Kahwin Dengan Aku Ajelah! 1

8.2K 129 1
                                    

MUSLIM menolak perlahan pintu pejabat Cili Pedas Sdn Bhd. Sambil memutar-mutar kunci kereta, dia bersiul riang.


"Hello, sweety... good morning." Cermin mata hitam ditanggalkan dan dia kenyit mata nakal kepada Lily sebaik sahaja melintasi meja kerani merangkap penyambut tetamu syarikat itu.


"Err... Encik Muslim," panggil Lily sekaligus mematikan langkah Muslim.


"Kenapa, Lily? Awak jatuh cinta dengan saya ke?" Muslim pamer senyum nakal.


"Hajah Rokiah," bisik Lily seraya memuncungkan mulut ke sudut menunggu yang membelakangi Muslim.


Muslim berpaling. Nak tercabut jantungnya melihat seorang wanita duduk berpeluk tubuh di atas sofa sambil merenung tajam ke arahnya. Bila masa pula orang tua ni wujud kat dalam pejabat ni? Kenapa dia tak perasan tadi?


"Dah lama ke dia sampai?" tanya Muslim setelah memandang Lily semula. Hatinya mula tidak keruan.


"Masa saya sampai pukul 8.00 tadi dia dah ada kat pejabat."


Mata Muslim terjegil. Sempat dia kerling jam di tangan yang ketika itu menunjukkan pukul 9.30 pagi. Matilah aku kali ni!


Muslim tarik nafas panjang sebelum menghampiri Hajah Rokiah.


"Assalamualaikum, nenek. Awal nenek sampai hari ni?" tegur Muslim ramah. Senyum paling manis dia lemparkan kepada Hajah Rokiah dengan harapan neneknya tidak membebel macam mak nenek.


Hajah Rokiah mengerling Muslim dengan muka masam. "Kenapa? Bos tak boleh datang kerja awal ke?"


Muslim telan air liur dengar pertanyaan sinis Hajah Rokiah. Walaupun berasa cuak namun, dia sedaya upaya cuba bersikap selamba.


"Eh, mestilah boleh. Siapa pulak cakap tak boleh? Yang tak boleh masuk pejabat lambat hanya pekerja bawahan aje," balas Muslim tersengih-sengih sebelum menyambung lagi, "Macam Mus..."


"Hah, tahu pun! Dah tu, kenapa datang lambat jugak? Kalau nenek boleh masuk pejabat awal, kenapa Mus tak boleh?" Kening Hajah Rokiah tinggi sebelah menyoal Muslim.


Muslim terkial-kial hendak membalas. Belum sempat dia buka mulut, Hajah Rokiah sudah bangkit dari sofa dan memberi arahan tegas.


"Masuk ke bilik nenek sekarang!"


"Bad day!" keluh Muslim perlahan setelah Hajah Rokiah berlalu meninggalkannya.


Kenapalah nasibnya malang sangat hari ni? Sebelum ni kalau datang kerja lambat tak pernah lagi sampai kena cekup dengan bos sendiri. Depan pekerja lain pula tu. Memalukan diri sendiri sahaja.


"Selamat dengar ceramah, Encik Muslim." Lily kemam bibir tahan ketawa.


Muslim berjalan mendekati meja Lily. "Giliran awak, tunggu lepas lepas saya keluar dari bilik bos."


Muka Lily berkerut. "Kenapa pulak Encik Muslim nak ceramahkan saya? Apa kesalahan yang saya dah buat?"


"Kesalahan awak adalah awak tak beritahu saya bos masuk pejabat awal hari ni. Sebab awak, saya dah kantoi dengan bos," kata Muslim membuatkan Lily ternganga.


"Err... maaflah, Encik Muslim. Saya bukannya sengaja tak nak beritahu Encik Muslim. Tapi, sampai aje pejabat tadi bos terus beri saya kerja. Tak sempat nak pegang telefon pun."


Muslim mencebik. "Yalah tu..."


"Sumpah, Encik Muslim. Saya tak tipu..." tegas Lily bersungguh-sungguh sambil mengangkat tangan kanan separas bahu.

Kahwin Dengan Aku Ajelah!Where stories live. Discover now