Kedua-dua belah mata aku bengkak disebabkan menangis sepanjang malam. Awal pagi selepas menunaikan solat subuh, aku sudah bertolak pulang ke KL. Mak lang menghalang niat aku untuk pulang seawal sebegini. Tetapi, pak lang pula mengizinkan aku untuk pulang ke KL.
Kelibat Bazli langsung tidak kelihatan. Entah ke mana Bazli menghilang aku pun tidak tahu. Selepas mengetahui hal sebenar, Bazli keluar dari rumah tanpa memberitahu kami bertiga arah tujunya. Pak lang dan mak lang hanya membiarkan pemergian Bazli untuk menenangkan fikiran.
"Maafkan pak lang dan mak lang sebab selama ni sembunyikan hal sebenar daripada Zara dan Bazli," ucap pak lang ketika aku mahu mengundur diri. Aku hanya tersenyum tawar.
"Kak Dina tahu hal ni?" teka aku. Pak lang dan mak lang menggeleng kecil.
"Dina kecik lagi masa tu. Dina baru empat tahun kalau tak silap mak lang," balas mak lang pula. Aku hanya mengangguk kecil. Selepas bersalaman dengan pak lang dan mak lang, lantas aku memandu kereta meninggalkan kampung.
Mengingati semula peristiwa semalam membuatkan aku sakit hati dan dalam masa yang sama aku berasa sangat sedih. Pasti Bazli juga seperti aku. Empat tahun menyulam kasih, akhirnya punah sebegitu sahaja dengan satu kebenaran. Kebenaran yang sememangnya tak dapat aku, mahu pun Bazli menyangkal lagi.
Tanpa sedar, air mata aku mengalir lagi. Masih terngiang-ngiang kata-kata pak lang di cuping telinga aku. Kebenaran yang amat menyakitkan. Semakin aku kesat air mata itu, semakin banyak air mata aku mengalir di pipi.
Aku perlu tenangkan diri aku semula sebelum aku meneruskan kembali perjalanan. Aku memberi isyarat ke kiri dan memandu susur ke kiri, memasuki hentian rehat di tepi lebuh raya. Aku memarkir kereta di kawasan teduh dan jauh sedikit dari orang ramai. Aku menangis semahunya di dalam kereta. Wajah aku basah dengan air mata yang mengalir laju.
Aku sembamkan wajah aku di stereng kereta. Aku hamburkan segala kesedihan aku ketika itu. Aku sudah tidak kesah jika ada orang yang berdekatan dengan kereta aku. Tangisan aku mula kedengaran. Kepada siapa lagi aku harus luahkan rasa sedih aku? Dengan siapa aku harus berkongsi? Ya Allah... Tak pernah aku rasa kesunyian seperti ini. Ibu! Abah! Zara rasa sakit sangat.
Tok-tok! Tiba-tiba, cermin kereta aku diketuk. Aku terkejut kecil lalu mengangkat wajah aku memandang kanan dan kiri kereta. Alangkah terkejutnya aku memandang seraut wajah yang sedang memandang aku dari tepi kiri kereta. Dia? Dia buat apa di sini?
"Buka pintu ni!" arahnya dari luar. Seperti biasa, wajahnya kelihatan serius. Tetapi, aku terkesan sesuatu di wajah serius itu. Raut kerisauan! Kenapa dengan dia?
"Izara Batrisya! I said, open this damn door!" arahnya sekali lagi. Akhirnya, aku mengalah juga dengan arahannya. Pantas sahaja tubuh tegap itu meloloskan diri ke dalam perut kereta.
Bum! Pintu kereta dihempas dengan kuat. Aku terkejut sehingga terpejam mata aku dengan bunyi hempasan itu. Aku memandang wajah lelaki yang selamba berada di dalam kereta dengan aku ketika ini.
"Kau ni, kenapa? Menangis macam orang mati laki," perlinya apabila kami berdua saling berpandangan. Aku tidak mengendahkan pertanyaannya.
"Kau ni kenapa?" soalnya lagi yang masih belum berpuas hati selagi aku tidak memberi jawapan kepada pertanyaannya.
"Awak masuk ke dalam kereta saya, kenapa? Kalau nak berceramah kepada saya rasanya tak perlulah. Dipersilakan keluar dari kereta saya ni," sindir aku kembali. Fariz diam membisu.
Aku hanya membiarkan kelibat Fariz bersama-sama aku di dalam kereta. Aku menangis lagi tanpa menghiraukan kelibat Fariz. Fariz hanya diam menyepi, membiarkan aku dengan kesedihan dan tangisan.