BAB 1

536 14 0
                                    

Suara nyaring mengejutkan aku dari lena yang panjang. Masih lagi berada dalam keadaan mamai, aku mencapai telefon bimbit jenama Nokia yang terletak di hujung katil.

7.01 a.m

"Ya Allah, aku dah lewat," getus hati kecil ini.

Tanpa membuang masa, aku bingkas bangun sebelum melangkah laju menuju ke arah pintu bilik yang tertutup rapat. Memulas tombol pintu dalam keadaan tergesa-gesa, telinga ini pantas menangkap sumpah seranah yang kedengaran dari arah dapur. Biarpun tidak dapat menangkap setiap patah perkataan yang terkeluar dari mulut mama. Namun, aku sudah masak benar dengan perangai wanita itu. Dia tentu sedang bergaduh dengan teman lelaki terbarunya, Hairi.

Tidak berminat untuk masuk campur dalam urusan mereka berdua. Langkahku segera berpusing ke arah bilik berdekatan. Pintu yang sedia terbuka kutolak berhati-hati. Anak kecil yang berada di penjuru katil kelihatan pucat lesi. Kerutan yang terlukis di wajah sudah cukup mengambarkan perasaan sebenarnya ketika ini.

"Afiq," aku menyeru nama kanak-kanak tersebut.

Mula menyedari akan kehadiran diri ini, dia segera berlari ke dalam dakapanku. "Hey...hey...it's okay," aku berbisik sambil mengusap kepala anak kecil itu beberapa kali. Mudah-mudahan, dia akan berasa lebih tenang.

"Apiq akut," adunya, masih tidak mahu melepaskan pelukan.

Aku mengetap bibir. "Aqish takut apa? Mana hantu tu? Tahulah Rara kerjakan," aku berpura-pura tidak mengerti. Tubuh kecil itu kuraih sebelum mendukungnya.

"Apiq akut mama," dia menggumam seraya membenam wajah comel itu di sebalik rangka bahuku.

Aku terdiam.

Pujukan lembut jelas tidak dapat menenangkan perasaan Afiq ketika ini. Kanak-kanak itu sudah cukup besar untuk memahami setiap apa yang berlaku. Esakkan mula menyapa gegendang telinga ini. Bahu Afiq juga sedikit bergetar.

Aku menarik nafas dalam, cuba mencari kekuatan yang terpendam jauh di dalam diri, kerana apa yang pasti aku tidak bersedia untuk menghadapi hari baharu ini. 'Ya Allah, Kau kuatkanlah hati hambaMu ini,' aku berdoa dalam diam.

Apabila menyedari bahawa kini sudah lewat, aku gagahkan jua diri untuk melangkah menuju ke bilik air yang berada di dapur. Ya, ini bermakna aku terpaksa menghadap muka bengis mama. Menyusuri koridor dengan hati yang berat, aku mendapati suasana hening sekali. Tiada lagi suara bingit menyapa telinga.

Sedikit hairan, mataku secara automatik melilau ke sekeliling. Cuba mencari kelibat mama. Tiada.

Dapat menarik nafas lega, aku bergegas menguruskan segala keperluan Afiq. Sebelum aku sendiri bersiap ala kadar.

~...~

Kaki ini mula memprotes sakit.

Biarpun begitu, aku tetap cuba untuk tidak mengendahkan rasa tidak selesa itu daripada terus menguasai diri. Fokus ketika ini hanya satu. Aku tidak boleh lagi lewat ke kelas. Amaran tegas Dr. Syamsyaziela masih berlegar di kotak ingatan. Menjadi pelajar kegemaran wanita itu tidak bermakna aku boleh berbuat sesuka hati. Pensyarah muda itu memang terkenal dengan sikapnya yang sangat berpegang kepada peraturan universiti. Jadi, isu ketepatan masa amat dititik beratkan oleh wanita tersebut.

ZARA AWANISWhere stories live. Discover now