BAB 3

208 8 1
                                    

Dalam perjalanan pulang, aku menyoal Afiq yang sedang sibuk bermain dengan patung beruang miliknya. "Seronok jalan-jalan hari ni?"

Mengangguk teruja, kanak-kanak itu mendongak memandangku. "Nanti kita pegi lagi tau, yaya," Pintanya, kedengaran berharap benar. Tidak sampai hati untuk menolak, aku mengangguk perlahan.

Kak Sal sudah aku anggap sebagai kakak sendiri. Masakan tidak, wanita itu telah banyak membantu terutamanya ketika aku sedang sibuk mengimbangkan masa di antara belajar dan bekerja.

"Yesssh," jerit Afiq. Suka sangat dapat meluangkan lebih masa bersama Kak Sal.

Menggeleng kecil melihat telatahnya, aku cuba membuka pintu rumah dengan menggunakan kunci yang berada di dalam genggaman.

Tak berkunci? Pelik.

Aku yakin sudah mengunci pintu sebelum keluar pada pagi tadi. Malah, aku mempunyai tabiat untuk memeriksa pintu benar-benar berkunci sebelum meninggalkan rumah. Jadi, melihat pintu dibiar tidak berkunci sebegitu membuatkan hati ini berasa kurang senang. Menarik nafas dalam, aku menolak daun pintu perlahan-lahan. Suasana yang agak malap menyukarkan aku untuk melihat keadaan di dalam rumah.

Biarpun begitu, aku dapat merasai kehadiran seseorang ketika ini. Seseorang yang sedang selesa bersandar di kerusi lusuh milik arwah ayah Afiq.

Bersyukur kerana suis lampu memang kebetulan terletak berhampiran pintu utama. Aku hanya perlu menekan tanpa perlu masuk terlebih dahulu. Bimbang juga sekiranya dia mempunyai niat tidak baik.

Setelah cahaya terang mula memenuhi ruang. Wajah Hairi pantas menyapa pandangan. Asap rokok kelihatan berkepul-kepul di udara.
Mengetap bibir, aku bertanya, "Kau buat apa kat sini?" Suaraku kedengaran dingin. Berharap benar agar lelaki itu dapat memahami bahawa kedatangannya tidak dialu-alukan di sini.

Jelas terkejut dengan kehadiranku, lelaki itu bingkas bangun dari tempat duduknya. Puntung rokok dibiarkan sahaja jatuh mengotori karpet, sebelum dia sendiri memijak beberapa kali.

Belum sempat aku mengulang kembali pertanyaan sebentar tadi. Suara lantang mama pantas menarik perhatian. "Sayang, I dah jumpa!" Laung wanita tersebut dari arah dapur. Hairi sebaliknya kelihatan tidak ubah seperti anak kecil yang tertangkap kerana mencuri.

"Sayang, I dah cakap jangan merokok kat sini! Nanti kalau anak I tah..." Rungut mama, sebelum terdiam kaku.  Jelas terkejut melihat aku dan Afiq. "Bila kamu balik?" dia menyoal, sementara tangannya cuba menyorokkan sesuatu di dalam poket seluar jeans lusuh.

Tidak mengendahkan soalan tersebut, aku sebaliknya berdesis sambil menuding jari ke arah barang yang tersorok di sebalik seluar itu. "Apa tu ma?"

Wajah mama serta-merta berubah pucat. Dia sempat beberapa kali mengerling ke arah Hairi yang kini hanya mampu berdiri kaku.

Mungkin menyedari bahawa lelaki itu memang tidak berniat untuk membantu. Mama kemudian berkata, "bukan urusan kamu."

Aku mengetap bibir, tidak sedap hati dengan tingkah wanita itu. Duit simpanan yang tersembunyi di sebalik timbunan pakaian di dalam almari pantas menyapa ingatan. "Apa yang mama ambil?" Aku tidak dapat mengelak daripada menuduh. Gerak hati ini kuat mengatakan ada sesuatu yang tidak kena.

"Ambil apa?" Soal mama, berlagak tidak mengerti. Biarpun pada hakikatnya, dia gagal menutup riak gugup yang terlukis di wajah.

"Bagi balik duit tu," desakku, tidak lagi cuba berbasa basi. Aku tahu, bukan, aku yakin bahawa barang yang cuba disorokkan itu adalah duit simpanan Afiq. "Mama tak boleh buat macam ni. Itu duit Afiq," ulangku, kedengaran terdesak.

"Apa yang kamu merepek ni?" Muka mama kelihatan merah padam apabila mendengar tuduhan tersebut.

"Mama tolonglah, itu duit untuk Afiq," aku merayu lemah.

ZARA AWANISWhere stories live. Discover now