Shifa melonggokkan 5 buah buku tentang permainan sofbol di atas meja perpustakaan. Jaida membawa 3 buah lagi.
"Kita akan khatam 8 buku ni, malam ni jugak!" kata Shifa penuh bersemangat.
"Hmm.. aku rasa mungkin kita baca 6 sahaja," kata Jaida.
"Mengapa pula?" Shifa kehairanan dan melihat semula tajuk kesemua buku yang telah berjaya mereka kumpulkan.
"2 tajuk paling bawah ni ialah buku tentang besbol."
"Oh, tak sama ya?" tanya Shifa, belum mengerti.
"Ada banyak sangat perbezaan. Tapi, kedua-duanya sangat digemari di Amerika," terang Jaida.
"Mana kau tahu? Aku sangkakan kau juga tak pernah berminat dengan sofbol?" Shifa duduk dan mula membuka buku yang pertama.
"Tadi aku sempat membaca salah satu majalah sukan dekat depan sana. Kebetulan ada cerita tentang besbol," Jaida tertawa kecil.
Seperti Shifa, dia juga tidak aktif bersukan dan tidak begitu berminat dengan sukan. Dia lebih gemar duduk di bilik rehat asrama sambil membaca novel. Dia dan Shifa menjadi rakan karib kerana kedua-duanya kerap meluangkan masa di bilik rehat asrama, melayan hobi masing-masing. Shifa dengan lakaran komik manga manakala Jaida dengan novel-novel kegemarannya.
Tadi merupakan julung-julung kalinya dia membaca sebuah majalah sukan luar negara. Harap-harap itu bukan kali terakhir kerana banyak lagi maklumat tentang sofbol yang perlu dibaca.
"Jadi, kita patut mulakan dengan buku undang-undang sofbol atau sejarah sofbol?" Shifa mengangkat dua buah buku dan menjajakannya kepada Jaida.
"Hmm.." Jaida berfikir sejenak. "Mungkin kita patut mulakan dengan Softball for Dummies." Jaida menunjuk ke arah sebuah buku berwarna oren di celah-celah timbunan buku di atas meja.
"Secara tak langsung, adakah kita berdua ni dummies?" gurau Shifa. Jaida ketawa hingga tersedak-sedak.
Perpustakawati yang sedang bertugas memberikan isyarat agar mereka tidak membuat bising. Cepat-cepat Jaida menutup mulutnya.
"Maaf, over reacting pula aku ni. Buku dummies ni ditulis oleh orang cerdik pandai, untuk orang cerdik pandai juga!" Jaida berbisik perlahan. Perpustakawati bertugas masih merenung ke arah mereka.
"Baiklah, sekarang dah pukul 8 malam. Kita mesti habiskan buku Dummies ni sebelum pukul 11 malam, setuju?" Shifa memberikan saranan.
"Setuju, aku akan ambil satu lagi dari rak. Kita akan baca serentak. Inilah peluang untuk mempraktikkan kaedah bacaan pantas yang kita belajar semester lepas." Jaida terus bersemangat dan berkejar ke rak buku-buku rujukan sukan.
Mereka khusyuk membaca buku tentang sukan sofbol tersebut sehingga perut Shifa mula berkeroncong. Dia mengerling jam besar di dinding perpustakaan.
"Dah 10.55 sekarang, Jaida. Nak teruskan?" Rasa lapar mula menguasai Shifa. Milo panas dan biskut lemak di dewan makan sudah terbayang-bayang di ruangan mata.
"Sikit lagi. Tinggal 1 bab saja lagi aku nak habiskan buku ni," kata Jaida tanpa mengangkat muka.
"Bagus, malam ni kita bincang selepas minum malam di bilik rehat blok asrama kau ya?"
"OK," balas Jaida sepatah, masih lagi asyik dengan pembacaan.
YOU ARE READING
Juara
Teen FictionDua orang pelajar, Jaida dan Shifa ditangkap cuba meniru ketika ujian. Mereka mati-mati menafikannya. Bagi menyelamatkan diri daripada dihukum kedua-duanya bersetuju menyahut cabaran guru mereka untuk menubuh dan memimpin sebuah pasukan sofbol untuk...