MUSLIM mendongak memandang papan tanda Syarikat Peon Sdn Bhd. Kedudukan bangunannya terletak agak tersorok sedikit dari jalan utama. Tetapi, di sekitarnya ada banyak premis perniagaan seperti bank, kedai makan, klinik dan pejabat.
Dia kira, syarikat Peon itu bukanlah sebuah syarikat terkenal. Mungkin hanya suam-suam kuku sahaja. Atau mungkin juga syarikat yang sudah hendak muflis. Dia sendiri tidak pernah tahu kewujudannya sehinggalah Sudin menunjukkan iklan syarikat itu kepadanya semalam.
"Kau fikir, betul ke apa yang kita tengah buat ni?" Muslim kerling Sudin di sebelah.
Entah mengapa kakinya terasa begitu berat sekali hendak panjat tangga pejabat Syarikat Peon Sdn Bhd yang terletak di tingkat dua itu. Macam ada gam di tapak kasut.
"Betul ataupun salah, kita tolak dulu semuanya ke tepi. Sekarang ni, kita dah hampir dengan jalan penyelesaian. Tinggal nak daki anak tangga dan tolak pintu pejabat dia aje," jawab Sudin cuba meredakan kerisauan hati Muslim.
Dia tahu Muslim masih ragu-ragu dengan keputusan yang telah dilakukan. Namun, dia yakin masalah itu pasti boleh diselesaikan.
"Aku rasa tak sedap hatilah, Sudin."
"Sudahlah... jangan fikir apa-apa lagi. Mari kita naik atas jumpa dengan si Peon tu. Manalah tahu hati kau tu rasa sedap sikit lepas jumpa dia." Sudin tarik lengan Muslim supaya mengikut dia menaiki anak tangga.
Muslim terpaksa menurut walaupun hatinya bergelut dengan seribu macam perasaan.
Kini mereka sudah berdiri di depan pejabat Syarikat Peon Sdn Bhd.
Sudin menolak perlahan-lahan pintu kaca lut sinar berwarna hitam dan menjengulkan sedikit kepalanya ke dalam pejabat tersebut. Sunyi sepi. Ada orang ke tidak ni? Hatinya tertanya-tanya. Serba salah pula hendak masuk.
"Eh, kenapa duk intai-intai macam orang nak mencuri tu? Jemputlah masuk." Seorang lelaki tiba-tiba menegur Sudin sekaligus membuatkannya terperanjat dan mengurut dada.
Sudin toleh ke belakang. Muslim beri isyarat mata kepadanya supaya masuk.
"Kami nak jumpa dengan Encik Peon. Dia ada?" tanya Sudin setelah dia dan Muslim melangkah masuk.
Berdiri di hadapan mereka, seorang lelaki berbadan kurus yang berkulit gelap dan rambut keriting separas bahu macam Maggi. Lelaki itu memakai baju kemeja kuning dan seluar khaki berwarna coklat. Kasutnya hitam berkilat.
"Sayalah Encik Peon. Pemilik Syarikat Peon Sdn Bhd ni. Ada apa-apa yang boleh saya bantu? Jangan malu-malu. Kalau ada masalah cakap aje. Orang nama Peon macam saya ni sikap dia suka tolong orang," ujar Encik Peon dengan ramah.
Gembira rasa hati menerima kunjungan dua orang pemuda itu kerana pejabatnya sudah lama tidak didatangi orang. Semoga kedatangan mereka membawa berita gembira buatnya.
Muslim pandang Sudin. Belum apa-apa lagi dah angkat bakul sendiri? Lain macam aje Peon ni. Lebih kurang macam perangai aku jugak, getusnya.
Sudin senyum dan beri isyarat mata kepada Muslim agar bertenang. Dia tahu Muslim mesti ada nak komen apa-apa pasal Encik Peon.
"Hah, kalau macam tu tak sia-sialah kami datang ke pejabat Encik Peon sebab kami memang dalam kesusahan sekarang dan perlukan pertolongan. Sebelum tu, biar saya kenalkan diri dulu. Nama saya, Sudin. Di sebelah saya ni, Muslim," balas Sudin sambil memperkenalkan diri dan menyatakan tujuan sebenar kedatangan mereka ke situ.
Senyum Encik Peon melebar tatkala menghulur salam.
"Eh, mari duduk. Tak manis bercakap sambil berdiri. Sila... sila... buat macam kerusi sendiri." Encik Peon mengajak Sudin dan Muslim pergi ke satu sudut yang terdapat sebuah sofa panjang.
YOU ARE READING
Kahwin Dengan Aku Ajelah!
RomancePenerbitan Fajar Pakeer 2014 RM23(SM)/RM26(SS) Kata Hajah Rokiah kepada Muslim - "Ya, kahwin! Nenek rasa Mus kena kahwin untuk ubah sikap Mus yang tak ada sikap tanggungjawab terhadap diri sendiri dan jugak diri orang lain." Balas Muslim pula - "Yan...