BELUM pun reda dengan masalah yang sedia ada, masalah lain pula yang timbul. Dua hari kemudian, Zara menerima panggilan daripada emaknya yang memberitahu ada orang masuk meminangnya.
Lebih mengejutkan, pinangan yang diterima itu datang daripada Hajah Rokiah, nenek Muslim sendiri! Oh, hampir nak pengsan dia dibuatnya setelah tahu semua itu. Dari mana Hajah Rokiah mendapat alamat rumahnya, dia sendiri tidak tahu. Nak tak nak, dia terpaksa minta cuti mengejut daripada Encik Peon untuk pulang ke kampung.
"Sampai hati Zara rahsiakan semua ni daripada pengetahuan mak dan ayah. Kalau Hajah Rokiah tu tak masuk meminang Zara, sampai sudah mak tak tahu yang Zara ni dah ada pilihan hati," kata Mak Leha ketika duduk berkumpul di ruang tamu sekeluarga.
Zara menggaru-garu kepala yang sarat dengan masalah. Fikirannya ligat mencari alasan untuk menjelaskan keadaan itu kepada orang tuanya.
"Zara tak ada niat pun nak sembunyikan semua ni daripada pengetahuan mak dan ayah. Lagipun Zara dengan Muslim tu cuma kawan biasa aje, mak. Kami baru aje kenal," ujar Zara sambil memaniskan muka. Dia amat berharap agar pintu hati emak dan ayahnya terbuka untuk mempercayai kata-katanya tadi.
Dahi Mak Leha berkerut-kerut memandang Zara.
"Baru kenal? Tapi, Hajah Rokiah beritahu mak, Zara dengan Muslim dah kenal selama dua tahun. Zara ni, benda baik macam tu pun Zara nak sorok jugak ke daripada mak dan ayah? Apa yang Zara nak malukan? Takut mak dan ayah tak restu dengan pilihan Zara, begitu?"
Hajah Rokiah, siap kau! Hati Zara menggerutu geram. Baru sahaja dia hendak membuka mulut, Pak Mutalib terlebih dahulu masuk menyampuk.
"Zara jangan risaulah. Pilihan Zara tu memang dah tepat. Ayah pun berkenan tengok Muslim. Pandai anak ayah ni cari calon suami. Legalah hati ayah sebab lepas ni kami dah tak perlu risaukan pasal jodoh Zara lagi."
"Betul cakap ayah tu. Mak pun berkenan jugak dengan pilihan hati Zara." Mak Leha mengangguk, mengiakan kata-kata Pak Mutalib.
Zara melongo. Mak dan ayah dia berkenan dekat Muslim? Ah, sudah! Matilah aku kali ni. Apa aku nak cakap dekat dia orang? Eii... nenek Muslim ni, suka betul mengacau-bilaukan hidup orang. Sama macam cucu dia juga.
Hati Zara semakin gundah. Sungguh, dia tidak menjangkakan sama sekali keadaan akan menjadi seteruk ini.
Sekarang, ada dua perkara yang dia kena fikir. Pertama, cari jalan nak hentikan perkahwinannya dengan Muslim. Kedua, cari jalan untuk buat emak dan ayah tidak berkenan dengan Muslim. Tetapi, bagaimana?
"Err... mak, ayah... sebenarnya, itu semua bukan macam yang mak dan ayah fikirkan. Tolong dengar dulu apa yang Zara nak cakap."
Mak Leha dan Pak Mutalib saling berbalas-balas pandangan.
"Cakaplah, apa dia?" desak Pak Mutalib.
Zara menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya perlahan. Sungguhpun begitu, ia tetap tidak mampu memadamkan debaran yang bertalu-talu mengetuk jantungnya sejak tadi.
"Zara belum bersedia lagi nak kahwin. Jadi, Zara harap mak dan ayah boleh beritahu Hajah Rokiah yang Zara tak setuju dengan pinangan tu." Takut-takut Zara bersuara.
Walaupun emak dan ayahnya berkenan dengan lelaki yang bernama Harith Muslim itu, tetapi tidak semestinya dia juga turut berkenan sama. Kahwin dengan Muslim? Minta maaf zahir dan batin!
Mak Leha dan Pak Mutalib beradu mata lagi. Kali ini, entah yang kali ke berapa. Lama mereka terdiam sebelum Mak Leha membuka mulut semula.
"Tapi... mak dan ayah dah terima pinangan Muslim tu. Majlis kahwin Zara pun dah ditetapkan pada hujung bulan ni. Tinggal nak buat persiapan dan langsungkan aje."
YOU ARE READING
Kahwin Dengan Aku Ajelah!
RomancePenerbitan Fajar Pakeer 2014 RM23(SM)/RM26(SS) Kata Hajah Rokiah kepada Muslim - "Ya, kahwin! Nenek rasa Mus kena kahwin untuk ubah sikap Mus yang tak ada sikap tanggungjawab terhadap diri sendiri dan jugak diri orang lain." Balas Muslim pula - "Yan...