Kahwin Dengan Aku Ajelah! 6

2.3K 56 2
                                    

KEESOKAN pagi, Zara datang ke pejabat Muslim seperti yang disuruh. Berdebar-debar hatinya sewaktu melangkah masuk ke dalam bilik lelaki itu. Harap-harap perbincangan mereka berlangsung sekejap sahaja sebab dia tidak ingin menghabiskan masa lama-lama dengan Muslim.


"Awak nampak macam resah aje. Kenapa? Awak takut ke?" soal Muslim setelah Zara duduk menghadapnya.


Wajah Zara ditatap puas-puas. Dia ni, buat reaksi muka macam mana sekalipun tetap nampak cantik jugak, bisik hati kecil Muslim.


Zara ukir senyum sambil menyelitkan sebahagian rambutnya di belakang telinga. Macam mana dia tidak berasa takut. Di dalam bilik itu hanya ada dia dan Muslim sahaja. Andai kata Muslim nak buat sesuatu yang tidak elok kepadanya, dengan siapa dia hendak minta tolong?


"Jadi, apa yang perlu saya buat untuk tolong awak?" Zara terus pergi ke topik sebenar tanpa menjawab pertanyaan Muslim. Tidak perlulah dia layankan sangat hal negatif yang dia fikirkan tadi. Dia perlu bersangka baik supaya apa yang bakal berlaku nanti adalah perkara yang baik-baik sahaja.


"Awak kena menyamar jadi kekasih saya dan yakinkan nenek saya yang awak ni adalah calon isteri yang tepat buat saya," kata Muslim.


Zara terdiam. Yang pertama mungkin tidak ada masalah. Yang kedua tu buat urat perut dia rasa macam berselirat. Perkataan calon isteri menghadirkan debaran yang hebat di hati.


"Kenapa saya perlu yakinkan nenek awak?" Sehabis tenang Zara bertanya.


"Sebab saya tak nak dijodohkan dengan calon pilihan dia. Kalau awak berjaya yakinkan dia, saya akan terlepas daripada kena paksa kahwin dengan orang yang saya tak suka. Dalam situasi sekarang, awak merupakan penyelamat saya. Awak kena bantu saya keluar daripada masalah ni," jelas Muslim tanpa berselindung.


"Jadi, sebab itulah awak sanggup bayar kepada Encik Peon lima puluh ribu?" teka Zara.


"Saya terdesak dan tak ada pilihan lain."


Zara bergumam perlahan. Namun, dalam fikirannya masih ada persoalan lain yang ingin ditanya.


"Kalau saya berjaya meyakinkan nenek awak, apa yang akan jadi lepas tu? Adakah saya kena kahwin dengan awak?"


"Awak sudi kahwin dengan saya?" soal Muslim tersenyum nakal. Dia tertunggu-tunggu jawapan daripada Zara.


"Setahu saya, saya cuma kena menyamar jadi kekasih awak aje, kan? Bukannya sampai kena berkahwin dengan awak," jawab Zara.


Seingatnya, isi kandungan surat perjanjian yang dia baca semalam memang tidak ada menyebut langsung tentang soal kahwin. Kalau ada sekalipun jangan harap dia akan bersetuju.


"Saya tanya aje. Manalah tahu kut-kut dalam diam-diam awak memang nak kahwin dengan saya tapi malu nak mengaku." Kening Muslim terjongket tinggi.


Ya Allah! Perasannya mamat ni. Tak kuasa rasanya nak melayan. Zara menyumpah-nyumpah Muslim dalam hati.


"Jangan nak merepeklah!" cemuh Zara dengan geram.


"Awak pernah bercinta sebelum ni?" tanya Muslim ingin tahu. Niat di hati nak cuba cungkil rahsia peribadi Zara sama ada sudah mempunyai kekasih ataupun belum.


Zara menggeleng.


Muslim tersenyum penuh makna. Nampaknya aku ada peluanglah nak kenal dia lebih rapat lepas ni. Bagus! Rezeki jangan ditolak.


"Kalau macam tu, saya akan ajar awak cara-cara nak bercinta. Awak dah bersedia ke nak bercinta dengan saya?" Muslim terus galak merenung wajah Zara. Dalam hati, dia ketawakan diri sendiri. Bercinta pun tidak pernah, ada hati nak mengajar orang pula.

Kahwin Dengan Aku Ajelah!Where stories live. Discover now