"YA ALLAH, Miki... Apa yang kau dah buat ni?" Muslim terkejut setelah melihat hasil dandanan Miki ke atas rambut Zara. Matanya tidak mahu berkelip. Miki di sebelah lagilah dia tak nak pandang.
"Buat nenek kau terngangalah," jawab Miki selamba. Dia senyum sambil menjongket kening.
Di saat itu, barulah Muslim menoleh wajah Miki. Dia tidak tahu bagaimana hendak menzahirkan perasaannya.
"Aku suka. Kau memang terbaik, Miki!" puji Muslim lantas mencapai tangan Miki dan menggenggamnya erat-erat.
"Kau suka gaya rambut Zara ke atau kau suka Zara?" seloroh Miki separuh berbisik. Satu penumbuk singgah di bahunya selepas itu. Dia gelak sambil menggosok-gosok bekas tumbukan Muslim tadi.
"Dua-dua." Muslim tersenyum penuh makna.
Zara merenung Muslim dan Miki silih berganti. Dia nampak kedua-duanya saling berbisik sesama sendiri tetapi tidak tahu apakah yang diperkatakan mereka. Adakah Muslim dan Miki kutuk rambut dia?
Zara terus berpaling menghadap cermin semula. Sebenarnya, dia sendiri terkejut melihat gaya baru rambutnya. Inilah kali pertama dia menata rambut. Semuanya sebab Muslim yang paksa!
"Cantiknya sayang abang. Abang suka tengok penampilan sayang macam ni." Tiba-tiba Zara terasa ada hembusan halus menyapa cuping telinganya. Apabila dia toleh, hatinya terus bergetar. Tidak sedar bila Muslim berdiri di sebelah.
"Err... okey ke macam ni?" Zara lontar pertanyaan itu sebab tidak tahu hendak cakap apa. Seluruh tubuhnya rasa menggigil. Macam orang nak demam. Kedudukan Muslim yang begitu rapat dengannya membuatkan dia semakin gementar.
"Cantik sangat-sangat. Nenek abang mesti berkenan kalau tengok sayang nanti." Spontan Muslim memegang beberapa helai rambut Zara.
Gaya long hair wavy itu dilihat sangat sepadan dengan bentuk muka Zara. Dalam masa dua hari sahaja dia rasa dia sudah jatuh cinta banyak kali terhadap Zara. Parah-parah...
"Abang?" Zara menyoal sebelum menekup mulut rapat. Matanya terkelip-kelip pandang Muslim. Isy! Macam mana pulak aku boleh tersasul panggil Muslim abang ni? Bikin malu diri sendiri ajelah.
Tangkai hati Muslim bagaikan direntap. Zara panggil aku abang? getus Muslim seperti tidak percaya. Terasa diri seperti di awang-awangan. Nak sahaja dia suruh Zara ulang panggilan itu sekali lagi.
"Abang lagilah berkenan." Muslim tersengih nakal. Dalam hati, dia menyambung lagi kata-katanya, "Sayang, sudi tak kahwin dengan abang sekarang?"
Tidak semena-mena wajah Zara bertukar menjadi merah padam. Semakin malu dia dengan Muslim.
"Err... ada apa-apa lagi ke yang awak nak ubah?" Zara cepat-cepat menukar topik.
Muslim pandang Zara atas bawah sebelum menggeleng.
"Kita dah tak cukup masa. Tinggal setengah jam aje lagi nak ke pukul satu. Kita kena gerak cepat sebab nanti jalan jem. Karang membebel pulak nenek abang tu," kata Muslim. Diam tak diam, sudah hampir tiga jam mereka berada di butik Miki.
Zara mengangguk lega. Namun, dia tetap berasa rimas dengan penampilannya yang dirasakan seperti gaya mak datin. Kalau bukan sebab terpaksa menyamar jadi kekasih Muslim, jangan harap dia nak pakai kebaya pendek dan kasut tumit tinggi begini. Dengan rambutnya lagi. Janganlah ada orang curi-curi tangkap gambar dia dan sebar dalam Facebook.
Muslim meminta Zara menunggu seketika untuk berurusan dengan Miki mengenai soal bayaran.
"Berapa semuanya, Miki?" tanya Muslim yang sudah pun menarik keluar dompet daripada poket belakang seluarnya.
YOU ARE READING
Kahwin Dengan Aku Ajelah!
RomancePenerbitan Fajar Pakeer 2014 RM23(SM)/RM26(SS) Kata Hajah Rokiah kepada Muslim - "Ya, kahwin! Nenek rasa Mus kena kahwin untuk ubah sikap Mus yang tak ada sikap tanggungjawab terhadap diri sendiri dan jugak diri orang lain." Balas Muslim pula - "Yan...