Bab 12

3.3K 61 1
                                    

TIGA hari lagi nak bercuti, aku terima panggilan daripada mak ndak. Masa tu aku dan Ekin baru hendak makan. Aku masak ringkas sahaja. Goreng telur dadar, tumis sawi dan ayam masak lemak cili api.

"Kau makanlah dulu. Aku nak layan mak saudara aku kejap. Ini mesti ada benda yang dia minta aku buat." Aku bawa telefon bimbit ke ruang tamu. Apalah yang mak ndak mahu. Kalau tak ada apa-apa tak pasal mak ndak nak telefon aku. Agaknya kalau aku mati pun dia tak peduli.

"Assalamualaikum, mak ndak..." Aku bagi salam terlebih dahulu. Masih nada bersopan kerana aku masih lagi mahu menghormati mak ndak.

"Waalaikumussalam, aku ada benda nak minta tolong ni..." Kasar sahaja mak ndak jawab. Kalau bercakap dengan aku mana pernah mak ndak bercakap dengan baik. Samalah dengan emak-emak saudara lain. Nak menengking saja. Tak tahulah bila mereka ni nak layan aku dengan baik.

"Ya? Apa bendanya?" balasku. Sah-sah hendak guna tenaga aku. Kalau Ahad ni minta maaflah. Sabtu, Hairiz dah nak bawa aku berjalan. Katanya sampai Khamis nanti.

"Ahad ni Anne nak bertunang. Aku nak minta tolong kau sikit."

"Anne nak bertunang?" Terkejut juga. Aku langsung tak tahu pun Anne hendak bertunang. Hairiz pula tak cakap apa-apa pasal ni. Tak tahulah sama ada Hairiz tahu atau tak tentang perkara ni. Rasanya dia tak tahu sama. Kalau dia tahu sah-sah dah beritahu aku.

Bukan ke Anne tu muda sangat lagi? Rasanya baru 19 tahun. Takkanlah dah nak bertunang. Memang pecah rekodlah. Kalau aku bertunang umur macam tu, memang tak menang mulut mak ndak cakap aku gatal. Kalau kena pada anak dia, semua okey saja.

"Haah, dia nak bertunang. Aku nak minta kau tolong masak. Dia bertunang dengan orang ada-ada. Aku naklah jamu orang sana dengan jamuan istimewa sikit."

Bukankah aku dah cakap? Mesti ada hajat punya. Tapi kan, kalau orang ada-ada tak malu ke jamu hidangan biasa? Sekurang-kurangnya, jamulah dengan masakan katering yang berkelas A. Barulah gah. Apa mak ndak ingat aku ada buat business katering ke sampai nak minta aku tolong masak untuk hidangan orang ada-ada?

"La, kalau dah orang ada-ada, mak ndak pergilah cari tukang masak yang betul-betul pakar. Karang buat malu saja suruh saya masak."

"Kau ni kalau aku minta tolong, macam-macam bagi alasan. Sebab aku tahu kau tu pandai masaklah aku minta tolong, bodoh!"

Akhirnya mak ndak mengaku juga aku pandai masak.

"Maaflah mak ndak. Ahad ni saya ada hal." Terpaksa berterus terang kerana aku sudah berjanji dengan Hairiz. Mana boleh mungkir macam tu saja. Mengamuk nanti Hairiz. Tak pasal retak pula hubungan kami. Kalau retak masih boleh dicantum-cantum, tapi kalau putus macam mana? Sedangkan aku hanya ada Hairiz sahaja.

"Hal apa pula? Kau ni memang. Hari tu aku buat makan-makan, kau ada hal juga. Rupanya kau keluar dengan Hairiz. Kau sengaja nak mengelak bukan? Eh, kau sedar sikit, aku pun bersusah payah bela kau sama. Aku pun banyak keluarkan duit bantu kau sekolah dulu. Kalau aku tak tolong, entah kau merempat kat mana!" Mak ndak mengungkit. Bersusah payahlah sangat. Entah apa budi yang dia tabur. Bukan aku jenis tak tahu nak ingat budi orang, tapi aku bukan bodoh. Bukan tak tahu semua benda. Masalahnya sekarang ni, dari mak long hingga ke mak ndak suka sangat ungkit benda yang sama. Asal minta tolong, itulah saja modal mereka untuk desak aku. Sakit betul hati.

"Salah mak ndak juga. Baru nak cakap sekarang. Apa pasal tak cakap masa hari bertunang saja?" Aku menjawab. Peduli apa. Tak jawab pun kena marah, menjawab apatah lagi. Jadi, biar aku menjawab. Kalau sakit hati pun berbaloi juga sebab sudah menjawab.

"Oh, kau dah berani menjawab sekarang ya? Sudah pandai kurang ajar. Baru senang sikit bukan main berlagak lagi. Dasar tak sedar diri, tak tahu diuntung!" Mak ndak marah aku.

Saya Kan AdaWhere stories live. Discover now