Bab 4

1.9K 61 0
                                    

Bab 4

ABBY termenung melihat Diela sedang nyenyak melelapkan mata di ruang tamu bersama komputer riba yang masih terang menyala. Tak sangka sungguh sebegitu kentalnya semangat Diela untuk mencari pekerja baru buat bosnya. Hailah, sampai macam ini teruknya Diela bekerja semata-mata untuk mencari pengganti dia buat bekerja di pejabat itu. Neraka dunia, Diela kata.

"Bos! Saya dah jumpa pengganti bos!" Abby terkejut beruk mendengar suara Diela yang kedengaran sungguh bersemangat itu. Mana datang bosnya? Mengigau rupanya. Dia baru hendak mengejutkan Diela daripada tidur terbongkang di ruang tamu itu. Abby menahan gelak.

"Saya dah jumpa! Betul!!" Diela menekan perkataan 'betul' itu.

"Eh bos, jangan pandang saya tak ada mata tau? Saya berjaya cari pekerja yang tak capang macam telinga saya. Kali ini telinga dia kecil je macam telinga alien!" Diela membebel lagi.

Abby sudah pun keras perut menahan tawa. Dia tergolek-golek di lantai menahan rasa lucu yang menebak di dada. Teruk betul penangan bos Diela sampaikan gadis itu termengigaukan dia. Sampai masuk mimpi! Perut dipegang kuat. Rasa nak pecah perut menahan gelak dengan telatah Diela itu.

"Apa ni bos? Betullah," kali ini suara Diela meninggi sehingga melengking suaranya. Tentu dia bermimpi yang dia sedang bergaduh dengan bosnya. Abby tersenyum-senyum. Idea nakal muncul. Dia mengeluarkan telefon bimbitnya untuk merakam igauan kawannya itu. Besok pagi, siaplah kau, Diela! Diela membebel-bebel geram. Abby mengemam bibirnya. Bimbang tawanya bakal membuatkan Diela terjaga.

"Eeee! Dah cari pekerja telinga kecil pun tak kena juga! Hantu punya bos!" jerkah Diela kuat. Abbyterhinggut mendengar jerkahan itu namun kemudian, dia sudah senak perut menahan tawanya daripada terhambur keluar.

"Memang kau ni bos paling hantu yang pernah aku jumpa! Hantu pun lari dapat bos macam kau!" Diela menjerkah lagi. Wajah Abby sudah memerah sakan. Diela membahasakan dirinya aku dengan 'bos' dalam mimpinya itu. Maknanya, dia betul-betul marah! Siapalah bos Diela yang sebenarnya? Teringin juga Abby hendak melihatnya.

Sudah beberapa kali Diela menyebut ayat 'hantu punya bos' itu. Hantu betul agaknya. Teruk sungguh perangainya. 'Sampai trauma kawan aku yang seorang ni. Aduhai. Kasihan.' Dia melihat tangan Diela menggagau-gagau ke awangan. Alahai. Kelakar sungguh Diela. Diela manusia paling comel yang dia pernah jumpa. Telatahnya, sentiasa mencuit hati.

"Dee, bangun. Tidur dalam bilik," akhirnya Abby berkeputusan untuk mengejutkan Diela dari tidurnya. Tidak sampai hati mahu melihat muka mencuka kawannya yang sedang mengigau itu. Dia sudah mengah menahan rasa lucu. Diela tersentak hebat apabila badannya digoyang-goyangkan. Takut-takut sahaja wajahnya.

"Aku ingatkan aku tertidur di pejabat tadi. Mujurlah kau yang kejutkan aku," dia berkata tidak lama kemudian. Dia mengurut-urut dadanya kelegaan dengan tangan kanan sambil tangan kirinya menggenyeh mata. Abby tergelak. Takut bos dia kejutkanlah tu! Sekali kena petir, terus segar mata. Diela berpisat-pisat bangkit dari tidurnya.

"Kau ni, tak teragak-agak langsung nak mengigau. Teruk betul. Mujurlah yang lain dah tidur, Diela oii. Kalau diorang tengok keadaan kau tadi, jadi hot issue kau," Abby mengutuk selamba. Diela berkerut-kerut.

"Masa bila aku mengigau? Aku ada mengigau ke, babe?" Diela menyoal Abby dengan nada panik. Abby tergelak juga akhirnya.

"Dah, dah. Sekarang kau pergi tidur. Besok kau sambung buat iklan tu. Besok, baru aku jawab sama ada kau mengigau atau tidak beserta bukti yang sahih," Abby berkata selamba. Dia pergi melangkah ke dalam bilik tidurnya meninggalkan Diela yang terpinga-pinga sendirian di ruang tamu. Diela mencebikkan bibir dan mengangkat bahunya. Bukti?

Hantu Punya Bos!Where stories live. Discover now