Bab 13

984 15 0
                                    

Keesokan harinya, aku dan Bazli pulang ke kampung. Sepanjang perjalanan aku hanya mendiamkan diri. Bazli saja yang cuba berbual dengan aku, tapi dibalas dengan sepi. Bazli tak pernah kenal erti mengalah untuk memujuk aku.

Kepulangan aku dan Bazli disambut gembira oleh mak lang dan pak lang. Apa yang pasti, kepulangan Bazli setelah empat tahun di perantauan membuatkan wajah pak lang dan mak lang lebih kelihatan gembira.

Buktinya, pak lang dan mak lang saling berebut untuk mendapat perhatian Bazli. Pak lang beria-ia mengajak Bazli ke surau untuk menunaikan solat maghrib dan isyak di sana. Manakala mak lang pula mengharapkan Bazli berada di rumah menemaninya. Bazli tersenyum gembira melihat telatah mak lang dan pak lang yang seperti kanak-kanak kecil itu.

"Zara balik kampung berapa hari?" soal mak lang ketika aku sedang membantu mak lang menghidangkan makan malam di atas meja makan.

"Kejap aje, mak lang. Zara ada majlis kahwin hari Sabtu ni. Khamis pagi Zara dah kena balik KL," jawab aku.

"Lusa la?" teka mak lang. Aku mengangguk kecil akan tekaan mak lang.

"Assalamualaikum." Kedengaran suara pak lang dan Bazli memberi salam dari ruang tamu di tingkat atas. Pasti kedua-duanya baru pulang dari surau.

"Waalaikumussalam," sahut aku dan mak lang hampir serentak.

Tidak lama kemudian, terjengul kelibat pak lang dan Bazli yang berpakaian Melayu dan berkain pelekat tercegat berdiri di muka pintu. Mereka lantas menuruni anak tangga dapur.

"Makan malam dah siap!" ujar mak lang. Serentak kedua-dua beranak itu menuruni tangga dan menghampiri meja makan.

"Wah! Sedapnya lauk, mak! Masak lemak cili api! Terangkat habis ni." Bazli kegembiraan apabila melihat lauk kegemarannya dihidangkan di atas meja.

"Mak tahu anak mak suka makan. Sebab tu mak masakkan lauk kegemaran Li hari ni. Esok mak masak lauk yang lain pula. Li suka makan pajeri nenas, kan? Esok mak masakkan untuk Li," sahut mak lang yang penuh dengan kasih sayang.

"Terima kasih, mak. Ni yang buat Li sayang sangat kat mak."

"Hmmm... Belalah anak manja sorang ni. Nanti dah naik lemak jangan salahkan abang pula," celah pak lang.

"Anak manja Bibah, anak abang juga. Abang yang bawa dia ke hulu dan ke hilir keliling kampung kalau dia bebai," tukas mak lang apabila pak lang mahu menyakatnya.

"Mak... Ayah... Li kan anak manja mak dan ayah. Li, satu-satunya anak mak dan ayah," celah Bazli dalam pertengkaran mesra pak lang dan mak lang. Aku lihat wajah pak lang dan mak lang tersenyum gembira.

Bazli membacakan doa makan sebelum kami bertiga menikmati makan malam. Aku yang duduk di hadapan Bazli terasa sedikit janggal apabila anak mata Bazli sesekali memandang aku tanpa pengetahuan pak lang dan mak lang.

"Nasi ada atas pinggan, Li. Bukan kat muka Zara," tegur mak lang dengan selamba. Aku jadi serba tidak kena apabila nama aku disebut oleh mak lang. Pasti mak lang mula syak sesuatu. Bazli pula tersengih-sengih.

"Zara balik KL bila?" soal pak lang pula.

"Lusa, pak lang. Zara ada majlis kahwin nak kena handle," balas aku. Pak lang kembali mendiamkan diri.

"Minggu lepas, Tuan Fariz ada datang. Dua hari juga la bermalam di homestay. Tuan Fariz datang tengok masjid," sambung pak lang lagi. Serentak aku memandang Bazli. Riak wajah mula berubah apabila nama lelaki lain disebut oleh pak lang.

"Siapa Tuan Fariz, ayah?" soal Bazli yang mula tidak berpuas hati.

"Kontraktor yang buat masjid baru di kampung kita. Tuan Fariz pernah datang ke rumah sebelum ni. Minggu lepas datang lagi," balas pak lang.

Anugerah Cinta Daripada DiaWhere stories live. Discover now