Aznan memang tidak pernah percaya kepada hantu. Kalau sesiapa bercerita pasal hantu. Kalau sesiapa bercerita tentang hantu padanya, pasti Aznan akan ketawakan. Bagi Aznan, orang yang percaya kepada hantu adalah orang yang tidak waras.
Bukannya gila, tapi orang yang waras takkan percaya pada hantu. Jadi kalau orang itu percayakan hantu, maknanya otaknya tidak berapa waras.
Bekerja sebagai pengawal keselamatan membuatkan Aznan sering mendengar cerita-cerita hantu dari kawan-kawan. Ada yang bercerita diganggu hantu pocong, ada yang terdengar bunyi hilaian puntianak, bilik pengawal diketuk-ketuk dan macam-macam lagi.
Pernah juga kawan Aznan bercerita bagaimana dirinya diekori oleh bunyi tampak kaki semasa meronda. Dari tempat kerja, dia diekori pula hingga ke rumah sampaikan anak kecilnya menangis sepanjang malam dan menjerit-jerit seperti disergah sesuatu yang menakutkan.
Setiap kali mendengar kisah-kisah itu, Aznan akan ketawa terbahak-bahak. Kau orang memang dah tak waras, kah kah kah.... itulah yang akan keluar dari mulut Aznan. Kata Aznan, semua itu karut. Ia terjadi secara kebetulan, atau mainan perasaan semata-mata.
Awal 2010, Aznan berpindah tempat kerja dengan menjadi pengawal keselamatan di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Hotel besar dan agak terkenal, baru dibina sekitar lima tahun. Seperti tempat-tempat kerjanya sebelum itu, Aznan dinasihatkan supaya berhati-hati apabila bekerja syif malam kerana di hotel itu juga 'hantunya'.
Salah satu tempat yang keras adalah bilik locker tempat para pengawal keselamatan menyimpan barang-barang mereka di lower ground. kata pengawal yang sudah lama bekerja, sudah beberapa kali mereka terserempak dengan pocong di bilik itu.
Bila buka saja lampu, pocong itu dilihat berdiri betul-betul di hadapan pintu. Pernah juga pengawal melihat pocong tersebut terbaring di lantai.
Satu lagi tempat ialah sekitar tingkat paling atas. Kononnya di situ sudah berlaku kejadian bunuh diri apabila penghuni terjun dari balkoninya. Seringkali pengawal yang meronda di kawasan itu berasa diri mereka diekori dan rasa seram sejuk di tengkuk.
Penghuni bilik-bilik di tingkat itu juga sudah ramai yang mengadu melihat jelmaan seseorang yang tercegat di balkoni. Tetapi apabila mereka menghampirinya, tiada sesiapa pun.
Penghuni lain mengadu tiba-tiba terasa ada seseorang berbaring di sebelah mereka. Pekerja hotel menerima aduan, seorang penghuni lari meninggalkan bilik pada awal pagi kerana tidak dapat tidur sepanjang malam.
Ini kerana, apabila hendak melelapkan saja mata, dia akan terdengar bunyi suara orang menangis di balkoni.
"Kah kah kah... sudahlah, tak payah ceritalah pada aku. Mengarut aja semua tu. Aku ni dah 10 tahun jadi jaga, seekor hantu pun aku tak pernah jumpa.
"Aku pun kerja syif malam macam kau orang, apa pasal tak jumpa hantu? Kau orang tau tak kenapa? Tau?" kata Aznan sambil memancing kawan-kawan baru yang rata-rata jauh lebih muda daripadanya, supaya bertanya.
"Haa... kenapa?" soal Hafiz, salah seorang daripada pengawal keselamatan itu.
"Sebab... otak aku ni waras lagi! Kah kah kah..." jawab Aznan langsung ketawa terbahak-bahak.
Keangkuhan Aznan itu semakin hari semakin menjadi-jadi kerasa selepas bekerja hampir sebulan, seekor hantu pun tidak pernah dilihatnya. Ini menyebabkan Aznan semakin sombong dan mentertawakan kawan-kawan yang cuba menasihatkannya supaya menjaga mulut.
