Prolog
"Apa?" soalku.
"Awak cantiklah hari ni."
"Baru tahu ke? Hari-hari saya cantik." Aku ketawa.
"Perasan juga dia ni."
"Tadi awak yang puji." Aku buat muka merajuk.
"Yalah, yalah. Awak memang cantik. Ni, saya nak minta nombor IC awak."
"Buat apa nak nombor IC saya?"
"Kalau saya nak, adalah benda saya nak buat."
"Ngeee..." Aku keluarkan beg duit, kemudian cari kad pengenalan.
"Cakaplah nak buat apa?" Aku hulurkan kad pengenalanku.
"Saya nak isi borang nikah."
Aku ketawa lagi. Banyaklah borang nikah dia.
Bab 1
MAK LONG bakal mengadakan majlis perkahwinan Ahad ni. Giliran Kak Aishah pula bertemu jodoh. Sebenarnya aku malas hendak hadirkan diri, tetapi mak long begitu memaksa. Aku sedar, majlis ni hanya bakal menyakitkan hati aku saja. Sebaiknya aku tak perlu tunjuk muka, tapi apa boleh buat. Nanti apa pula kata mak long. Pasti gelaran anak saudara tak kenang budi bakal aku dapat kalau aku beri macam-macam alasan. Nak atau tidak, terpaksalah aku hadir juga.
Sebaik sahaja tiba di perhentian bas Kamunting, aku cuba hubungi rumah mak long. Dua tiga kali aku cuba hubungi, tapi tak berangkat. Aku faham, semuanya masih tidur nyenyak. Aku cuba lagi untuk sekian kalinya. Harap kali ini ada yang jawab.
"Helo, siapa ni?" Suara seorang budak lelaki bertanya. Mungkin salah seorang cucu mak long. Tidak pun anak kepada kaum keluarga yang lain.
"Boleh bercakap dengan mak long?"
"Kejap."
Aku menunggu. Agak lama juga. Sabar, Maisarah. Sabar itu separuh daripada iman dan sabar itu juga sangat indah.
"Helo, siapa ni?" Suara mak long garau. Mak long atau nama sebenarnya Hajah Kamisah memang seorang yang agak garang. Aku pun takut dengan mak long. Tak boleh silap sikit, mulalah kena tengking. Aku tahu mak long tadi sedang tidur. Maklumlah baru pukul 4.30 pagi. Aku sudah mengganggu tidurnya. Tak pasal ini sah kena hambur dengan mak long.
"Maisarah ni. Saya dah sampai. Boleh tak siapa-siapa ambil saya?" Aku meraih simpati.
"Kau ni Mai, kalau tak menyusahkan orang, memang tak sah. Carilah teksi ke apa ke? Kalau tak, jalan kaki! Itu pun tak boleh nak fikir!" Mak long menengking. Aku memang sudah agak bakal menerima jawapan seperti itu tapi masih juga mahu mencuba. Mana tahu ada belas kasihan daripada mak long.
Mak long letak telefon selepas itu tanpa mempedulikan aku yang keseorangan di sini. Sampainya hati mak long. Suruh aku datang, tapi langsung tidak diumpamakan. Macam aku pula yang terhegeh-hegeh untuk ke majlis mereka.
Aku kembali buntu. Nak naik teksi kena tunggu siang terlebih dahulu. Manalah ada teksi waktu begini. Kalau ada pun kira nasiblah. Nak tak nak, terpaksalah aku tunggu di sini.
Ah! Mata pula bagai digam-gam. Mengantuk betul. Aku duduk di kerusi perhentian bas. Sunyi dan sepi. Ketika ini aku bermohon agar tiada apa-apa yang berlaku terhadapku. Mohon aku dijauhkan dari segala bahaya. Hidup aku sudah sedia susah, jangan disusahkan lagi dengan perkara-perkara yang tidak diingini.
Ayah aku entah di mana. Sejak lahir memang tak pernah jumpa. Ibu pula meninggal dunia sebaik sahaja melahirkan aku. Mujur aku ada nenek. Dengan neneklah aku menumpang hidup dan menumpang sayang. Umur nenek pun tak panjang. Dia meninggal sebaik sahaja aku habis SPM. Selepas SPM, aku merantau ke Kuala Lumpur dan di situ bermula kehidupanku. Pelbagai kerja aku lakukan dan terakhir aku bekerja di salah sebuah butik milik kawan baikku.
YOU ARE READING
Saya Kan Ada
HumorTajuk: Saya Kan Ada Penulis: Marissa Muka Surat : 528 Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-23-5 Harga: RM22.00 (Semenanjung) // RM25.00 (Sabah & Sarawak)