersetuju menyahut cabaran guru mereka untuk menubuh dan memimpin sebuah pasukan sofbol untuk...