Jalanan Jaida dan Shifa menjadi kian berliku menjelang hari pemilihan pemain. Sebanyak 15 poster sudah ditampal di papan-papan kenyataan di blok asrama dan kelas. Berita tentang pemilihan pemain sofbol itu juga sudah diuar-uarkan kepada pelajar-pelajar di setiap kelas. Malangnya, Timi tidak bersedia untuk bekerjasama mengajar mereka berdua kemahiran asas sukan sofbol.
"Aku tak mahu lagi terlibat dengan sofbol," jawab Timi dengan ringkas bila Jaida dan Shifa bertanya apakah alasannya tidak mahu mengajar mereka.
"Kami cuma minta tolong kau ajar kami berdua, bukan minta kau main," Jaida merayu pada Timi.
"Tapi, kalau kau mahu jadi pemain sekolah semula, itu lebih bagus," tambah Jaida. Dia memang berharap Timi dapat bersama-sama pasukan yang bakal ditubuhkan supaya dia boleh berkongsi pengalamannya.
"Aku tak akan main sofbol lagi sampai bila-bila. Itu pendirian aku. Harap kamu berdua faham dan hormati," tegas Timi.
Shifa merasa hampir hendak berputus asa bila Timi menolak mentah-mentah permintaan mereka, tetapi Jaida masih ingin mencuba nasibnya.
"Sekali saja Timi. Aku cuma minta tolong dengan kau untuk ajar kami sekali saja. Lepas tu kami takkan ganggu kau lagi," Jaida cuba memberikan keyakinan.
"Banyak lagi sukan lain. Buat apa kamu beria-ia nak belajar sofbol? Lagipun, pasukan sofbol sekolah dah lama dibubarkan." Timi masih dengan pendiriannya tadi membuatkan Jaida serba salah. Dia malu untuk berkongsi dengan Timi tentang cabaran Puan Wardah. Dia tidak mahu Timi tahu tentang surat amaran yang hampir dihantar kepada ibu bapanya.
"Tak mengapalah Timi, kami tak boleh paksa kau." Akhirnya Jaida mengalah. "Tapi, kalau tiba-tiba hati kau terbuka untuk membantu kami, kehadiran kau sentiasa kami alu-alukan," tambahnya, masih menggantungkan sedikit harapan.
"Kalau kau betul-betul berminat nak belajar, kau boleh tengok vide-video tentang sofbol di pusat sumber sekolah. Kalau tidakpun, kau boleh tengok di laman YouTube. Macam-macam teknik kau boleh belajar di situ," Timi tiba-tiba memberikan sedikit tip.
"Terima kasih Timi. Malam ini juga kami akan ke pusat sumber." Shifa menggenggam tangan Timi. Walaupun sama tingkatan, tetapi inilah kali pertama mereka berbual-bual dengan Timi. Selama ini mereka hanya pernah terserempak sekali sekala dan tidak bertegur sapa pun.
Cabaran paling besar dalam menubuhkan pasukan sofbol ini pastinya ialah interaksi dengan pelajar-pelajar dari pelbagai latar belakang. Sepanjang tempoh persekolahan, Jaida dan Shifa kerap ke hulu ke hilir berdua sahaja. Mereka tidak punya ramai kawan. Entah mengapa agaknya. Adakah kerana mereka agak pendiam, ataupun mereka sendiri tidak begitu berminat untuk mengumpul kawan-kawan?
"Kalau Timi, bekas pemain sekolahpun tak berminat nak tolong kita, kau ingat pelajar-pelajar lain akan tolong ke?" Kerisauan Jaida kian menggunung. Dia mencuit bahu Shifa yang sedang menyiapkan satu lagi poster untuk ditampal di bahagian tepi gimnasium, di mana taklimat dan pemilihan pemain akan dilakukan sebentar lagi.
Mereka berdua berdebar-debar menanti pelajar-pelajar keluar dari dewan makan untuk meneruskan aktiviti sukan petang ini. Berapa orang agaknya yang akan singgah di tepi gimnasium? Adakah mereka terbaca poster-poster yang telah ditampal? Adakah yang benar-benar berminat untuk menyertai pasukan sofbol?
Bermacam-macam lagi persoalan mengasak minda Jaida dan Shifa. Ketika kempen dari kelas ke kelas dilakukan, kebanyakan pelajar cuma menyatakan 'Insya Allah' bila dijemput datang menghadiri pemilihan.
