Kertas cadangan projek sudah bersepah di atas meja. Ditambah pula dengan kertas-kertas hasil ujian makmal yang perlu aku teliti dan kelaskan mengikut kumpulan. Skrin komputer riba pula terpamer deretan dokumen. Sudah beberapa bulan keadaan aku sebegini. Menyibukkan diri dengan hal kerja dan membiarkan minda hanya berfikir perihal kerja.
Motifnya adalah satu! Cuba menghindari daripada mengingati kisah silam. Selama beberapa bulan ini aku berjaya daripada memikirkan perihal kisah silam, perihal hubungan cinta yang terpaksa dikuburkan. Hal kerja berjaya membuatkan aku leka. Alhamdulillah...
Tetapi, sampai bila? Sampai bila aku harus menyibukkan diri dengan kerja, tanpa berfikir akan hal lain? Seribu cara aku fikirkan untuk melupakan kisah itu, ternyata ia masih lagi berbekas dalam hati dan ingatan aku. Ya Allah... Berikanlah aku kekuatan untuk menempuhi hari yang mendatang.
Anak mata aku meliar membaca setiap patah perkataan yang tertera di atas kertas cadangan projek. Kemudian, anak mata aku beralih ke arah kertas-kertas hasil ujian makmal pula. Bersilih ganti aku memandang kertas-kertas itu. Dan juga berulang kali aku menyelak kertas-kertas itu semata-mata untuk menyiapkan laporan.
Selesai mencatat sesuatu di atas kedua-dua kertas itu, anak mata aku beralih ke arah skrin komputer riba yang masih lagi terpasang. Baru saja jari-jemari aku mahu mengetuk papan kekunci komputer riba, aku terlihat sesuatu di skrin yang menarik perhatian aku. Kotak kecil di bahagian bawah skrin menarik perhatian aku.
Izara: Assalamualaikum... Li!
Tergamam aku melihat skrin komputer riba. Jari-jemari aku tidak jadi untuk mengetuk. Kaku tiba-tiba. Aku memandang mesej di ruangan chat Facebook itu. Jari aku naik ke dagu dan menggosok di situ. Telapak tangan aku terasa kasar sementelah duri-duri halus yang tumbuh meliar di dagu masih lagi belum dicukur rapi. Tiba-tiba, aku tergerak hati untuk menyimpan jambang halus.
Jari-jemari aku pantas mengetuk papan kekunci komputer riba. Dan, hantar!
Bazli: Waalaikumussalam... Sihat?
Tidak sampai lima minit, skrin komputer riba sudah tertera balasan daripada penghantar.
Izara: Alhamdulillah... Li?
Bazli: Alhamdulillah... Macam mana selepas kahwin? Bahagia?
Jari-jemari aku yang pantas mengetuk langsung tidak memikirkan penerimaan Zara jika pertanyaan itu mungkin menggores hatinya. Apabila hati dan perasaan tidak seiring dengan akal, beginilah jadinya.
Izara: Alhamdulillah. So far, so good. Masing-masing tahu tanggungjawab sendiri .
Jawapan daripada Zara itu membuatkan jari-jemari aku terus terhenti daripada menaip. Anak mata aku tertancap ke arah skrin. Terutama pada perkataan 'tanggungjawab'. Apa yang dimaksudkan oleh Zara dengan tanggungjawab?
Bazli: Maksud Zara?
Aku sabar menunggu balasan daripada Zara. Hampir 10 minit aku menunggu tetapi hanya sepi saja yang aku terima sebagai jawapan. Tanpa sedar, aku mengeluh kecil. Aku kembali menekan butang Minimize. Skrin komputer riba kembali terpamer kerja aku yang tergendala sebentar tadi.
Aku kembali menumpukan perhatian pada kerja aku semula. Skrin komputer riba dan juga kertas menjadi tumpuan mata aku silih berganti. Dek terlalu leka menumpukan perhatian pada kerja, aku tidak sedar akan waktu yang berlalu. Tumpuan aku diganggu dengan bunyi sumbang dari perut.
Krukkk! Krukkk!
Spontan tangan aku mendarat di perut dan mengusap-usap di situ. Adoi, laparlah pula! Semakin galak pula bunyi sumbang itu berbunyi. Terus aku meninggalkan timbunan kerja dan melangkah keluar dari bilik tidur. Langkah kaki ditala ke ruang dapur.