Bab 3

2.7K 72 0
                                    

"Okey kelas. Buka muka surat lima belas." Suara Cikgu Kalsom kedengaran jelas di ruang kelas.

Seperti pelajar lain, aku turut membelek muka surat yang sama. Namun fokus aku terus hilang dibawa angin. Mengelamun entah ke mana. Suara Cikgu Kalsom tidak lagi kedengaran. Pagi-pagi dah belajar subjek 'pecah kepala'. Memang taklah aku nak fokus.

Mood untuk belajar sebenarnya sudah 98 peratus terpadam. Namun apabila memikirkan kesungguhan ibu ingin melihat aku berjaya, aku gagahkan diri meneruskan sesi persekolahan di tingkatan enam ini.

Keputusan SPM aku agak mendukacitakan. Aku hanya memperolehi satu A. Itupun dalam subjek Bahasa Melayu. Syukurlah Bahasa Melayu aku lulus. Yang lain? Hmmm... Cukup-cukup makan. Namun begitu, aku tetap berjaya menggenggam Sijil Pelajaran Malaysia. Bagi aku itu merupakan satu kejayaan besar dalam hidup gadis bernama Nuha Huda binti Abdullah.

Ibu menyuruh aku masuk ke tingkatan enam semata-mata ingin melihat aku berjaya seperti orang lain. Aku kena belajar bersungguh-sungguh sehingga peluang aku untuk berjaya ke menara gading menjadi lebih cerah.

Aku ikutkan saja kata ibu. Aku paksa diri untuk kembali ke sekolah ini. Walaupun ramai kawan aku mengejek dan berkata supaya tidak perlu bersusah payah menyambung pelajaran, aku tebalkan muka dan cekalkan hati untuk teruskan niat aku. Semuanya kerana ibu.

Mak Su Kinah dan Pak Su Azam tak habis-habis memerli aku. Kata mereka, tak perlulah aku sambung belajar lagi. Pergi saja ke Kuala Lumpur mencari kerja. Kalau tak ada kerja sangat, buat saja kerja yang pernah ibuku lakukan dulu.

Ya Allah, sungguh hati ini menangis saat mendengar penghinaan Mak Su Kinah itu. Sanggup wanita itu menghina darah dagingnya sendiri semata-mata dendam tak berbalasnya itu. Entah sampai bilalah Mak Su Kinah akan berhenti membenci ibu? Tidakkah wanita itu tahu bahawa ibu sangat menyayanginya?

"Nuha Huda!" Aku tersentak kemudian terus berdiri tegak. Tengok-tengok saja Cikgu Kalsom sudah berdiri di hadapan aku dengan jelingan 'mata pisaunya'. Tajam.

"Awak menungkan siapa? Hm? Saya panggil berkali-kali tak dengar. Otak awak ada dekat mana sekarang? Dah sampai mana dah?" Pedas kata-kata Cikgu Kalsom membuatkan aku menekur memandang meja. Rasa malu menyapa hati.

"Tak payah buat-buat tengok bawah. Jawab soalan saya tadi. Kalau tak..."

"Assalamualaikum..."

Semua mata mula beralih ke pintu kelas. Aku pun turut memandang ke situ.

"Boleh saya jumpa Nuha Huda sekejap, cikgu?" Cikgu Ihsan tersenyum. Dia berdiri di hadapan pintu kelas sambil membawa buku latihan pelajar.

Semua mata mula memandang ke arah aku dan Cikgu Kalsom. Saat itu Cikgu Kalsom hanya menggunakan isyarat mata bagai memberi keizinan.

Lambat-lambat aku melangkah ke arah Cikgu Ihsan. Ada apa pula Cikgu Ihsan nak jumpa aku, ya? Hesy, takkan sebab kejadian di tempat rahsia aku tadi tu?

"Ikut cikgu kejap," arah Cikgu Ihsan sambil mendahului langkahku.

Kami menuju ke taman sains yang terletak di tepi bangunan Blok A. Cikgu Ihsan mengarahkan aku duduk di atas bangku batu. Aku hanya menurut.

Beberapa minit berlalu, lelaki itu masih belum mengeluarkan sepatah kata. Sebaliknya dia selamba membelek buku latihan pelajar dengan tenang.

Aku rasa sedikit bingung melihat apa yang sedang dilakukan oleh Cikgu Ihsan. Dia sibuk dengan kerjanya dan aku dibiarkan seorang diri. Jadi, apa motif dia nak jumpa aku tadi?

Masih tidak bersuara, Cikgu Ihsan terus khusyuk menanda buku latihan pelajarnya dengan pen merah. Sesekali lelaki itu menulis sesuatu di atas buku. Mungkin menulis komen atau arahan pembetulan.

Mencari Si Pelengkap HatiWhere stories live. Discover now