Bab 3

3.2K 62 0
                                    

Aku memandang wajah pak long yang memanggil aku secara tiba-tiba. Mak long juga turut bersama-sama dengan pak long. Mak dan ayah entah ke mana menghilang. Dan Zara turut tidak kelihatan kelibatnya di mana-mana.

"Kenapa pak long dan mak long panggil Li?" soal aku yang sedikit gerun jika pak long mengetahui akan isi hati yang sudah lama aku pendamkan ini.

"Kenapa Li tak cakap dekat pak long dan mak long pasal tawaran tu?" soal pak long semula. Aku hanya mampu tersengih-sengih dengan pertanyaan pak long.

"Li tolak kut tawaran tu. Makan kos banyak sangatlah. Walaupun Li dapat biasiswa, permulaan ni semuanya kena tanggung sendiri. Visa, pasport, ticket flight, kelengkapan lagi. Li tak nak susahkan ayah dan mak," jelas aku yang sudah maklum akan tawaran yang dimaksudkan oleh pak long itu.

"Kenapa kos perlu dijadikan sebagai alasan? Li tak ada cita-cita? Li tak nak jadi orang yang berjaya?" soal pak long dengan deretan pertanyaan.

"Ikmal Bazli... Apa janji Li kepada mak dan ayah?" soal mak long dengan penuh kelembutan.

"Menjadi orang yang berjaya. Belajar semampu yang mungkin dan membanggakan mak dan ayah," jawab aku.

"Dah tu, kenapa nak tolak pula tawaran? Kan ada biasiswa lagi! Bukan senang nak dapat peluang keemasan macam ni. Li perolehi tawaran ni disebabkan rezeki tu sememangnya tertulis untuk Li. Ramai lagi yang mencuba, tetapi peluang tu diberikan kepada Li. Jangan sesekali menolak rezeki, kelak rezeki akan berpaling daripada kita," nasihat pak long. Aku masih lagi dengan sengihan kambing. Aku menggaru kepala yang tidak gatal untuk mencari alasan yang lain.

"Ayah bukannya berkerjaya besar. Li kena sedar semua tu. Lagi pun, lokal uni kat sini pun bagus-bagus." balas aku dengan alasan lagi.

"Li tak payah fikir pasal kos perbelanjaan semua ni. Selagi pak long dan mak long masih bernafas, Li tetap tanggungjawab kami. Bukan setakat Zara dan Kak Dina. Keputusan pak long, muktamad! Li pergi juga ke sana! Pak long akan uruskan kos perbelanjaan," tekan pak long dengan keputusan itu.

Aku tergamam dengan keputusan pak long itu. Lidah aku kelu untuk memberi alasan lagi. Aku memandang wajah pak long dan mak long silih berganti. Mak long tersenyum manis dan mengangguk kecil. Zara juga memiliki senyuman seperti mak long.

"Pak long... Li..." Tergagap-gagap aku mahu menutur kata-kata. Serentak pak long mengangkat tangan sebagai isyarat aku harus berhenti daripada memberi sebarang alasan lagi.

"Muktamad!" tekan pak long, buat kali terakhir. Aku menelan liur dengan riak wajah garang pak long itu. Tambahan lagi, pak long merupakan seorang pesara polis. Riak wajah garang sudah sinonim dengan pekerjaan itu.

Pak long beransur beredar dari ruang tamu. Kini, hanya tinggal aku dan mak long di ruang tamu, saling berpandangan. Mak long memandang aku tanpa rasa jemu. Entah kenapa aku juga tertarik untuk mengamati wajah mak long. Mata dan hidung aku mirip dengan mak long. Mungkin kerana mak long dan emak ialah adik-beradik. Aku turut terkena tempias iras-iras itu. Entahlah...

"Kamu ni saling tak tumpah macam..." Kata-kata mak long terhenti di situ saja. Aku pula yang tertanya-tanya.

"Macam siapa, mak long?" soal aku semula. Dan mak long hanya balas dengan senyuman manis.

"Bazli..." Suara pak long kembali kedengaran. Aku serentak menoleh dan memandang kelibat pak long sehingga pak long kembali berlabuh di sebelah mak long.

"Ni ada duit belanja sikit untuk beli kelengkapan ke sana. Kalau tak cukup beritahu pak long dan mak long. Insya-Allah kami berdua akan cuba membantu."

Berkerut wajah aku memandang huluran pak long. Aku pandang wajah pak long dan mak long silih berganti. Beberapa keping not ungu masih lagi dihulurkan oleh pak long. Aku menjadi serba salah untuk mengambilnya. Kenapa pak long dan mak long perlu bersusah payah untuk aku?

"Kenapa, pak long?" soal aku dengan nada sedikit bergetar.

"Kenapa pula? Kamu tu pun tanggungjawab pak long dan mak long. Ambil ni! Buat belanja beli kelengkapan. Jangan asyik nak banyak soal," tempelak pak long. Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Bagaimana harus aku terima? Pak long dan mak long masih lagi ada tanggungan. Zara... Lepas tu Kak Dina tak lama lagi akan melangsungkan perkahwinan dengan Abang Naufal.

