Kahwin Dengan Aku Ajelah! 2

4K 77 0
                                    

"APA ni, Encik Peon? Hari tu janji nak bayar gaji saya akhir bulan ni. Sekarang bila dah sampai akhir bulan, lain pulak ceritanya. Encik Peon ni selalu aje cakap tak serupa bikin." Zara menempelak Encik Peon tanpa bertapis.


Bengang sungguh dia dengan bosnya itu. Cakap putar belit macam benang bersimpul. Sakit hati. Sudahlah dia sedang sengkek sekarang.


"Zara, saya bukannya tak nak bayar gaji awak. Tapi, syarikat saya sekarang ada masalah kewangan yang kritikal. Awak sendiri pun tahu kan, kita dah lama tak dapat projek besar. Jadi, macam mana saya nak bayar semua gaji awak tu?" balas Encik Peon.


Keadaan syarikatnya sekarang ibarat hidup segan mati tak mahu. Gaji pekerja pula sudah tiga bulan tidak berbayar. Sebab itu Zara naik angin dengannya. Nasib baik dia cuma menggaji seorang pekerja sahaja. Kalau ramai, boleh keluar api dari telinga dengar caci maki mereka.


"Encik Peon pun satu hal jugak. Buat bisnes entah apa-apa. Macam mana syarikat nak maju? Orang lain berniaga dapat untung berjuta-juta ringgit. Tapi, Encik Peon? Hmm... sambung sendirilah ayat saya tu," kutuk Zara bersama rasa geram yang membuak-buak.


Majikan tidak bayar gaji berbulan-bulan, siapa yang tidak sakit hati? Lainlah kalau duit dia berkepuk-kepuk dalam bank. Gaji tertunggak setahun pun dia tidak hairan atau ambil peduli.


"Amboi, mulut awak... dah habis tempoh insurans ya? Dah tu, kalau syarikat saya buat bisnes entah apa-apa, kenapa awak terima jugak tawaran kerja tu dulu?" tingkah Encik Peon pula sambil bercekak pinggang. Mulut ni Zara tak ada brek langsung. Karang terbang juga kasut dia masuk ke dalam mulut Zara.


"Saya terima sebab Encik Peon cakap kerja kat sini banyak kelebihan. Gaji on time setiap bulan. Ada bonus dan kenaikan gaji tiap-tiap tahun. Lepas tu dapat macam-macam elaun lagi. Tapi, bila dah masuk kerja rupa-rupanya banyak yang menyimpang daripada asal. Gaji satu sen pun tak naik. Tiap-tiap bulan dapat lambat dan banyak tertunggak. Bonus, elaun... tak payah cakaplah. Ikut suka Encik Peon aje nak bagi dan tak nak bagi. Siapa yang tak bengang?" Satu per satu Zara membangkitkan janji-janji Encik Peon yang tidak ditunaikannya.


Tidak ada apa-apa yang perlu dia takut. Dengan Encik Peon, dia memang tidak suka berselindung. Apa sahaja perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati, dia akan cakap terus terang dengan bosnya. Malah, Encik Peon sendiri sudah sedia maklum dengan mulut celoparnya itu.


"Alah, nanti kalau saya dapat projek besar, saya bayarlah semua gaji dan bonus awak yang tertunggak tu. Termasuk ganti rugi kelewatan gaji awak tu sekali. Sabarlah sikit," pujuk Encik Peon lembut.


Kata-kata Zara tadi ibarat masuk ke telinga kanan dan keluar ikut telinga kiri. Langsung tidak meninggalkan apa-apa bekas di hatinya.


Zara mencebik. Naik jelak dia dengar janji manis Encik Peon yang tidak berapa manis itu. Bukan sekali dua bosnya tabur janji begitu. Masuk kali ini, sudah tidak terhitung banyaknya. Sungguhpun begitu, dia tidak faham mengapa dia masih boleh bertahan kerja dengan Encik Peon walaupun kebajikannya sebagai pekerja sering kali ditindas.


"Encik Peon ni, kalau berjanji dari dulu sampailah sekarang... ayat tu sama aje. Tak ada ayat lain ke? Sampai masa, habuk pun tak ada. Kalau macam ni, saya nak berhenti kerjalah." Muka Zara serius menggertak Encik Peon. Seperti yang dia duga, muka Encik Peon terus berubah riak.


"Eh, janganlah macam tu. Saya masih perlukan pekerja untuk uruskan hal syarikat ni. Hanya awak aje harapan saya sekarang. Takkanlah awak nak tinggalkan saya dalam keadaan terkontang-kanting macam ni? Awak tak kesiankan saya ke?" Encik Peon buat muka sedih dengan harapan Zara akan menarik semula kata-katanya tadi.


"Habis, kalau saya terus kerja dengan Encik Peon bukannya saya dapat apa-apa pun. Tiap-tiap bulan asyik makan pasir aje. Tak berbaloi langsung. Saya pun teringin jugak nak makan Pizza, Secret Recipie, Big Apple, Tutti Frutti. Encik Peon tak rasa simpati ke dengan nasib malang saya?"

Kahwin Dengan Aku Ajelah!Where stories live. Discover now