"Kau rasa, ada ke yang akan datang ke sesi pemilihan kita ni?" tanya Jaida, mula hilang keyakinan bila sekumpulan pelajar yang keluar dari dewan makan terus menuju ke arah gelanggang bola keranjang dan kumpulan berikutnya menghala ke gelanggang hoki.
"Insya Allah ada. Kita tunggu saja," ujar Shifa sambil menampal poster yang baru disiapkan.
"PEMILIHAN PEMAIN SOFBOL WAKIL SEKOLAH - Jangan lepaskan peluang ini!"
Memang menarik poster yang dihasilkan oleh Shifa. 5 orang pelajar tingkatan satu singgah di tepi gimnasium.
"Uniklah poster ni, kak! Macam lukisan komik manga," puji pelajar yang berambut kerinting ditocang satu. Shifa tersenyum bangga kerana hasil kerjanya dihargai.
"Adik nak sertai pasukan sofbol?" tanya Jaida kepada mereka. Kelima-lima mereka tersenyum-senyum.
"Oh, minta maaf kak, kami dah jadi pelapis pasukan bola jaring," kata pelajar berambut kerinting tadi.
"Cikgu kata boleh masuk satu jenis permainan saja," tambah rakannya yang memakai tudung biru.
"Tak mengapa, kalau tiba-tiba nanti adik berubah minat. Bolehlah sertai pasukan sofbol," kata Shifa untuk menyedapkan hatinya sendiri.
"Insya Allah, kak!" kata pelajar bertudung biru. Mereka berlima tiba-tiba berlari ke arah gelanggang bola jaring bila terdengar bunyi wisel ditiup.
"Nampaknya pasukan lain dah mula latihan untuk sukan daerah. Kita baru terkial-kial nak cari pemain," kata Jaida, sedikit kecewa.
"Pasukan lain dah buat pemilihan 2 minggu lepas. Ini bermakna, semua ahli sukan yang bagus-bagus sudah dipilih. Entah siapalah yang akan datang sertai kita, ya?" tanya Shifa.
"Mereka-mereka yang tak cukup bagus?" teka Jaida.
"Aku rasa, mereka-mereka yang bijak pandai," jawab Shifa penuh yakin sambil berdiri menghadap dewan makan dan melambai-lambai.
Sekumpulan pelajar seramai 4 orang sedang berlari ke arah mereka.
Jaida menoleh. Dia kenal keempat-empat pelajar yang sedang berlari itu - Rina, Amy, Jaja dan Natrah. Mereka pelajar-pelajar tingkatan 3 yang juga ahli kelab sains. Jaida pernah menjadi pengacara majlis untuk pertandingan kuiz sains. Dia tahu mereka berempat itu dari kelas 3 Mutiara dan memang bijak-bijak belaka. Hati Jaida jadi kian risau.
"Shifa, kita nak cari ahli sukan, bukan ahli kelab geek," kata Jaida bila ternampak betapa tebalnya cermin mata Rina.
"Ingat kata-kata Puan Wardah, sofbol ni permainan psikologi. Jadi, sofbol tak sama macam sukan lain," Shifa mengingatkan rakannya yang langsung tidak yakin dengan 4 orang pelajar yang sudah berada di hadapan mereka.
"Kak Jaida, kami nak masuk sofbol!" kata Rina dan 3 lagi rakannya terus bersorak.
Jaida hanya tersenyum, tidak mampu berkata apa-apa. Shifa mengeluarkan sehelai kertas lalu dikepilkan kepada fail biru yang diberikan oleh Puan Wardah.
"Kamu berempat boleh tulis nama dulu di sini. Kemudian, boleh pergi panaskan badan, ya?" Shifa menghulurkan fail biru dan sebatang pen kepada mereka.
Keempat-empat pelajar kelihatan begitu teruja. Selepas menulis nama, mereka terus berlari-lari anak di tepi gimnasium manakala Jaida dan Shifa pula menyiapkan peralatan untuk menguji kebolehan setiap daripada mereka.
YOU ARE READING
Juara
Teen FictionDua orang pelajar, Jaida dan Shifa ditangkap cuba meniru ketika ujian. Mereka mati-mati menafikannya. Bagi menyelamatkan diri daripada dihukum kedua-duanya bersetuju menyahut cabaran guru mereka untuk menubuh dan memimpin sebuah pasukan sofbol untuk...