"MACAM mana Zara kenal dengan kekasih Zara tu? Ceritalah sikit dekat mak dan ayah. Kami pun teringin jugak nak tahu." Mak Leha cuba merisik kisah cinta Zara sewaktu mereka sekeluarga sedang makan malam.
Zara terbatuk tiba-tiba. Kekasih? Sejak bila pula dia ada kekasih? Ini tidak lain dan tidak bukan mesti emak dia maksudkan si Muslim tu. Mati hidup semula pun dia tidak mahu jadi kekasih Muslim.
"Makanlah elok-elok sikit. Habis tersembur nasi tu. Kalau bakal mak mentua tengok tentu dia tak berkenan nak buat jadi menantu nanti," tegur Mak Leha apabila melihat beberapa butir nasi keluar daripada mulut Zara dan jatuh di atas meja.
"Baguslah kalau tak berkenan pun. Selamat Zara daripada kena paksa kahwin." Zara menjawab perlahan tanpa memandang Mak Leha.
"Hai, dah makan nasi pun masih tak ada tenaga nak bercakap ke?" perli Mak Leha. Entah apa yang Zara cakap. Mulut terkumat kumit tetapi butir-butirnya tidak jelas kedengaran.
Zara terus panggung muka dan berkata spontan tanpa sedar, "Ya Allah, mak... Muslim tu cuma kawan Zara ajelah. Bukannya kekasih Zara. Berhentilah mak, buat gosip tak betul ni."
Mak Leha dan Pak Mutalib tercengang. Bulat mata kedua-duanya memandang Zara.
"Zara cakap apa ni?" soal Mak Leha sambil kerut muka.
"Hah?! Zara cakap apa? Apa yang mak dan ayah dengar Zara cakap tadi?" Zara menggelabah apabila melihat muka emak dan ayahnya serius semacam merenungnya.
"Zara cakap mak buat gosip tak betul. Apa pulak yang tak betulnya? Memang betul kan Muslim tu kekasih Zara?" tukas Mak Leha.
Mata Zara buntang. Dia cakap macam tu ke tadi? Erk... habislah kalau terkantoi. Dia tersengih tutup rasa gugup. Nak tak nak, dia terpaksa mengakui kata-kata emaknya tadi bagi mengelakkan rahsianya bocor.
"Yalah, memang betullah tu Muslim tu kekasih Zara. Kekasih awal dan akhir. Tak ada galang gantinya."
Wajah Mak Leha dan Pak Mutalib kembali ceria setelah dengar pengakuan Zara itu.
"Alhamdulillah, lega hati ayah dengar Zara cakap macam tu. Insya-Allah, semoga jodoh Zara dan Muslim kekal sampai akhir hayat," kata Pak Mutalib. Kemudian dia menyambung lagi, "Hah, cepatlah jawab soalan mak tadi. Dah lama ayah dan mak tunggu jawapan Zara."
Zara pandang Mak Leha yang turut sama memandangnya.
"Err... kalau tukar topik lain boleh tak, mak? Topik ni macam tak bestlah nak sembang."
"Alah... mak cuma nak tahu aje. Lagipun selama ni Zara tak pernah cerita pasal Muslim tu kat depan mak dengan ayah." Mak Leha terus berusaha memujuk Zara supaya membuka mulut.
"Muslim tu, macam mana orangnya? Macam mana Zara boleh jatuh cinta dekat dia?" Giliran Pak Mutalib pula menyampuk.
Zara telan air liur. Pertanyaan ayahnya itu bikin dadanya berombak. Namun, dia sedar dia sudah tidak ada pilihan lain selain terpaksa menceritakan kisah cinta palsunya dengan Muslim. Harap-harap Muslim tidak terbelahak sepanjang malam ini.
"Muslim tu orangnya... hitam manis dan tak sedap dipandang."
Pak Mutalib kerut dahi. "Sebab apa pulak?"
"Sebab hidung dia kemek. Senyum dia pulak senget benget. Gigi dia, masya-Allah... banyak rongak, ayah. Memang tak kacak langsung. Muka ayah lagi kacak daripada dia," seloroh Zara tergelak-gelak menerangkan fizikal Muslim yang sengaja direka-reka kepada ayahnya.
"Eh, kacak apa? Mak tengok gambar dia hari tu macam ada iras-iras Beto Kusyairy sikit. Alah... pelakon kegemaran mak tu," celah Mak Leha tersengih-sengih.
YOU ARE READING
Kahwin Dengan Aku Ajelah!
RomancePenerbitan Fajar Pakeer 2014 RM23(SM)/RM26(SS) Kata Hajah Rokiah kepada Muslim - "Ya, kahwin! Nenek rasa Mus kena kahwin untuk ubah sikap Mus yang tak ada sikap tanggungjawab terhadap diri sendiri dan jugak diri orang lain." Balas Muslim pula - "Yan...