Bab 2

4.6K 78 0
                                    

Let the rain wash away the pain of yesterday – Zakia Purity.

Sudah dua bulan bumi Zurich aku diami. Dan sepanjang tempoh itu jugalah ingatan aku kepada insan yang bernama Izara Batrisya masih lagi utuh. Malah, aku langsung tidak melupakannya setiap detik dan setiap saat yang pernah dilalui oleh kami berdua. Hanya ingatan itu saja yang membuatkan aku kuat untuk terus berdiri dan melalui hari-hari yang mendatang.

"Kau keluar pergi mana-mana hari ni?" soal Anas, rakan serumah dan sekerja aku di Zurich ini. Aku menoleh sekilas ke wajah Anas yang sedang bersantai di atas sofa.

"Kenapa?" soal aku semula.

"Nak minta tolong belikan barang dapur. Ada beberapa barang yang tak ada di dapur tu. Kalau beli siap-siap senang cerita. Bila-bila nak masak barang dah ada," jelas Anas lalu menghulurkan sehelai kertas berukuran note pad kepada aku.

"Barang basah ke kering?" Huluran Anas tetap disambut oleh aku. Malas aku mahu membelek senarai barang-barang tersebut, terus saja kertas itu dilipat dan dimasukkan ke dalam kocek belakang seluar jean.

"Barang-barang kering aje," jawab Anas tanpa memandang aku lagi. Anak matanya lebih tertumpu ke arah skrin MacBook Apple miliknya.

Tanpa berbual dengan lebih panjang, aku kembali memerap di dalam bilik. Hanya itu saja aktiviti aku setiap hujung minggu. Hanya bilik tidur tempat aku untuk menghabiskan masa dan juga mengubati rindu terhadap Zara.

Sebaik saja berada di dalam bilik, anak mata aku tertancap ke arah sebuah bingkai gambar yang berada di atas meja. Aku mencapai bingkai gambar dan menatap gambar itu dengan penuh rindu.

"Zara... Li rindukan Zara. Rindu sangat! Kenapa Zara tak balas e-mel dan mesej-mesej daripada Li? Zara tak rindukan Li ke?" rungut aku sendirian. Aku menghempas tubuh ke atas katil.

Selama tempoh dua bulan ini, tiada langsung khabar berita daripada Zara. Malah, e-mel dan mesej-mesej daripada aku langsung tidak dibalas. Hati aku panasaran ingin mengetahui akan keadaan Zara yang berada jauh dari aku. Namun, apakan daya... Aku harus akur dengan kebenaran dan juga situasi. Tidak mungkin aku akan menelefon Zara setelah wanita itu bergelar isteri kepada Fariz Adryan. Antara aku dan Fariz terselit sebuah kisah yang sangat menyakitkan hati. Dan mahu saja aku melepaskan tumbukan ke wajah lelaki itu jika kami berdua bertentang mata lagi.

Sedang leka mengelamun, kedengaran deringan dari komputer riba yang dibiar terpasang itu. Lantas aku menoleh ke arah skrin jika Zara yang membuat panggilan video itu. Tetapi hampa. Nama Dina Naufal yang terpamer di skrin. Aku bangun dari perbaringan dengan perasaan malas. Kemudian, aku menekan butang Accept dan berlabuh di atas kerusi.

"Bazli..." sapa Kak Dina.

"Ya, Kak Dina?" sahut aku apabila wajah Kak Dina sudah muncul di skrin.

"Sihat?" soal Kak Dina. Aku hanya mengangguk kecil.

"Macam yang Kak Dina nampak sekarang, masih bernafas dan boleh tersenyum walaupun dalam hati ni lukanya terlalu dalam," balas aku. Giliran Kak Dina pula yang tersenyum hambar.

"Li ada perlukan apa-apa kat sana tak?" Pertanyaan Kak Dina itu aku balas dengan gelengan.

"Li boleh jaga diri Li sendiri. Tak perlu risaukan Li," balas aku dengan nada sedikit bergetar.

"Li... Kuatkan semangat, ya? Dah bukan jodoh Li dengan Zara. Kak Dina pun tak tahu-menahu pasal ni. Arwah abah dan ibu berahsia dengan Kak Dina. Mak lang dan pak lang pun berahsia dengan kita. Maafkan Kak Dina," pujuk Kak Dina berserta penjelasan.

"Tak apa, Kak Dina. Permainan takdir. Percaturan Allah. Kita hanya sebagai pemegang watak. Reda dan berserah sajalah semuanya. Mahu dilawan, sudah ketentuan takdir. Mahu dibantah, suratan dan juga ketetapan daripada Allah. Jalan yang terakhir, reda dan berserah." Nada aku mula perlahan dan kembali lemah. Dan akhir sekali, air mata lelaki yang cuba aku bendung selama tempoh dua bulan ini kembali mengalir.

Anugerah Cinta Daripada DiaWhere stories live. Discover now