Ketika aku tiba di hotel, Puan Marina dan Kak Nadhrah terlebih awal berada di sana. Selain mereka berdua, turut kelihatan Nana yang tersenyum kegembiraan melihat kelibat aku. Aku menyalami Puan Marina dan Kak Nadhrah. Dan aku juga memperkenalkan Bazli kepada mereka berdua, tetapi hanya sebagai sepupu aku yang baru pulang dari luar negara.
Aku berjalan beriringan dengan Puan Marina dan Kak Nadhrah sambil menerangkan suasana majlis yang bakal berlangsung beberapa hari lagi. Segala perancangan yang aku aturkan aku maklumkan kepada mereka berdua.
Bazli aku biarkan bersendirian. Nana juga turut ditinggalkan oleh Kak Nadhrah. Sesekali aku mengerling ke arah Bazli yang cuba beramah mesra dengan Nana, menemani Nana berbual. Bazli senang menyesuaikan diri dengan keadaan sekelilingnya.
"Sepupu Zara belajar di mana?" soal Puan Marina yang juga sesekali mengerling ke arah Bazli yang sedang berbual mesra dengan Nana.
"Switzerland," jawab aku.
"Dah lama sepupu Zara belajar di sana?" celah Kak Nadhrah pula.
"Empat tahun. Dah habis belajar sekarang ni," jawab aku lagi.
"Ermmm... Dah habis belajar? Dari Swiss terus datang jumpa Zara, bukan mak dan ayah sepupu Zara?" Kak Nadhrah mula berteka-teki. Aku memandang Kak Nadhrah yang kelihatan sedikit pelik.
"Kenapa, Kak Nadhrah?" soal aku kembali.
"Mesti Zara ni someone special untuk dia, kan? Sepupu yang paling dia sayang, kan?" sergah Kak Nadhrah tiba-tiba. Terkejut kecil aku dengan sergahan Kak Nadhrah.
"Mana ada, Kak Nadhrah! Kami berdua memang rapat sejak kecil lagi. Mungkin dah terbiasa antara satu sama lain," tukas aku sebelum Kak Nadhrah dan Puan Marina dapat menghidu perhubungan aku dengan Bazli.
"Nad." Perlahan sahaja suara Puan Marina menegur Kak Nadhrah apabila aku mula tidak selesa dengan kata-kata Kak Nadhrah.
"Bazli sepupu famili arwah ibu atau arwah abah Zara?" soal Puan Marina pula. Kenapa la semua asyik bertanya mengenai Bazli?
"Sepupu famili arwah ibu," balas aku.
"Masih dihalalkan untuk berkahwin," celah Kak Nadhrah dengan nada perlahan. Terpinga-pinga aku dengan kata-kata Kak Nadhrah. Eh? Kak Nadhrah tahu ke aku berpacaran dengan Bazli?
"Nad... Tak baik cakap macam tu." Sekali lagi Puan Marina menegur akan sikap cakap lepas Kak Nadhrah.
Kak Nadhrah tersenyum tawar kepada aku. "Sorry, Zara. Terlebih hormon," ujarnya kepada aku. Aku sekadar membalas dengan senyuman.
"Abaikan aje Nad ni. Kita berbincang semula pasal majlis nanti." Puan Marina bijak mengawal keadaan sebelum suasana bertukar menjadi janggal.
Aku kembali memberi penerangan kepada Puan Marina dan Kak Nadhrah akan keadaan pelamin yang diingini oleh Mikail dan Aliya. Puan Marina turut bersependapat dengan pilihan Mikail dan Aliya.
Aku juga turut mengambil beberapa keping gambar keadaan dewan itu. Ia akan memudahkan aku melakukan kerja pengubahsuaian nanti. Sedang aku leka mengambil gambar, kedengaran suara Nana menjerit kecil sambil memanggil seseorang. Serentak aku mengalihkan pandangan ke arah Nana.
"Pak ngah!"
Susuk tubuh yang kelihatan santai berkemeja T jenama POLO berwarna merah dan berseluar slek hitam menapak masuk ke dalam dewan. Pakaiannya kelihatan santai sekali pada hari ini. Tidak kerjakah dia?
Sekelip mata sahaja Nana sudah berada di dalam gendongannya. Tubuh itu mengorak langkah menuju ke arah Bazli yang sudah terpacak berdiri menanti akan kehadirannya. Mereka berdua kelihatan berbual mesra lalu berjabat tangan. Seketika kemudian, Bazli dan gerangan pak ngah yang disebut oleh Nana mengalih pandangan kepada aku.