Keesokan harinya aku memulakan hari seperti biasa. Tanpa semangat. Tanpa wajah ceria. Juga tanpa senyuman. Yang ada hanyalah rasa sedih dan rasa sakit yang masih berbekas dalam hati serta lenganku.
Masuk saja waktu rehat, aku terus menuju ke satu tempat rahsia untuk meluahkan perasaan sedih yang terbuku dalam hati. Tiada pelajar lain yang sanggup melepak di sana kerana tempat itu tersembunyi dan dikelilingi lalang serta rumput.
Sebaik saja aku sampai di bangunan tangki air lama yang terletak di belakang sekolah, aku terus duduk di atas sebuah bangku kecil.
Nafas kuhela panjang. Cerita ibu tentang Mak Su Kinah menjengah ke fikiran. Jadi itu penyebab mak su membenci ibu. Kini segalanya sudah terbongkar. Aku mulai mengerti...
"Nuha tahu kan ibu ni bekas pelacur?"
Aku angguk. Masakan aku tak tahu kerana sejak kecil Mak Su Kinah dan Pak Su Azam tak pernah berhenti memberitahu aku tentang hakikat itu. Hakikat ibu yang paling aku sayang ternyata seorang bekas pelacur! Pada mulanya aku tak faham. Namun apabila aku semakin menginjak dewasa, aku cukup faham istilah itu.
Aku pernah benci ibu disebabkan perkara itu. Aku marah dan langsung tak nak cakap dengan dia. Aku memang tak boleh terima betapa kejinya pekerjaan ibu dulu.
Tapi apabila otak dah mampu berfikir dengan baik, hati dah mampu menilai dengan sempurna, aku mulai faham. Itu semua adalah masa lalu ibu. Masa lalu yang sudah lama dia tinggalkan. Lagipun aku hanya ada ibu di dalam dunia ini. Masakan aku mahu membencinya. Aku sayang dia. Sayang sangat-sangat!
"Waktu ibu kecil, ibu diberi ilmu agama yang terbaik oleh arwah mak dan ayah ibu. Ibu dan Kinah tak pernah tinggal solat, tak pernah tinggal mengaji dan selalu ikut mak ayah pergi surau. Tapi semenjak arwah atuk Nuha meninggal, perangai ibu mula berubah. Ibu makin berani melawan cakap mak."
Satu keluhan berat dilepaskan oleh ibu. Air mata yang mengalir ke pipi diseka dengan jari. Pasti hati ibu sakit apabila membuka kembali kenangan berdarah itu.
"Ibu berdosa dengan arwah mak. Ibu gagal menjadi anak yang baik. Ibu gagal jadi kakak yang baik untuk Kinah. Setiap kali Kinah ingin mendekati ibu, ibu langsung tak layan dia. Ibu lebih pentingkan kawan-kawan. Mungkin sejak itu Kinah menyimpan dendam kepada ibu. Hmmm..."
Aku tetap diam. Lebih baik aku menjadi pendengar sahaja.
"Tamat saja sekolah, ibu nekad untuk ikut kawan ibu ke Kuala Lumpur atas alasan nak cari kerja dan timba pengalaman. Arwah mak tak izinkan ibu pergi tapi ibu degil. Ibu tetap pergi."
Ibu terdiam lama. Wajahnya jelas menggambarkan penyesalan.
"Ibu tinggalkan arwah mak dan Kinah di kampung. Namun hidup di Kuala Lumpur tidak seindah yang disangka, sayang. Ibu hidup susah dekat sana. Berbulan-bulan ibu cari kerja tapi ibu tak dapat satu kerja pun. Mungkin sebab ibu dah derhaka dengan arwah mak. Timbul keinsafan untuk pulang ke kampung tapi... Ibu dihalang. Ibu dihalang oleh kawan ibu. Dia menawarkan ibu satu pekerjaan. Melihat hidupnya yang serba-serbi mewah, ibu nekad untuk jadi seperti dia. Ibu jadi pelacur, Nuha. Pelacur..."
Air mataku semakin lebat. Ya Allah, tabahkan hati ini untuk mendengar hakikat yang satu itu.
"Selepas beberapa bulan hidup mewah dengan hasil duit haram, ibu disahkan mengandung. Ibu mengandungkan Nuha."
Kemas aku mengepal penumbuk. Terasa hati ini tidak berdaya lagi ingin mendengar semua itu. Ya Allah...
"Kehadiran Nuha benar-benar satu rahmat bagi ibu. Hanya Allah saja yang tahu betapa ibu bersyukur dengan kehadiran Nuha dalam hidup ibu."

YOU ARE READING
Mencari Si Pelengkap Hati
General FictionTajuk: Mencari Si Pelengkap Hati Penulis: Farisha Imani Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-0890-65-4 Harga: RM25 (Semenanjung) // RM28 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Oktober 2015 Diskaun : RM3 Postage : Percuma Cara Beli : www.karyaseni.my @ Aplikasi K...