Bab 9

2.2K 67 1
                                    

"Oh, kau dah pandai sekarang, ya? Bawa jantan entah dari mana tu balik rumah! Kau ingat rumah aku ni tempat kau buat maksiat ke hah?! Kau nak jadi apa, Nuha?! Kau nak jadi macam arwah ibu kau ke?!"

Tubuhku terus menjadi mangsa pukulan Mak Su Kinah. Kali ini aku kembali merayu kepadanya. Sudah tidak tertahan lagi diri ini menanggung kesakitan akibat didera. Dan hati aku lagilah tak sanggup mendengar kata dusta yang Mak Su Kinah taburkan.

"Itu cikgu Nuha, mak su. Nuha sumpah. Dia memang cikgu Nuha..." Aku memaut kemas kaki Mak Su Kinah. Aku merayu simpati walau sekecil hama daripadanya.

"Ah! Kau jangan nak tipu aku, Nuha. Kau ingat aku nak percaya ke? Kau memang anak haram tak sedar diri! Ibu kau baru aje meninggal, kau dah bawa jantan balik ke rumah. Kau nak jadi apa? Jadi pelacur macam ibu kau ke, hah?!"

"Tak! Mak su jangan fitnah Nuha macam tu. Nuha tak buat semua tu, mak su. Dia memang cikgu Nuha!" Aku keluarkan seluruh tenaga yang ada untuk mempertahankan diri sendiri.

Ibuku sudah tiada. Aku hanya ada Allah dan diri aku sendiri saat ini. Ya Allah, tolong kuatkan aku untuk menghadapi ujian-Mu ini.

"Kau sama aje dengan ibu kau! Bohsia kampung! Kalau kau nak jadi pelacur macam arwah ibu kau, kau boleh berambus dari rumah aku! Aku dah lama jijik dengan kau! Kau boleh pergi! Pergi dekat jantan tu! Aku tak nak rumah ni sekali lagi jadi tempat simpanan perempuan hina macam ibu kau dulu. Cukuplah dulu aku tanggung malu. Aku tak nak tanggung malu lagi disebabkan perangai kau ni!"

Mak Su Kinah menyepak tubuhku tanpa belas. Dalam kabur air mata yang menghiasi pelupuk mata, aku masih nampak ada butiran jernih mengalir dari pipi Mak Su Kinah. Menangiskah wanita itu?

"Mak su..."

"Dulu ibu kau yang malukan aku!"

Aku tersentak hebat dengan jerkahan Mak Su Kinah. Walaupun renungan matanya tajam, aku kuatkan hati untuk menatap wajah bengisnya itu. Saat itu air matanya makin turun dengan lebatnya.

"Kawan-kawan, jiran-jiran, orang kampung semua pandang hina dekat aku! Dia orang hina aku sebab ibu kau! Dan bila kau lahir, kau pula yang malukan aku! Sekarang kau jangan ingat aku terlalu baik hati untuk buat tak tahu dengan apa yang dah kau buat!"

Rakus Mak Su Kinah menyeka air matanya. Dia mendengus lalu menyambung kata.

"Kau dengar sini baik-baik, anak haram. Aku... Aku nak kau berambus dari rumah aku!"

Terasa berdentum dunia aku. Apa... Apa yang mak su cakap ni? Aku makin kaku menatap wajah bengisnya.

"Aku tak nak tengok lagi muka orang yang bakal memalukan aku. Selagi kau ada di dalam rumah dan kampung ni, selagi itulah aku akan terus dihina oleh orang kampung! Kau boleh pergi dari rumah aku, Nuha. Kau boleh keluar dari rumah ni secara sukarela atau aku halau kau dengan tangan aku sendiri! Kalau kau berdegil tak nak keluar dari rumah ni, bersiap sedialah untuk merana di dalam rumah ni! Aku akan pastikan kau lebih merana lepas ni, Nuha! Merana macam di dalam neraka!"

Senafas Mak Su Kinah melafazkan keputusan nekadnya itu. Dengan dengusan kasar, dia terus berlalu pergi. Kuat daun pintu dihempasnya.

Aku terjelepok di atas lantai mendengar semua kata-katanya itu. Begitu benci mak su kepada aku. Kebencian yang tiada penghujung.

Ya Allah, tak pernah terlintas dalam hati aku untuk memburukkan nama baik keluarga mak su. Tak pernah, Ya Allah.

Kenapa mak su tuduh aku macam ni? Kenapa dia nak halau aku dari rumah ni? Aku tak buat salah. Aku tak buat dan takkan buat apa yang dia fitnahkan tu. Ya Allah, apa hikmah di sebalik semua yang berlaku ini, Ya Allah?

"Ibu... Nuha nak ibu. Ibu!!!"

Saat ini aku hanya mahu ibu! Hanya ibu!

Satu hari telah berlalu. Satu hari yang sangat menyedihkan dan masih sukar untuk aku terima. Semuanya berlaku dalam sekelip mata.

