Syed merupakan seorang kaki pancing dan peminat ikan arowana. Di rumah, dia membela lapan ekor ikan tersebut daripada pelbagai spesies dan saiz. Setakat ini yang paling kecil bersaiz dua belas sentimeter panjang, dan yang paling besar lebih kurang 40 sentimeter panjang.
Dalam banyak-banyak spesies arowana peliharaan Syed, ada seekor daripada spesies Golden Crossback yang dia kira 'mendatangkan masalah'. Sebenarnya bukanlah masalah, tapi ada perkara yang menghairankan berlaku pada akuarium ikan tersebut. Golden Crossback tersebut bersaiz agak besar iaitu kira-kira lebih satu tapak tangan dan 35 sentimeter panjang.
Anak buah Syed adalah orang yang mula-mula perasan tentang imej pelik yang terdapat pada akuarium itu. Imej tersebut adalah wajah seseorang yang berkepala botak dan berpakaian kuning.
Syed hanya gelak saja. Bila Syed tidak percaya, anak buah Syed menyuruh Syed melihat sendiri. Bagi memuaskan hatinya, Syed turut saja katanya.
Hmmm... tak nampak apa-apa pun. Yang Syed nampak adalah seekor arowana saja.
Bukan sekali anak buah Syed ternampak-nampak imej lelaki tua botak di dalam akuarium tersebut. Kali kedua ke rumah Syed(rumah datuk dan neneknya), anak buah Syed nampak benda yang sama. Kemunculan wajah tersebut tidak lama. Ia dalam bentuk imbasan sahaja. Mungkin tak sampai pun sesaat.
Untuk pengetahuan semua, ikan arowana Golden Crossback yang terletak di dalam akuarium yang dikatakan wujud lelaki berkepala botak tersebut bukan Syed bela dari kecil seperi ikan-ikan arowana beberapa spesies yang lain. Ikan tersebut baru saja Syed belik kira-kira dua bulan sebelum itu.
Syed tidak boleh lepaskan peluang memilikinya kerana harga yang ditawarkan cukup menarik. Bayangkan spesies ikan arowana antara yang termahal itu ditawarkan kepada Syed dengan harga tidak sampai RM200. Tersangat murah tu! Siapa yang tidak mahu!
Selepas empat kali anak buah Syed perasan yang dia terpandang-pandang wajah lelaki botak pada akuarium itu, Syed berharap apa yang anak buah dia nampak, akan Syed nampak juga. Namun, setiap hari Syed belek-belek, tak ada pun.
Yang membingungkan adalah cara penampakannya, mengapa disebalik sebelah dalam dinding akuarium ikan arowana yang itu-itu juga. Mengapa tidak di akuarium-akuarium arowana spesies lain yang Syed bela?
Puas Syed fikir, apa kaitan ikan tersebut dengan wajah yang telah empat kali muncul itu. Mengapa hanya anak buah dia yang seorang itu saja yang nampak? Mengapa anak-anak buah yang lain tidak nampak? Mengapa Syed sendiri sebagai pemiliknya, tidak nampak?
Abang Lan, ayah kepada anak buah Syed menyarankan supaya dia bertanya kepada tuan kedai tempat dia membeli ikan tersebut. Mungkin dia tahu.
Abang Lan suruh Syed tanyakan mengapa tuan kedai menjual spesies arowana termahal yang bersaiz besar dengan harga yang murah tidak masuk akal. Mesti ada sesuatu yang tak kena.
Betul juga. Atas saranan Abang Lan, Syed bertanyakan Ah Ken, tuan kedai ikan tempat Syed membeli arowana tersebut. Apa yang dinyatakan oleh Ah Ken amat mengejutkan Syed!
Ah Ken beritahu, sebelum ikan itu jadi milik Syed, ia dimiliki oleh seorang berbangsa Cina yang menetap berhampiran kawasan mereka. Dia berasal dari Kelantan.
Pada awalnya, lelaki Cina itu meminta Ah Ken menjagakan ikan arowana tersebut kerana dia akan keluar negara untuk tempoh tiga bulan. Namun setelah hampir setahun, pemilik itu masih tidak menuntut ikan berkenaan.
Kemudian, Ah Ken dapat panggilan telefon yang tuan ikan tersebut tidak mahu lagi ikan itu. Katanya ikan itu 'suweh', tidak membawa ong atau nasib baik kepada pemiliknya menurut kepercayaan orang Cina.
Memandangkan ikan tersebut dikatakan 'suweh', Ah Ken terus percaya. Katanya, hendak dibuang, sayang. Sebab itulah bila Syed tanyakan berapa harga ikan yang Syed idam-idamkan itu dan Ah Ken pula tawarkan dengan harga yang sangat murah, tanpa berfikir panjang, Syed terus membelinya.
Menurut Ah Ken lagi, pemilik pertama ikan tersebut sebelum dibeli oleh lelaki Cina Kelantan dan Syed, adalah seorang sami Buddha berketurunan Siam di Kelantan.
Sami Buddha berketurunan Siam? Wah, ayat Ah Ken itu benar-benar membuatkan Syed terkejut. Ada sesuatu yang tiba-tiba bermain di kepala Syed.
Menurut Ah Ken, setelah sami mati, semua ikan peliharaannya disedahkan kepada orangramai oleh anak-anak buahnya. Sami tersebut yang mewasiatkan demikian.
Sami tersebut memang gemar membela ikan terutamanya arowana. Malah sami tersebut juga terkenal dengan panggilan ' Sami Arowana' bagi penganut Buddha di Kelantan.
Pemilik kedua selepas sami tersebut adalah sepasang suami isteri berketurunan Siam, juga di Kelantan. Pasangan tersebut gembira kerana padanya, dengan 'berkat' sami tersebut, mungkin mereka akan dikurniakan zuriat.
Tapi entah kenapa, mereka hanya membelanya selama dua bulan, sebelum ia dijual kepada seorang penggemar arowana lain.
Begitu juga dengan pemilik ketiga arowana tersebut. Ah Ken kata pemilik baru juga tidak lama membela ikan itu.
Lebih kurang empat bulan, Ah Ken menjualnya kepada seorang lelaki Cina. Lelaki itu adalah orang yang meminta Ah Ken jagakan ikan tersebut kerana dia keluar negara.
Daripada tuan punya iaitu Sami Arowana berketurunan Siam, kemudian berpindah kepada sepasang suami isteri berketurunan Siam, selepas itu bertukar milik kepada orang ketiga, kemudian kepada lelaki Cina sebelum Ah Ken, sudah lima kali ikan berkenaan tersebut bertukar milik. Setelah Ah Ken, akhirnya Syed menjadi pemilik akhirnya, pemilik keenam.
Kalau ikan tersebut tidak lagi dibela oleh sami Buddha itu, memang Syed faham kenapa, sebab dia telah mati. Tetapi kenapa pemilik-pemilik selepas itu tidak sanggup membela ikan tersebut?
Untuk mengetahu kisah selanjutnya, sila ke part yang terakhir untuk tajuk ini. ^_^
YOU ARE READING
Koleksi cerita seram
Terrorsambil membaca, jangan lupa memandang ke luar tingkap. Mungkin ada tetamu di luar sana yang sedang memandang anda. Atau dia sedang menunggu di dapur, tandas , menanti kedatangan pada lewat malam. Mana tahu, kan? Jangan gugup, mereka juga sama seper...