TIBA di penginapan kami yang merupakan hotel empat tingkat, kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Rombongan kali ini disertai seramai 22 orang. Ada pasangan suami isteri dan selebihnya bujang. Aku berkongsi bilik dengan tiga orang gadis lain.
Di dalam bilik, kami saling berkenalan. Dua daripadanya adalah kawan baik, seorang lagi kenalan salah seorang dari mereka. Dan hanya aku sahaja orang lain. Namun penerimaan mereka sangat baik. Kesemua mereka tua daripada aku, jadi aku hanya memanggil mereka sebagai Kak Rodi, Kak Husna dan Kak Fiza.
"Yang tadi tu siapa? Boyfriend ke?" soal Kak Rodi. Orang agak gempal. Berkulit sawo matang. Tadi dia beritahu aku dia kerja sebagai jururawat.
Sebenarnya serba salah untuk menjawab status kami. Ada yang aku gundahkan. Masa di lapangan terbang Incheon tadi, aku ada melihat mereka berbual-bual dengan Hairiz. Bimbang juga kalau ada yang tersangkut dengan Hairiz. Ah! Tak pasal-pasal nak cemburu pula.
"Haah," balasku sepatah. Biarlah mereka tahu hubungan antara aku dan Hairiz adalah kekasih. Jadi, jangan ada yang nak cuba-cuba pikat Hairiz.
"Segak orangnya." Kak Husna yang lebih kurus menyampuk. Inilah sebab kenapa aku serba salah untuk beritahu status hubungan aku dengan Hairiz. Sebab Hairiz tu termasuk dalam kategori segak. Tiba-tiba saja aku runsing tak tentu pasal.
"Dah lama bercinta?" Kak Rodi kembali menyoal. Aku rasakan Kak Rodi dan Kak Husna lebih ramah berbanding Kak Fiza. Dari tadi aku lihat Kak Fiza buat hal dia sahaja. Dia bertubuh kecil molek seperti aku.
"Baru lagi." Aku menjawab. Buka tudung dan selepas itu aku duduk di atas katil. Perut mula terasa lapar. Sedang semua makanan kering di dalam bagasi Hairiz. Aduhai...
Masing-masing sibuk dengan hal sendiri selepas itu dan saling bergilir menggunakan bilik air. Mengikut jadual, selepas maghrib kami akan menjelajah bandar Itaewon. Menurut Uzair tadi, dia memilih Itaewon sebagai tempat penginapan kerana bandar ini banyak pilihan makanan halal dan ramai penduduk dari negara asing yang beragama Islam. Jadi, kami tiada masalah untuk mencari makanan halal.
Kami berkumpul semula di lobi dalam pukul 8.00 malam waktu Korea. Dan kira-kira pukul 7.00 malam waktu Malaysia. Hairiz sudah sedia menunggu. Untuk menunggu rakan lain, aku duduk bersebelahan Hairiz.
"Laparlah..." bisikku perlahan.
"La, biskut semua ada dalam bilik saya." Hairiz pandang aku.
"Tak apalah, kita pun nak pergi makan." Memang rasa lapar tapi boleh bertahan.
Sebaik sahaja semua ahli sudah berkumpul, kami mula bergerak. Kali ni kami hanya berjalan kaki sahaja menikmati suasana malam di Bandar Itaewon.
"Awak, sejuklah," bisikku kepada Hairiz. Mujur aku pakai baju sejuk.
"Memanglah. Sekarang ni di sini dah peralihan musim. Tu malam mereka sejuk sikit."
Aku angguk. Memang tak tahan sejuk.
"Awak, member satu bilik saya tu tanya tadi. Mereka tanya awak boyfriend saya ke?" Aku pandang rakan sebilik yang agak jauh mendahului kami.
"Habis, awak jawab apa?"
"Saya mengaku ajelah. Takkan nak cakap awak sepupu. Kalau orang lain tanya, awak jawablah macam tu juga."
"Memang pun. Saya beritahu Uzair awak teman wanita saya."
Amboi, dia dulu-dulu lagi dah kata macam tu rupanya. Tapi pelik juga, kenapa Hairiz beritahu begitu, kenapa tak mengaku sepupu saja?
Aku dan Hairiz sama-sama melangkah. Sebelum makan, kami melawat satu-satunya masjid yang terdapat di sini. Serius, aku rasa termengah untuk sampai ke tempat tersebut sebab terpaksa berjalan kaki melalui jalan yang berbukit.
YOU ARE READING
Saya Kan Ada
HumorTajuk: Saya Kan Ada Penulis: Marissa Muka Surat : 528 Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-23-5 Harga: RM22.00 (Semenanjung) // RM25.00 (Sabah & Sarawak)