Akhirnya, ramai yang malas melayan sikap Aznan itu. Mereja juga membiarkan saja Aznan meninjau tempat-tempat yang dianggap keras dan pernah terserampak dengan jelmaan-jelmaan menakutkan.
Aznan terus bermulut celopar, sampailah pada suatu malam sekitar awal 2011. Malam itu Aznan dan Hafiz ditugaskan oleh penyelianya, Badrul, untuk meronda dari tingkat satu ke atas, termasuklah penghujung tingkat paling atas dan kolam renang.
Floor patrol yang dilakukan pada pukul 1.00 tidak menemui apa-apa yang mencurigakan. Sekitar pukul 3.00 pagi, sekali lagi floor patrol dijalankan. Bagaimanapun, hanya Aznan yang melakukannya seorang kerana Hafiz tiba-tiba saja kurang sihat. Jadi dia berehat di sofa lobi.
Setelah meninjau tingkat demi tingkat, Aznan pergi ke aras dua. Tingkat dua lengang. Persembahan live band sudah berakhir, begitu juga dengan bilik karaoke.
Tiada sesiapa di lobi, kecuali pekerka-pekerja hotel dan Hafiz yang nampaknya mula mengantuk. Para penghuni sudah lama masuk ke bilik masing-masing.
Ketika berjalan di lorong kecil menuju ke kolam renang, tiba-tiba Aznan terdengar seperti bunyi orang sedang berenang. Atau mungkin juga sedang bermain air.
"Isy... bahaya ni. Mana boleh berenang waktu macam ni. Kalau jadi apa-apa, siapa nak bertanggungjawab?" kata Aznan di dalam hati sambil mempercepatkan langkahnya.
Dia mahu melihat, siapa pengunjung hotel yang berani sangat berenang pada waktu dinihari begitu, sedangkan kolam renang sudah pun ditutup pada pukul 8.00 malam tadi lagi dan lampu-lampu di sekitarnya juga tidak dinyalakan.
Pada waktu begitu, tiada sesiapa yang dibenarkan menggunakan kolam renang. Seandainya ingkar, mereka akan diminta segera meninggalkannya. Jika terjadi kemalangan, pihak hotel takkan bertanggungjawab.
Langkah Aznan semakin pantas, tetapi anehnya, apabila sampai di kolam renang, bunyi orang berenang itu serta-merta hilang. Cahaya samar-samar dari lampu hotel menujukkan air di kolam itu tenang sahaja. Tidak berkocak langsung.
"Eh... tadi aku dengar bunyi orang berenang, takkan serta-merta aja berhenti," dia terpinga-pinga.
Beberapa ketika memerhati, Aznan mengambil keputusan untuk beredar ke tempat lain. Tetapi ketika baru hendak meninggalkan kawasan kolam renang tersebut, dia perasan ada seseorang yang sedang duduk di kerusi paling hujung, berhampiran tembok.
Tempat itu agak gelap, selain agak jauh, ia juga dilengkapi payung. Lampu di sekitarnya tidak dinyalakan, menyebabkan Aznan hanya nampak susuk tubuh orang itu sahaja,gelap dan hitam.
"Apa pasallah yang engkau mandi sorang sorang waktu malam ni," Aznan merungut sendirian sewaktu berjalan menghala ke arah orang yang dilihatnya itu.
Langkah demi langkah diatur dan Aznan kini semakin hampir.
"Err... cik adik... pengunjung tak dibenarkan mandi pada waktu begini. Kawasan kolan renang ini ditutup sejak pukul 8.00 malam tadi," kata Aznan kepada seorang wanita yang dilihatnya duduk di kerusi tersebut.
Sambung...
YOU ARE READING
Koleksi cerita seram
Horrorsambil membaca, jangan lupa memandang ke luar tingkap. Mungkin ada tetamu di luar sana yang sedang memandang anda. Atau dia sedang menunggu di dapur, tandas , menanti kedatangan pada lewat malam. Mana tahu, kan? Jangan gugup, mereka juga sama seper...