RESAH dari petang tadi aku bawa hingga ke malam. Tak tahu kenapa sejak Ekin sebut pasal isteri Hairiz, aku memang tak tentu arah. Selalu rajin juga aku sambung menjahit waktu-waktu begini. Tapi kali ini aku benar-benar tak sedap hati. Ada sesuatu yang benar-benar buat aku tak senang.
Kebiasaannya Hairiz akan telefon aku, tapi biarlah kali ini aku pula yang telefon dia.
"Assalamualaikum." Hairiz beri salam. Terkejut agaknya tiba-tiba aku telefon dia.
"Waalaikumussalam." Aku jawab dan pandang kipas dinding yang sedang berpusing di dalam bilik tidurku. Rumah milik keluarga Ekin ini menjadi tempat aku menumpang teduh. Empat tahun lepas, aku menyewa bilik di Bangsar. Selepas ayah Ekin, seorang pegawai kerajaan bersara, keluarganya berpindah ke Melaka. Tapi Ekin tidak ikut sekali kerana menguruskan butiknya.
"Eh, awak matikan kejap panggilan ni. Biar saya call awak," kata Hairiz.
"Tak nak. Kali ni memang saya yang call awak."
"Apa pasal pula ni?"
"Saja..."
"Kalau berbual dengan saya mesti satu jam. Kalau tidak, jangan nak gatal call saya." Walau Hairiz sebut dengan nada bergurau tapi aku rasa dia memang serius.
"Habislah kredit saya."
Tiba-tiba saja Hairiz matikan panggilan. Hairiz ni memang. Berselang beberapa saat, telefon bimbitku berbunyi semula.
"Awak ni..." Lemah saja suaraku.
"Jangan nak buang tebiat pula. Tak pernah-pernahnya call saya, tiba-tiba malam ni call saya. Jangan buat saya takut boleh tak?"
"Selalu awak call saya, bagilah peluang saya call awak pula."
"Dah, dah. Jangan nak merepek. Kenapa tiba-tiba call saya ni?" soalnya. Seperti sedang mengunyah sesuatu. Entah apa yang sedang dikunyah Hairiz.
"Awak, kalau saya tanya, boleh tak awak jawab dengan jujur?" Kenapa aku rasa seperti terdesak saja? Sedangkan Hairiz itu hanya seorang sepupu. Penting sangatkah perkara ni pada aku?
"Tanyalah. Pernah ke saya menipu awak selama ni?"
Aku gigit hujung bibir. Serba salah nak tanya. Nanti Hairiz mesti fikir yang bukan-bukan. Ah! Menyesalnya. Tapi kalau aku tak tanya, mahu satu malam pula aku tak tidur. Lebih teruk lagi, bukan setakat malam ni, malam esok dan malam berikutnya mesti tak tidur sama. Aku kena buat pilihan kalau mahu berasa senang hati.
"Mai, kenapa diam? Kata tadi nak tanya. Tanyalah apa awak nak tanya."
"Tak apalah. Lain kali saya tanya."
"Kejap, saya nak pakai baju. Saya datang rumah awak sekarang juga."
"Tak nak! Tak nak!"
"Kalau macam tu lebih baik awak cakap. Apa masalahnya?"
"Bukan ada apa-apa pun. Nak tanya biasa-biasa saja."
"Biasa bagi awak, tapi luar biasa bagi saya. Boleh tak jangan buat saya risau?" Hairiz mula mendesak. Kalau dia cakap dia akan muncul di hadapan rumah, tak sampai setengah jam dia akan muncul. Aku kenal sepupu aku seorang ini. Apa yang dia sebut, dia buat.
"Saya nak tanya, awak dah ada teman wanita ke?" Akhirnya aku tanya juga soalan bodoh tu. Selagi tak tanya, selagi itulah berteka-teki dan aku juga yang gelisah sendiri.
"Kejap, awak tanya apa?"
Tak dengar atau buat-buat tak dengar?
"Awak dah ada teman wanita ke?"
YOU ARE READING
Saya Kan Ada
HumorTajuk: Saya Kan Ada Penulis: Marissa Muka Surat : 528 Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-23-5 Harga: RM22.00 (Semenanjung) // RM25.00 (Sabah & Sarawak)