Pelajar-pelajar lain sedang tekun menulis cara kerja untuk setiap soalan ujian yang diberikan oleh Puan Wardah. Hanya Jaida dan Shifa yang sedang berpeluh dingin. Semua soalan sudah dibaca beberapa kali, tidak satupun yang mampu dijawab. Jaida memarahi dirinya sendiri di dalam hati kerana langsung tidak teringat tentang ujian pada pagi ini. Kalau dia ingat, pasti malam tadi dia akan berjaga untuk mengulangkaji. Tetapi, malam tadi dia begitu asyik membaca novel cinta yang dipinjamnya daripada Shifa.
Shifa juga memarahi dirinya. Malam tadi dia tidur lewat gara-gara menyiapkan 5 mukasurat komik manga untuk satu pertandingan. Dia ingat pesanan Puan Wardah tentang ujian ini minggu lepas, tetapi sengaja dilengah-lengahkan untuk mengulangkaji.
Padan muka aku, bisik Shifa dalam hati.
15 minit masa berlalu, kertas jawapan Jaida dan Shifa masih kosong, tidak berjawab. Di saat itu juga perut Jaida memulas kembali. Dia menoleh ke arah Shifa yang sedang merenung kosong kertas ujian di mejanya.
"Shifa, nak minyak angin," kata Jaida seperlahan yang mungkin. Bimbang didengari Puan Wardah yang sedang berjalan dari meja ke meja.
"Hah?" tanya Shifa kembali.
"Minyak angin!" ulang Jaida, kuat sedikit kerana Puan Wardah sudah berada di bahagian hadapan kelas, membelakangi mereka.
Shifa mengeluarkan minyak geliga tadi dari kocek baju kurungnya dan menghulurkan kepada Jaida.
"Nah!" bisik Shifa antara dengar dengan tidak. Jaida cepat-cepat mencapai minyak yang dihulurkan dan meletakkannya di ruang bawah meja.
Serentak dengan itu juga Puan Wardah menoleh. Dia telah nampak dengan ekor matanya apa yang berlaku di bahagian belakang kelas. Rasa syak mula cambah bila dia terdengar bunyi soh seh soh seh tadi. Puan Wardah berjalan laju ke arah Jaida.
"Jumpa saya selepas kelas," bisik Puan Wardah ke telinga Jaida. Kemudian dia beralih pula kepada Shifa lalu berbisik, "Saya nak jumpa awak juga selepas kelas nanti."
Jaida dan Shifa berpandangan. Puan Wardah masih berdiri sambil bercekak pinggang di hadapan mereka. Mata kuyunya sengaja dibulatkan untuk menambahkan keresahan dua pelajar itu. Kemudian, dia menuding ke arah kertas ujian Jaida.
"Jawab cepat, tinggal 20 minit saja lagi," kata Puan Wardah sebelum melihat kertas ujian Shifa pula.
Guru Matematik Tambahan itu hanya menggeleng-geleng bila ternampak lukisan karikatur manga di sudut kiri bawah kertas ujian. Shifa tersenyum malu dan cuba menyembunyikan gambar yang dilukisnya tadi dengan lengan baju.
"Saya tak pernah lihat kaedah pengkamiran yang begitu jalan kerjanya," bisik Puan Wardah memperli Shifa.
Shifa dan Jaida tertunduk penuh sesalan. Memandangkan jarum jam terus berjalan tanpa mempedulikan penyesalan mereka, kedua-duanya terus bertawakkal sahaja dan cuba menjawab soalan berdasarkan apa yang terlintas di kepala.
YOU ARE READING
Juara
Teen FictionDua orang pelajar, Jaida dan Shifa ditangkap cuba meniru ketika ujian. Mereka mati-mati menafikannya. Bagi menyelamatkan diri daripada dihukum kedua-duanya bersetuju menyahut cabaran guru mereka untuk menubuh dan memimpin sebuah pasukan sofbol untuk...