Bab 10

4K 104 34
                                    

"Hoi! Bangun! Bangun!" Lenaku terganggu dek pekikan itu. Aku terpisat-pisat mencelikkan mata. Aku terus bangun apabila melihat Mak Su Kinah sudah berdiri tegak di hadapan aku.

"Kau dah buat keputusan ke belum?" soal Mak Su Kinah dengan muka bengis.

Keputusan apa, ya?

"Hoi, aku tanya ni! Kau dah buat keputusan ke belum?!" Mak Su Kinah terus menekan.

"Keputusan apa, mak su? Nuha tak faham," jawabku jujur. Memang aku tak faham.

Ada dengusan keras keluar dari bibir Mak Su Kinah. Dia mencebik.

"Keputusan apa kau tanya? Keputusan sama ada kau nak terus tinggal dekat rumah aku atau kau rela hati nak berambus dari rumah ni. Itu yang aku nak tahu!"

Apa yang berlaku semalam berlegar-legar jelas dalam minda. Jadi, mak su nekad halau aku dari rumah ini? Ya Allah, aku belum cukup kuat untuk memikirkan hal itu. Aku masih bersedih dengan kehilangan ibu. Tidak selayaknya mak su melayan aku seperti ini!

"Nuha... Nuha tak tahu."

"Tak tahu?! Eh, kan aku dah suruh kau fikir. Aku tak kira, kau buat keputusan hari ni juga! Kalau tak, kau terimalah nasib kau. Aku tak main-main dengan kata-kata aku semalam, Nuha. Aku tak ada masa nak main-main dengan kau!"

Mak Su Kinah ingin melangkah namun aku terus menerpa ke arahnya lalu memaut kakinya dengan erat.

"Mak su jangan buat Nuha macam ni. Nuha dah tak ada tempat nak pergi. Nuha hanya ada mak su. Tolonglah Nuha, mak su. Jangan halau Nuha. Nuha merayu."

"Jadi maksudnya kau nak terus tinggal di dalam rumah ni? Hah?"

Perlahan-lahan aku anggukan kepala. Keputusan itu muncul sekelip mata. Walaupun berat, aku tetap harus memilih pilihan itu. Memilih antara keluar dan terus tinggal di dalam rumah ini, sudah pasti aku memilih pilihan yang kedua. Walaupun pilihan itu akan memusnahkan hidup aku dan membenarkan mak su dan pak su berterusan mendera jiwa dan ragaku. Aku terpaksa hadap semua itu! Aku sudah tidak ada sesiapa lagi. Kalau aku keluar dari rumah ni, ke mana harus aku pergi?

"Jadi, kau sanggup hidup merana dalam rumah ni? Hm? Kau sanggup terus hidup didera oleh aku dan pak su kau? Hah?" Soalan Mak Su Kinah aku jawab dengan anggukan.

"Baik, kalau itu yang kau nak. Nampaknya kau lebih rela hidup di dalam penjara ini daripada hidup bebas di luar sana. Kau boleh pergi, Nuha. Hidup bebas seperti ibu kau dulu. Kau ada pilihan sendiri. Kenapa kau tetap memilih untuk hidup merana di dalam rumah ni? Kau memang bodoh. Bodoh!" Mak Su Kinah merentap kuat kakinya dari peganganku. Dia terus melangkah tanpa berpaling lagi.

Aku tersembam dan menangis di atas lantai. Menangisi keputusan yang bakal membuatkan hidupku benar-benar merana selepas ini.

Ya Allah, betulkah apa yang aku buat ni? Sanggupkah aku bertahan didera dan dihina oleh pak su dan mak su? Sanggupkah aku, Ya Allah?

"Assalamualaikum, bu." Aku cuba tersenyum. Senyuman selamat pagi untuk ibu.

Aku hamparkan tikar lalu duduk di atasnya sambil bersimpuh. Tanah merah yang masih basah terkena embun pagi aku genggam lama. Hati ini tiba-tiba jadi sebak. Di dalam sana adanya jasad ibuku yang baru meninggalkan aku semalam. Suka atau tidak, hakikat itu harus aku terima.

Tidak mahu terlalu bersedih dengan takdir Tuhan, aku terus membuka surah Yasin yang aku bawa bersama.

Al-Fatihah dibaca perlahan. Surah Yasin aku baca dengan tertib. Moga-moga 'hadiahku' ini sampai kepada ibu. Entah apalah yang sedang berlaku kepada ibu saat ini. Telinga manusia biasa seperti aku mana mungkin mampu mendengar rintihan dan tangisan penghuni kubur saat ini. Dan salah seorang penghuni itu ialah ibuku.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Oct 21, 2015 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Mencari Si Pelengkap HatiWhere stories live. Discover now