Bab 2

7.1K 106 0
                                    

MALAM makin merangkak tua. Sudah menghampiri pukul 12.00 tengah malam. Aku memang sudah tidak ada tenaga untuk melakukan sebarang kerja lagi. Badan jadi lemah-selemahnya. Aku tinggalkan dapur. Banyak lagi kerja lain yang menunggu. Tapi biarlah. Masih ramai kaum kerabat mak long yang boleh tolong.

Dengan langkah longlai aku ke ruang tamu. Aku nampak Hairiz berlunjur di sudut tiang. Dia pun nampak kepenatan. Dia pandang aku dengan wajah masam. Petang tadi aku tegur sikit Hairiz yang agak melampau. Boleh lagi dia pergi tampar Hanis gara-gara Hanis kacau masa makan tengah hari. Memang agak kecoh juga. Yang jadi masalahnya, semua tuduh aku punya pasal.

Aku senyum pada Hairiz, tapi senyuman aku tidak berbalas. Hairiz dah jadi perangai budak-budak semula. Dulu memang begitulah perangai dia kalau marah aku. Tapi tak apa. Marah Hairiz tu tak lama. Kejap lagi baiklah tu. Aku kenal dia bukan sehari dua. Dah masak sangat perangai Hairiz.

"Mak long, ada bantal tak?" soalku perlahan kepada mak long yang kebetulan lalu di ruang tamu. Masa untuk tidur. Badan rasa sangat letih. Dari subuh sampai isyak buat kerja. Dari bersihkan ayam, sampai ambil alih kerja menggoreng daripada beberapa orang jiran mak long. Aku dengan Hairiz saja yang buat selepas itu. Kaum kerabat lain langsung tak mahu menolong. Rasa nak patah saja pinggang. Aku nampak tadi bawang pun masih belum berkupas. Itu mesti kerja aku esok. Tidak pun, kejap lagi mak long mula kerah aku buat kerja.

"Amboi, kau ingat kau tuan puteri nak aku sediakan semua? Tak pandai nak cari sendiri?" soal mak long dengan lantang. Suaranya hampir saja didengar oleh semua orang. Malu aku jadinya. Begini caranya mak long layan aku selepas aku bertungkus-lumus tolong dia? Memang betul kata Hairiz, jatuh tidak ikhlas sudah.

Perlahan aku ke bilik untuk mencari bantal.

"Sini mana ada bantal dah!" kata Hanis dengan suara yang agak kuat sama. Dia jeling aku dengan tajam. Nampak sangat bengang dengan aku. Yalah, Hairiz dah kenakan dia cukup-cukup tadi. Mesti dendam dengan aku.

"Entah, tak reti nak bawa bantal sendiri ke?" Anne, sepupu aku lagi sorang juga adik Fuzah menyampuk. Dia pun nampak macam tidak senang dengan aku. Sebab Firash suka aku ke? Kalau sebab Firash, aku sikit tak hairan. Bagilah pada kakak dia. Lagi aku suka. Kurang sikit masalah yang aku kena tanggung.

"Boleh tak aku tidur dalam bilik ni?" soalku, meraih sedikit simpati. Dapat tumpang tidur pun tak apa walau tanpa bantal. Sekurang-kurangnya selesa di dalam bilik.

"Tolong sikit. Kami tak nak tidur dengan perempuan pembawa sial. Nanti sial kau tu melekat pula kat kami!" kata Hanis.

Sudah tidak rasa apa. Sudah terbiasa dengan kata-kata begitu.

"Kau orang mulut boleh tak jangan kurang ajar sangat. Sial apanya!" Hairiz tengking dengan kuat. Terkejut juga. Tak sangka dia berdiri di muka pintu bilik dan perhatikan kami bertiga. Hanis dan Anne terdiam tapi kedua-duanya pandang aku dengan jelingan tajam. Jelingan tak puas hati yang teramat sangat.

"Nama saja anak dara, tapi mulut serupa buntut ayam. Aku sumpah tak teringin buat isteri perempuan macam kau orang ni!"

Serta-merta wajah Hanis berubah.

"Dah, dah. Tak apa saya tidur kat mana-mana pun." Aku tolak badan Hairiz. Tidak mahu dia bergaduh dengan sepupu lain. Dia ni memang, pantang sikit. Kepala angin semacam.

"Apa hal kecoh ni?" soal Firash pula. Muncul entah dari mana.

"Eh, buah hati kesayangan kamu la. Bantal pun minta mak long carikan. Tak reti nak cari sendiri?" Mak ngah datang tarik tangan Firash. Bawa anak lelaki tunggal dia jauh dariku. Takut agaknya Firash jadi pembela aku.

Saya Kan AdaWhere stories live. Discover now