Aku masih terpempan dengan hakikat ini. Namun aku tahu, sebagai seorang Muslim yang mengaku dirinya Islam dan percaya dengan qadak dan qadar Allah, aku perlu menerima hakikat ini. Hakikat di mana ibuku sudah pergi buat selamanya.

Dingin pagi mencengkam sanubari. Pada saat alam masih lena diulit mimpi, aku terjaga daripada tidur.

Waktu begini biasanya akan ada seseorang yang membangunkan aku daripada tidur. Seawal jam tiga pagi ibu sudah bangun kejutkan aku. Kami sama-sama menunaikan solat sunat tahajud. Ibu solat di biliknya dan aku solat di bilik aku sendiri.

Kata ibu, sepertiga malam, waktu itulah Allah akan menerima taubat daripada hamba-Nya. Dia akan kabulkan setiap permintaan daripada hamba-Nya. Bagaikan anak panah yang kena tepat pada sasaran. Seperti itu jugalah keadaan si pendoa pada sepertiga malam. Doanya akan didengar oleh Allah. Permintaannya akan kabulkan. Cepat atau lambat, ia pasti akan dikabulkan.

Maka kerana itulah aku bersemangat untuk terus berdoa kepada Allah. Dan salah satu doa yang tidak pernah aku lupa adalah...

Aku meminta kepada-Nya agar Dia menghilangkan kebencian dalam hati mak su untuk ibu. Dan menghilangkan kebencian mak su kepada diriku. Aku juga minta kepada Allah agar Dia sentiasa menjaga ibu dan memberi ibu kesihatan yang baik. Aku ingin hidup bahagia dengan ibu hingga ke akhir hayat ini.

Aku pernah luahkan kepada ibu tentang perasaan tidak puas hatiku apabila mak su tetap membenci kami. Adakah itu tandanya Allah telah memungkiri janji-Nya untuk mengabulkan semua permintaan hamba-Nya pada sepertiga malam?

Ibu sentiasa menjawab pertanyaan aku dengan kata-kata yang cukup menyentuh hati dan membuatkan aku tersedar akan satu hakikat yang paling nyata.

Skrip hidup kita di tangan Allah. Suka atau duka, gembira atau sengsara, Dia Maha Mengetahui akan yang hidup dan yang ghaib. Dialah yang merancang hidup dan mati kita. Jadi siapa kita untuk menafikan apa sahaja yang Dia beri? Apa yang Allah beri adalah yang terbaik untuk kita. Kerana hanya Dia yang tahu apa yang terbaik dan apa yang buruk untuk kita. Pokok pangkalnya hati. Ikhlas menerima segala pemberian-Nya. Nikmat itu dibalas dengan kesyukuran. Ujian itu pula dibalas dengan kesabaran.

"Nuha... Walaupun doa Nuha tak dikabulkan oleh Allah, jangan pula Nuha menganggap yang Allah tidak mendengar doa Nuha tu. Dia Maha Mendengar, sayang. Dia juga Maha Mengetahui. Doa Nuha pasti sudah sampai kepada-Nya. Cuma belum tiba masanya lagi untuk Dia makbulkan doa Nuha. Nuha kena selalu ingat satu benda. Allah takkan sia-siakan usaha hamba-Nya yang ingin mendekatkan diri kepada-Nya. Nuha akan dapat jawapan daripada Allah suatu hari nanti. Nuha kena yakin... Nuha kena sabar..."

Mata ini mula berat menampung cecair hangat. Setitik demi setitik ia jatuh membasahi pipi. Kata-kata ibu sentiasa tersemat dalam hati ini. Ibu ialah insan yang akan sentiasa berada di dalam jiwa ini.

"Ya Allah..." Tangan kuangkat ke dada langit.

"Kepada siapa lagi diri ini mampu mengadu, Ya Allah? Aku seorang gadis biasa yang tidak punya banyak kekuatan untuk berdepan dengan takdir-Mu. Aku hamba-Mu yang lemah untuk menerima ujian-Mu. Engkau menghidupkan dan mematikan seseorang yang Engkau kehendaki. Engkau sudah mengambil ibu daripadaku. Kuatkanlah aku untuk reda dengan qadak dan qadar-Mu ini, Ya Rabbi. Engkau permudahkanlah pertanyaan para malaikat-Mu kepada ibuku. Kau terangilah kubur ibuku dengan cahaya-Mu, Ya Allah. Kau ampunilah dosa-dosa ibuku yang lalu. Kau pilihlah dia untuk menjadi salah seorang daripada hamba yang Engkau cintai. Kau peliharalah dia, Ya Allah. Kau... Kau..."

Hati aku sebak dan tidak mampu lagi melafazkan kata-kata. Sesungguhnya saat ini diriku benar-benar terasa kehilangan...


Mencari Si Pelengkap HatiWhere stories live. Discover now