Ketika bersarapan pada pagi itu, aku mula terasa kelainan pada wajah pak lang dan mak lang. Seperti ada sesuatu yang disembunyikan daripada pengetahuan aku dan juga Bazli. Aku abaikan sahaja, mungkin perasaan aku kut.
"Ayah turun ke laut hari ni?" soal Bazli ketika di meja makan. Pak lang hanya menjawab dengan gelengan kecil.
"Laut beralun besar sekarang ni. Lagipun ayah kena tengokkan orang kampung yang buatkan masjid baru tu. Amanah daripada Tuan Fariz," jawab pak lang setelah selesai mengunyah bihun goreng.
"Sekejap lagi bawa mak hang pi pasar. Ayah tak sempat nak bawa," pesan pak lang lagi. Bazli hanya mengangguk kecil akan pesanan itu.
Tidak lama kemudian, pak lang mula beredar untuk melakukan kerja-kerjanya. Tinggallah aku, mak lang dan Bazli di meja makan. Mak lang hanya mendiamkan diri. Satu perubahan yang membuatkan aku tertanya-tanya.
"Mak lang sihat?" soal aku perlahan. Mak lang memandang aku lalu tersenyum tawar dan mengangguk kecil akan pertanyaan aku.
"Kalau mak tak sihat, kita pergi klinik," celah Bazli yang turut kerisauan dengan perubahan mak lang.
"Mak sihat, Li," jawab mak lang. Aku terkesan sesuatu daripada nada suara mak lang. Pasti ada sesuatu yang mengganggu fikiran mak lang sehingga mak lang hanya berdiam sahaja pada hari ini.
"Mak lang?" panggil aku lalu menggenggam tangan mak lang. Mak lang tersenyum tawar lalu menggeleng kecil kepada aku.
"Mak lang tak dak apa-apa pun. Jangan risau," pujuk mak lang apabila menyedari aku seperti risau akan keadaan mak lang.
Kami bertiga bersama-sama pergi ke pasar. Bazli yang memandu kereta aku. Mak lang masih seperti tadi, hanya diam membisu. Aku dan Bazli semakin risau akan perubahan mak lang. Kenapa mak lang diam aje hari ni? Selalu tak macam ni pun.
Aku menemani mak lang membeli barang di pasar. Bazli hanya membuntuti kami berdua dari belakang sambil membantu membawa barang-barang yang dibeli. Sesekali anak mata aku dan Bazli bertaut seperti menghantar isyarat bahasa mengenai perubahan mak lang.
"Kenapa dengan mak lang, Li?" bisik aku kepadanya ketika mak lang sedang leka membelek ikan.
"Li pun tak tahu kenapa mak tiba-tiba jadi pendiam macam ni. Mesti ada sesuatu yang mak tengah fikirkan tu. Li pun risau juga tengok mak macam ni. Zara cuba la berbual dengan mak," balas Bazli dengan nada perlahan, seakan-akan berbisik kepada aku.
"Mak lang dah tahu pasal kita ke? Sejak pagi tadi mak lang asyik pandang Zara semacam aje. Zara risau la, Li," luah aku akan kerisauan yang aku fikirkan sejak pagi tadi.
"Mustahillah! Tak ada sesiapa pun tahu pasal kita berdua. Li tak sempat lagi nak bercerita dengan mak dan ayah," tukas Bazli dengan jawapannya. Aku mengeluh kecil.
"Nothing to worry, sayang. Semuanya akan okey. Trust me, sayang," pujuk Bazli dengan senyuman menggodanya. Aku hanya tersenyum tawar untuk meredakan kegusaran dalam hati.
"Bazli! Zara!" Spontan aku dan Bazli menoleh ke arah mak lang yang sedang memandang kami berdua dengan pandangan yang lain daripada biasa. Menggelabah aku apabila menjadi tumpuan anak mata mak lang. Mak lang dengar ke perbualan kami berdua?
"Mak ada nak beli apa-apa lagi tak?" pantas Bazli cuba mengubah suasana.
"Zara teman mak lang beli ayam. Li pergi tunggu mak dan Zara di kereta," arah mak lang dengan nada sedikit tegas. Belum pernah aku mendengar nada tegas ini keluar dari mulut mak lang. Tetapi hari ini, kali pertama aku mendengarnya.
Aku dan Bazli akur akan arahan mak lang. Bazli mula mengorak langkah keluar dari bangunan pasar. Aku pula mengekori langkah kaki mak lang untuk membeli ayam.