Bab 9

3.9K 66 5
                                    

BEBERAPA hari ini, keadaan seperti biasa sahaja. Aku tidak mendengar sebarang cerita daripada Hairiz tentang Abang Razak mahu pun Kak Yati. Rancangan hendak ke Fraser Hill berjalan seperti yang dijanjikan.

Aku rasa Hairiz tak dedahkan perkara tersebut sebab Hairiz tak bercerita langsung pasal Abang Razak. Mungkin dia juga memilih untuk tidak campur tangan.

Pukul 8.00 pagi Hairiz sudah sampai. Mujur aku sempat masak nasi dan beberapa jenis lauk termasuk lauk kegemaran Hairiz. Nanas masak lemak dengan ikan talang masin. Salah seorang pelanggan tetap Ekin makan angin ke Tanjung Dawai dan belikan Ekin ikan talang. Dah lama Ekin suruh aku masak. Kebetulan hari ni baru berkesempatan masak.

Hairiz tercegat tepi kereta. Aduhai, segaknya sepupu aku ni. Kalau orang lain, memang dulu-dulu aku pikat. Tapi apakan daya, dia sepupu aku dan orang yang paling rapat. Lelaki yang aku ada dan aku tidak mahu kehilangannya hanya kerana aku jatuh cinta.

"Apa lagi ni, masak bagai," kata Hairiz bila melihat aku membawa bakul yang berisi bekas makanan.

"Habis, tak nak makan-makan ke nanti? Saya masak istimewa hari ni. Masakan kegemaran awak. Nanas masak lemak dengan ikan talang."

"Serius?" Hairiz tanya. Mungkin tak sangka aku akan masak masakan kegemaran dia.

"Serius la, hari tu kan dah janji."

"Ini yang buat saya bertambah-tambah sayang kat awak."

Aku balas dengan senyuman. Letak semua barang di dalam tempat barang. Kemudian bergerak menuju tempat sebelah pemandu. Hari ini aku akan habiskan bersama sepupu kesayanganku dan aku harap kami akan sama-sama gembira.

"Segak awak hari ni..." Aku puji. Nak sedapkan hati sepupu aku yang paling segak. Hairiz sudah bersedia hendak memandu kereta ketika itu.

"Hesy, sah tak ada modal nak cakaplah tu..."

Hairiz memang macam tu. Mana suka orang puji dia.

"Orang cakap betullah, tak percaya pula. Tapi pelik, kenapa awak tak ada buah hati sampai sekarang?" soalku sambil pasang tali pinggang keledar. Pelik. Takkanlah lelaki macam Hairiz tak ada orang nak.

"Dah ada, buat apa nak cari yang lain..." Dia mula pandu kereta.

"Dah ada?" Cuak ni.

"Hesy! Merepek."

Kalau begitu cara Hairiz bercakap, maknanya dia tak suka aku cakap lebih-lebih. Lagipun aku tak nak cari pasal dengan Hairiz. Kami baru saja nak gembira.

"Lupa nak tanya, macam mana dengan kes Abang Razak hari tu?" soalku. Jadi kepochi sekejap. Gamaknya kalau tak tanya memang tak sah.

"Saya tak nak masuk campur dalam hal rumah tangga sesiapa pun. Saya pilih untuk tutup mulut."

Memanglah. Dalam hal ni kaum lelaki memang sepakat.

"Kenapa tanya pasal Abang Razak pula? Nak suruh saya beritahu Kak Yati ke?" Soalan jenis perangkap ni.

"Eh, tak adalah. Kan saya cakap saya tak nak masuk campur. Tapi saya bayangkan kalau nanti saya berada di tempat Kak Yati. Manalah tahu saya dapat suami jenis yang curang."

"Jangan risaulah. Suami awak nanti memang akan setia pada awak hingga akhir hayat. Awak percayalah cakap saya."

"Aminnn..." Aku balas sepatah. Semoga apa yang Hairiz cakap akan jadi kenyataan.

"Aminnn..." Hairiz senyum senget. Senyuman ada makna.

"Kalau awak jadi suami nanti, awak takkan curang, kan?"

Saya Kan AdaWhere stories live. Discover now