PAGI-PAGI lagi pintu bilik sudah diketuk. Kak Fiza yang tolong buka.
"Nak jumpa Mai."
Aku dengar suara Hairiz. Alamak, aku lupa nak kumpul pakaian kotor! Bukan main lagi Hairiz ingatkan aku malam tadi. Lepas solat subuh berbual dengan rakan sebilik langsung tak ingat.
"Kejap!" Kelam-kabut aku kumpul baju kotor dan sumbat dalam plastik. Capai tuala selepas itu dan tutup kepala.
"Maaf, lupa..." kataku sebaik sahaja pintu bilik aku tarik dan pandang wajah Hairiz. Masih begitu. Tunjuk muka masam dia. Tapi serius, tetap segak.
"Senyumlah sikit..." Aku usik dia.
"Beri dua sebab kenapa saya perlu senyum?" soal Hairiz, menyambut plastik yang aku hulurkan kepadanya.
"Pertama, awak segak kalau senyum. Kedua, awak seksi kalau senyum."
"Banyaklah seksi awak..." Hairiz senyum senget sambil atur langkah.
"Serius seksi!" Aku usik lagi. Hairiz buat isyarat tak dengar. Aku balas dengan ketawa perlahan. Suka tengok dia kembali senyum.
"Dah okey ke tu?" soal Kak Fiza sebaik sahaja aku tutup pintu. Rajin pula Kak Fiza bertanya. Ada apa-apa ke? Ini yang buat aku tak sedap hati.
"Dia tu sekejap aje, kak. Mana boleh merajuk lama-lama."
"Mai tak pujuk ke?" soalnya lagi.
"Saya memang tak pandai pujuk. Selalunya dia kalau merajuk, baik sendiri. Saya tak payah pujuk."
"Senangnya." Kak Husna pula menyampuk.
"Siapa suruh merajuk?" Aku ketawa. Bawa tuala ke bilik mandi. Giliran aku pula guna bilik air.
Selesai semua bersiap, kami turun ke lobi. Uzair sudah membuat pesanan untuk makanan kami. Aku ingatkan sarapan, rupanya makanan untuk tengah hari.
Hairiz sudah sedia menunggu. Duduk di salah sebuah kerusi paling hujung. Di atas mejanya sudah menanti dua kotak hidangan.
"Makan dulu..." kata Hairiz ketika aku menghampirinya.
Aku duduk bersebelahan dengan Hairiz. Buka penutup makanan. Di dalamnya sudah tersedia hidangan yang nampak menyelerakan.
Aku tak nak ungkit pasal semalam. Tak akan sebut sama sekali. Seperti selalunya, kalau Hairiz merajuk atau buat perangai memang aku takkan tanya apa-apa. Seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
"Sedap tak?" soalku kepada Hairiz. Dia sudah pun mula mengunyah.
"Boleh tahan."
Lauk ada lima jenis. Ada ikan bilis paling halus digoreng bersama kacang tanah yang agak besar. Di Malaysia belum pernah lagi aku terjumpa orang menjual nasi lemak menggunakan kacang tanah jenis ini. Ada tauge kasar yang ditumis. Ada potongan ikan yang aku nampak seperti digoreng dengan menggunakan minyak yang sedikit.
"Awak, ni apa?" soalku kepada Hairiz tentang lauk keempat. Tak ubah seperti tembakau.
"Tu daging goreng..." jawab Hairiz.
"Sedap," katanya lagi. Tak tahulah antara mahu percaya atau tidak pada kata-kata Hairiz itu. Bagi Hairiz semuanya sedap.
Dan lauk terakhir adalah kimchi. Malam tadi pun kimchi dihidangkan juga. Agaknya kimchi merupakan hidangan wajib.
"Makanlah cepat. Karang kena tinggal pula." Hairiz tolak bahuku dengan bahunya. Terus aku baca doa makan. Perhatikan juga ahli rombongan lain yang sedang menikmati makanan.
YOU ARE READING
Saya Kan Ada
HumorTajuk: Saya Kan Ada Penulis: Marissa Muka Surat : 528 Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-23-5 Harga: RM22.00 (Semenanjung) // RM25.00 (Sabah & Sarawak)