Kahwin Dengan Aku Ajelah! 5

2.6K 55 0
                                    

ZARA kembali semula ke mejanya. Kelibat Muslim di depan mata sedikit pun tidak diendahkan. Dia masih berasa bengang dengan kejadian yang berlaku di dalam bilik Encik Peon tadi. Tak pasal-pasal dia terjebak dalam masalah lelaki itu.


Muslim kerling Zara. Bukan main kuat lagi dia dengar jari-jemari Zara mengetuk papan kekunci komputer. Tidak tahu sama ada Zara betul-betul sibuk buat kerja ataupun sengaja buat sibuk.


"Kita kena bincang," kata Muslim sambil berpeluk tubuh.


Zara berhenti menaip dan mendongak. Dia menyandar pada kerusi dan ikut sama berpeluk tubuh.


"Sekarang baru nak bincang? Sebelum sain surat perjanjian, kenapa tak nak bincang?" soal Zara penuh sinis.


"Yang awak nak marah-marah saya ni, kenapa pulak?" Muslim bengang mendengar nada percakapan Zara. Betul-betul menyakitkan hatinya. Perempuan ni memang sengaja nak cari pasal dengan aku.


"Sebab awak libatkan saya dalam masalah awak. Apa masalah awak sebenarnya ni?"


"Saya cuma minta tolong Encik Peon selesaikan masalah saya aje. Urusan siapa yang kena jadi kekasih upahan saya tu bukan saya yang tentukan. Kalau awak nak marah, pergilah marah dekat bos awak. Dia yang letakkan awak dalam masalah ni!" Muslim meninggikan suara. Dia cakap elok-elok tetapi Zara jawab kasar pula. Macam mana dia tak naik angin?


Seumur hidupnya, tidak pernah lagi dia berjumpa dengan gadis kuat melawan macam Zara. Buat hatinya bengkek sahaja.


"Sudahlah. Saya tak ada masa nak bergaduh dengan awak. Kalau awak nak cari gaduh dengan saya, tunggu masalah saya selesai dulu. Lepas dah selesai semua, awak nak lancar perang dunia ketiga pun suka hati awaklah!"


Zara kacip bibir. Lancangnya mulut lelaki ni. Kalau dia jadi kekasih Muslim pasti tipis kesabarannya. Tak tahanlah macam ni.
Zara tarik nafas panjang sebelum menghembusnya perlahan. Dia pujuk diri supaya bertenang dan bersabar. Masalah tidak akan selesai kalau asyik bertekak sahaja. Jadi, dia perlu kawal kemarahannya.


"Okeylah. Tadi awak cakap nak bincang, kan? Bincanglah sekarang," kata Zara dengan intonasi suara yang lebih lembut berbanding tadi.


Muslim tersenyum. Ha, boleh pun cakap lembut-lembut dengan aku. Tadi garang macam emak singa hilang anak. Kini hatinya mula terasa sejuk sedikit.


Baru sahaja hendak buka mulut, telefon pintar dalam poket seluar berbunyi. Muslim beri isyarat kepada Zara agar tunggu sekejap. Dia berjalan ke arah sudut menunggu dan menjawab panggilan di situ.


Zara hanya memerhati. Dalam masa yang sama, sempat dia meneliti penampilan Muslim yang berdiri membelakanginya.


Hmm... boleh tahan bergaya juga mamat ni. Dari hujung rambut sampai ke hujung kaki memang tak ada apa-apa yang kurang. Tetapi, takkanlah tak ada buah hati kut sampai perlu upah orang menyamar jadi kekasih?


Setelah tamat berbual, Muslim mendekati Zara semula. Namun, dia jadi hairan apabila mata Zara tidak berkelip merenung mukanya.


"Helo..." Muslim melambai-lambaikan tangan beberapa kali di depan muka Zara tetapi tidak ada respons. Aik! Kena sumpah jadi tugu ke ni?


Mata Muslim berkalih ke arah sebuah kerusi berdekatan meja Zara. Timbul satu idea nakal dalam kepala. Dia tarik dan duduk di sebelah Zara sambil menopang dagu di atas meja. Wajah Zara yang sedang tersenyum-senyum itu direnung lama. Cantik sudah tentu. Kalau tidak, masakan dia terkedu saat pertama kali terpandang Zara tadi.


Dalam masa yang sama, Encik Peon keluar dari biliknya. Dia tergamam melihat Muslim dan Zara duduk sebelah menyebelah sambil berbalas renungan. Biar betul? Tadi bergaduh sakan. Sekarang bermain mata pula.

Kahwin Dengan Aku Ajelah!Where stories live. Discover now