Puan Wardah sengaja menukar baju lambat-lambat di dalam bilik persalinan. Dia tahu Jaida dan Shifa sudah tercegat berdiri di tepi gimnasium sekolah seperti yang diarahkannya tadi. Hatinya masih berang. Belum pernah ada pelajarnya yang berani meniru sewaktu ujian. Ini merupakan kali pertama. Ini adalah rekod ada pelajar dari kelas 5 Mutiara di Sekolah Seri Dahlia yang meniru ketika ujian!
Kalau yang meniru itu pelajar kelas tercorot, mungkin dia boleh maafkan. Tetapi Jaida dan Shifa pelajar kelas 5 Mutiara, kelas untuk pelajar-pelajar terbaik untuk tingkatan 5 di sekolah ini.
Setelah melihat jawapan masing-masing di kertas ujian tadi, hati Puan Wardah kian membara. Kedua-dua mereka memberikan jalan kerja untuk 'persamaan pembezaan', walhal soalan yang diberikan adalah tentang 'pengkamiran'. Puan Wardah yakin mereka meniru bulat-bulat daripada nota kecil yang diseludup masuk ke dalam kelas. Mungkin nota itu yang bertukar tangan ketika ujian berjalan pagi tadi.
Jaida dan Shifa menidakkan sangkaan Puan Wardah ketika mereka bertemu selepas kelas tadi. Mereka bermati-matian mempertahankan diri masing-masing.
"Puan, kami tak meniru tadi. Saya cuma minta minyak angin daripada Shifa," Jaida cuba menerangkan.
"Betul Puan. Jaida sakit perut tadi. Saya cuma bagi dia minyak angin saya," tambah Shifa pula.
Suasana di dalam bilik guru jadi tegang seketika bila Puan Wardah tidak mempercayai alasan mereka. Guru-guru lain cuma memerhatikan mereka bertiga. Puan Wardah hampir menyinga bila melihat kelakuan Jaida dan Shifa yang seperti acuh tak acuh. Dia sudah bercadang untuk menghantar surat rasmi kepada ibu bapa mereka berdua. Mungkin selepas itu mereka akan ambil serius tentang pelajaran.
Tetapi itu kisah pagi tadi, ketika dirinya dikuasai perasaan marah. Setelah Jaida dan Shifa beredar dari bilik guru, Puan Wardah terfikirkan sesuatu. Ilham yang datang itu membuatkannya tersenyum kegembiraan. Cepat-cepat dia pergi memberitahu Jaida dan Shifa agar menunggunya di gimnasium sekolah tepat pukul 5 petang.
Sekarang inipun, dia masih tersenyum ketika mengenakan setokin dan kasut sukan. Kalau dua orang pelajar ini mampu merealisasikan impiannya, dia akan menjadi guru yang paling gembira di dunia.
YOU ARE READING
Juara
Teen FictionDua orang pelajar, Jaida dan Shifa ditangkap cuba meniru ketika ujian. Mereka mati-mati menafikannya. Bagi menyelamatkan diri daripada dihukum kedua-duanya bersetuju menyahut cabaran guru mereka untuk menubuh dan memimpin sebuah pasukan sofbol untuk...