Bab 4

2.6K 72 0
                                    

"Nuha... Nuha... Bangun, sayang. Nuha..." Aku dapat rasakan ada tangan yang mengusap ubun-ubunku. Hangat usapan itu buat aku makin lena diulit mimpi.

"Nuha... Dah maghrib ni, nak. Bangun solat dulu, sayang." Suara ibu menjengah ke telinga.

Mata aku celikkan perlahan-lahan. Walaupun wajah ibu masih kabur, aku sudah mampu mengukir senyuman. Apabila pandangan aku seratus peratus sudah jelas, aku bangun lalu mendakap tubuh ibu dengan kemas.

"Ibuuu..."

"Ya, sayang..." Belakang aku terasa diusap penuh kelembutan.

"Dah pukul berapa ni, bu?" Aku bertanya dalam keadaan yang masih mamai.

Seingat aku, selesai saja memasak di dapur tadi, aku terus masuk ke dalam bilik. Bersihkan diri, solat asar dan selepas itu aku terlelap. Sedar-sedar saja sekarang dah pukul...

"Dah pukul tujuh setengah, nak. Nuha penat, ya. Sebab tu ibu tengok anak dara ibu ni tidur lena. Ibu kejutkan pun tak dengar."

Bibir ibu mengukir sebuah senyuman nipis. Ibu berdiri kemudian sibuk mengutip pakaian sekolah aku yang tersadai di atas lantai.

"Ibu tak payahlah susah-susah. Nuha boleh buat sendiri." Aku segera bangun dari katil lalu merampas pakaian sekolah aku dari tangannya.

"Tak apa, biar ibu buat. Dah-dah. Nuha pergi cuci muka dulu. Ambil wuduk. Kita solat sama-sama. Ibu turun kejap nak rendam baju Nuha ni." Ibu terus berlalu pergi.

Aku masih tidak bergerak menuju ke bilik mandi. Sebaliknya aku terduduk lemah di penjuru katil. Pangkal leher aku picit-picit perlahan. Aku cuba regangkan urat-urat badan. Penatnya. Hari-hari aku penat macam ni.

Awal pagi lagi aku dah bangun tolong ibu sediakan kuih-muih untuk dihantar ke warung Pak Abu. Dapatlah duit tambahan. Walaupun tak banyak, cukuplah untuk sara diri kami berdua. Tak lupa menyara Mak Su Kinah sekeluarga.

Pak Su Azam dan Mak Su Kinah juga bekerja. Duit gaji mereka adalah dihulur sedikit kepada ibu. Itupun puas diminta baru mereka bagi. Cukuplah guna duit itu untuk bayar bil elektrik dan bil air. Tapi untuk barang keperluan harian seperti sayur-sayuran, gandum, biskut kering, beras dan lain-lain, semuanya guna duit ibu. Kadang-kadang jajan untuk anak-anak dia orang, Akif dan Ain pun ibu yang belikan.

Ibu tak pernah merungut. Sedikit pun tak. Ibu buat aku rasa sangat kagum dengan dirinya. Rupa-rupanya masih wujud lagi manusia mulia seperti ibu. Walaupun kami dilayan teruk oleh mak su dan pak su, ibu tetap sabar dan tolong apa yang terdaya. Aku bangga sangat dapat memiliki seorang ibu seperti ibu. Puan Nur Aminah binti Rasul. Wanita cekal yang akan aku jadikan sebagai inspirasi untuk berjaya kelak.

"Ya Allah, budak bertuah ni... Dah ambil wuduk ke belum tu?" Tiba-tiba suara ibu menyapa ke telinga. Aku terus berpaling ke pintu. Sengihan manja aku hadiahkan kepadanya.

"Ya, ya... Nuha pergi ambil wuduk sekarang. Ibu tunggu Nuha, ya." Ibu hanya tersenyum sambil menggeleng. Dia sudah siap memakai telekung.

Cepat-cepat aku meluru ke bilik air dan mengambil wuduk. Seronoknya dapat solat berjemaah dengan ibu. Inilah kebahagiaan yang aku ada. Dan aku sentiasa berdoa kepada Allah agar kebahagiaan ini menjadi milik aku sampai bila-bila.

Keesokan harinya, seawal jam 6.30 pagi aku sudah keluar dari rumah. Ibu tugaskan aku untuk menghantar kuih-muih ke warung Pak Abu. Biasanya kami pergi bersama-sama. Tapi memandangkan ibu ada pelanggan baru, terpaksalah kami berpecah.

Alhamdulillah, ibu berjaya dapatkan kepercayaan Pak Rahim untuk menghantar kuih-muih di warung roti canainya pula. Donat dan kuih lopes menjadi kepakaran ibu. Sudah semestinya sedap! Selain bekerja sebagai pembantu tukang masak, inilah kerja sambilan ibu. Jual kuih. Aku pun tidak ketinggalan membantu apa yang patut.

Mencari Si Pelengkap HatiWhere stories live. Discover now