Bab 1

12.1K 173 3
                                    

Prolog

"Ayah tak benarkan hang ada hubungan dengan Zara lagi. Kahwin pun ayah tak benarkan. Itu keputusan ayah!" tekan ayah.

"Tapi kenapa, ayah?" soal aku tidak berpuas hati.

"Tak boleh! Hukumnya, haram!" jawab ayah dengan nada tegas.

"Haram? Ayah jangan main-main." Hati aku mula berdebar-debar apabila ayah membantah keras akan pilihan aku.

"Astaghfirullahaladzim! Muka ayah ni nampak macam ayah main-main ka?" tempelak ayah. Wajah serius dan garang sudah mengambil alih di wajah ayah. Sudah lama aku tidak melihat riak wajah ini.

"Ayah nak, mulai sekarang putuskan hubungan... Errr... Aishhh! Aku nak sebut pun terasa berdosa. Putuskan hubungan hangpa berdua yang sekarang ni. Yang ayah nak tahu, hanya ada perasaan sebagai adik-beradik!" tekan ayah sekali lagi dengan keputusan muktamadnya.

"Tapi ayah..." Aku cuba mencelah.

"Jangan bantah cakap ayah! Jangan sampai ayah hilang sabar, Ikmal Bazli!" Suara ayah mula meninggi. Emak yang berada di sebelah ayah sudah teresak-esak menangis.

"Sudahlah, abang. Salah kita juga sebab rahsiakan semua ni." Emak mencelah untuk memujuk ayah yang sedang menahan marah.

"Kenapa ayah dan mak rahsiakan semua ni daripada Li dan Zara?" soal aku yang masih lagi tidak menerima jawapan untuk pertanyaan yang satu ini.

"Kerana amanah, Li. Arwah pak long dan mak long yang memberi amanah ni supaya dirahsiakan," jawab emak bagi pihak ayah.

"Tapi kenapa? Tak adil bagi Li dan Zara. Kami berdua berhak tahu kenapa hubungan sebenar kami berdua dirahsiakan." Aku melemparkan pandangan ke arah Zara yang hanya menunduk memandang permaidani. Air jernih jelas kelihatan membasahi kedua-dua pipinya. Hati kecil aku memberontak untuk menghampirinya dan mengesat air jernih itu. Tetapi...

"Kerana kekurangan diri mak! Kerana ketidaksempurnaan diri mak! Arwah kakak mak sanggup berkorban kasih untuk serahkan satu-satunya waris dia kepada mak," jawab mak lagi. Wajah emak semakin basah dengan air mata. Hati kecil aku menjadi sebak dengan air mata itu. Inilah kali pertama aku membuat emak menangis.

"Mak tak sempurna macam perempuan yang lain. Mak hilang satu-satunya harta yang dimiliki seorang wanita. Kerana takdir Allah, mak terpaksa buang harta yang bernilai tu. Mak keguguran kerana ketumbuhan dalam saluran peranakan," tambah emak lagi.

"Mak lang!" Zara sudah menerpa dan memeluk tubuh emak.

"Zara minta maaf, mak lang, pak lang. Kalaulah Zara tahu akan hubungan sebenar kami berdua. Zara minta ampun dan maaf kepada mak lang dan pak lang. " Zara pun sudah mengongoi menangis bersama-sama emak.

"Mak..." Aku memanggil emak dengan nada mengharap.

"Li... Berdosa besar apa yang Li buat sekarang ni. Sudahlah... Berhenti menyayangi Zara dengan perasaan tu. Cuba menyayangi Zara sebagai adik-beradik," pujuk emak sambil memandang aku.

"Mak! Perasaan ni dah empat tahun sebati dengan diri Li. Semudah itu mak minta Li lupakan hubungan kami berdua? Mustahil, mak!" Entah kenapa tiba-tiba aku membentak dengan permintaan emak itu.

"Ikmal Bazli! " Suara ayah kembali meninggi.

"Mustahil, ayah! Li tak boleh!" jawab aku yang sudah berani melawan cakap ayah.

"Hang nak ada hubungan sumbang mahram dengan adik sendiri? Dah tak ingat dosa? Dah lupa Allah?" jerkah ayah dan spontan tangan ayah mula diangkat tinggi seperti nadanya.

Anugerah Cinta Daripada DiaWhere stories live. Discover now