Selepas kejadian itu, aku fikir Cikgu Ihsan cukup mengerti dengan apa yang aku luahkan kepadanya. Namun aku silap. Lelaki itu tetap memberi aku makanan. Bekas makanan merah jambunya masih lagi mengisi tempat di bawah laci meja. Tapi satu benda sahaja yang tiada. Memo!
Adakah Cikgu Ihsan terlupa untuk menulis memo atau dia memang sengaja tidak memberi aku sebarang memo? Hesy, kenapa aku macam emosional pula dia tak kirim memo untuk aku? Ini semua mengarutlah, Nuha!
Semalam Cikgu Ihsan bekalkan aku nasi goreng kampung bersama naget berbentuk hati dan telur goreng. Ya Allah, dia layan aku macam kanak-kanak riang aje.
Dan hari ini pula dia bekalkan aku empat keping sandwic sardin. Dua-dua makanan tu aku tak jamah. Sebaliknya aku hantar bekas makanan itu ke mejanya sebaik saja dia masuk mengajar di dalam kelas.
Dan setiap kali aku bertembung dengannya di kawasan sekolah ini, cepat-cepat aku sembunyikan diri. Syukurlah dia tidak mencari aku hingga ke kelas. Kalau tidak, aku tak tahu lagi nak lari ke mana.
Kenapa aku harus berdepan dengan situasi ini? Kenapa Cikgu Ihsan mendesak aku seperti ini? Tidak bolehkah dia menganggap aku seperti pelajar lain?
Tok... Tok... Tok...
Tiga kali pintu kelas diketuk. Terjengul kepala seorang pelajar lelaki yang bersongkok di balik pintu. Dia melangkah masuk lalu menuju ke meja guru.
"Nuha..." Tiba-tiba Cikgu Ummi memanggil namaku. Aku segera angkat muka. Cepat-cepat aku berdiri.
"Ya, cikgu."
"Cikgu Ihsan nak jumpa awak di bilik guru sekarang."
Saat itu semua mata mula beralih ke arahku. Ada yang mula berbisik-bisik, ada yang buat muka meluat dan ada juga yang mencebik penuh benci.
Kaki ini mula berat untuk melangkah. Apa yang aku risaukan berlaku juga hari ini. Cikgu Ihsan nak jumpa aku? Untuk apa? Sebab aku dah tolak pemberian dia ke?
"Nuha Huda. Cepatlah pergi. Kita nak sambung bab lain pula nanti." Arahan Cikgu Ummi buat kakiku mula melangkah.
Kawan-kawan sekelas semakin hebat menjeling. Dan akhirnya kedengaran juga suara sumbang bersuara.
"Hai, untungnya ada orang sayang. Lin, kau tahu tak? Semenjak dua menjak ni kan, aku tengok orang tu selalu aje pergi bilik guru. Jumpa cikgu kesayanganlah tu. Huh, meluat aku!" Perlahan suara Rozana memerli aku. Namun telinga ini masih mampu merakam jelas kata-kata sinisnya itu.
Lebih menambahkan rasa sakit dalam hati ini apabila Mazlin mengutuk di depan aku.
"Tak sangka cikgu kacak tu minat kat dia. Muka tak adalah lawa mana. Tak semenggah aje aku tengok."
Aku kuatkan hati untuk pura-pura tidak mendengar kata-katanya. Tapi aku tidak mampu.
Ya Allah, apa yang aku paling takutkan mula terjadi. Kata-kata fitnah mula rancak berbunyi. Mulut manusia yang sentiasa ingin mencari kesalahan dan aib orang lain mula bersuara. Dan akulah yang menjadi mangsanya.
Sekali lagi maruah ini tercalar. Semuanya gara-gara Ihsan Zuhri!
Aku sembunyikan rasa sakit dalam hati. Sindiran Rozana, Mazlin dan jelingan rakan sekelas yang lain cuba aku lempar jauh-jauh.
Kaki ini segera melangkah keluar dari kelas. Nampak gayanya aku perlu berterus terang dengan Cikgu Ihsan. Ini soal maruah! Aku takkan izinkan maruah aku yang sememangnya sudah rapuh ini dipijak-pijak sampai lunyai oleh orang lain! Aku takkan pernah izinkan!
Pelbagai rasa sedang bermain dalam hatiku sekarang. Rasa sedih, geram, marah, semuanya bersatu untuk diluahkan kepada Cikgu Ihsan.
Kenapa lelaki itu harus muncul dalam hidup aku? Lama aku tidak menjadi perhatian di sekolah ini. Aku tak suka berada dalam perhatian orang sekeliling. Ia menyakitkan hati dan perasaan!

YOU ARE READING
Mencari Si Pelengkap Hati
General FictionTajuk: Mencari Si Pelengkap Hati Penulis: Farisha Imani Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-0890-65-4 Harga: RM25 (Semenanjung) // RM28 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Oktober 2015 Diskaun : RM3 Postage : Percuma Cara Beli : www.karyaseni.my @ Aplikasi K...