"Ikmal Bazli... Ambil! " pinta pak long, bersungguh-sungguh. Tidak semena-mena mak long mengambil not-not tersebut lalu diletakkan di dalam genggaman tangan aku.

"Cuma satu aje permintaan mak long. Belajar bersungguh-sungguh. Apa yang Li impikan, jadikan ia sebagai satu kenyataan. Banggakan mak, ayah, mak long dan pak long. Boleh?" pinta mak long yang sudah beralih duduk di sebelah aku.

"Insya-Allah, mak long. Li akan cuba tunaikan. Doakan kejayaan Li," sahut aku. Mak long tersenyum panjang dan membelai rambut aku dengan sepenuh kasih sayang.

"Satu lagi permintaan pak long. Tolong jagakan Kak Dina dan Zara bila mak long dan pak long dah tak ada nanti. Andai kata umur kami berdua tidak panjang... Jagalah, lindungilah Zara dan Kak Dina seperti Li lindungi nyawa sendiri," pesan pak long pula. Semakin pelik aku dibuatnya dengan deretan pesanan pak long dan mak long.

"Boleh Li janji dengan pak long dan mak long?" soal pak long dengan riak wajah serius. Aku memandang wajah pak long menagih kepastian. Nampaknya, pak long bukan main-main dengan pesanan itu.

Aku mengangguk kecil dan memegang tangan pak long dan mak long. "Insya-Allah... Li akan jaga dan lindungi Zara dan Kak Dina seperti nyawa Li sendiri. Dan Li berjanji akan banggakan pak long, mak long, ayah dan mak dengan kejayaan Li," jawab aku tanda bersetuju.

Selepas dua minggu aku berada di Switzerland, aku dikejutkan dengan berita kemalangan pak long dan mak long. Hati ni hanya Allah saja tahu debarannya, lantaran Zara turut terlibat dalam kemalangan itu. Namun, Allah lebih menyayangi pak long dan mak long. Kedua-duanya dijemput Ilahi di tempat kejadian.

Tangisan Zara menghiasi perbualan kami berdua di telefon mahu pun di Yahoo! Messenger. Hati kekasih manakah yang tidak tersentuh melihat linangan air mata itu dan tidak berupaya untuk mengesatnya? Kalau diikutkan hati, mahu saja aku terbang pulang dengan segera dan menenteramkan hati yang sedang sedih itu.

Namun, aku harus akur dengan keadaan. Aku bukanlah anak orang berada yang boleh sesuka hati pulang ke tanah air jika mahu. Aku hanya anak orang kampung! Aku hanya mengharapkan biasiswa yang diperolehi sebagai perbelanjaan aku belajar di bumi asing. Dengan nama Allah dan dengan kata janji kepada pak long dan mak long, aku akan terus berada di bumi asing ini mengejar cita-cita dan mencapai kejayaan yang aku impikan. Insya-Allah.

Bunyi dentuman guruh berserta kilat itu mengejutkan aku daripada lamunan kisah lama. Aku memandang langit yang sudah pun mendung kelam. Angin pun turut bertiup sedikit kencang. Dan aku masih lagi terpacak di bahu jalan tanpa melintas.

Astaghfirullahaladzim! Lama benar aku tenggelam dalam kenangan lama. Aku memandang ke arah seberang jalan. Sekumpulan manusia sedang terpacak berdiri menanti lampu isyarat bertukar warna untuk melintas. Aku membetulkan semula tali beg galas yang hampir melorot jatuh dari bahu.

"Ingat satu pesanan pak long. Kehidupan kita sebagai manusia umpama sebatang jalan dan juga seberang jalan. Liku kehidupan kita ibarat sebatang jalan yang lurus. Jangan disangka jalan yang lurus tak ada halangan. Pasti ada halangannya, sebab Allah mahu menguji kita sebagai hamba-Nya."

"Dan masa depan ibarat seberang jalan raya. Kita berdiri sekarang ni, di seberang jalan yang lain. Jalan yang penuh dengan dugaan dan juga kenangan pahit. Dan jangan samakan seberang jalan di sana pun turut memberi dugaan dan kenangan yang sama kepada kita. Kita perlu berubah dan pelajari daripada dugaan dan kenangan. Move on! Berjalan dan melintasilah ke seberang jalan yang sana jika kita mahukan kebahagiaan. Insya-Allah, setiap manusia sudah ditetapkan kebahagiaannya. Antara lambat atau cepat saja."

Pesanan arwah pak long itu masih lagi terpahat kukuh dalam ingatan aku. Setiap langkah yang aku ambil untuk menyeberangi jalan, ingatan aku terhadap arwah pak long dan mak long semakin kuat. Ya Allah, aku rindu kepada arwah abah dan ibu.

Abah... Ibu... Li reda! Tak pernah sekali pun Li memanggil arwah abah dan ibu dengan gelaran abah dan ibu. Li berasa berdosa sangat-sangat. Maafkan Li atas dosa-dosa Li. Halalkan makan dan minum Li sepanjang menjadi anak abah dan ibu. Ibu, halalkan setiap titisan susu yang ibu suapkan ke mulut Li. Li terima ketentuan takdir Allah. Seikhlas hati Li.

Anugerah Cinta Daripada DiaWhere stories live. Discover now