BAB 2

242 10 1
                                    

Memori pagi tadi kembali menjengah ingatan. Walau berbagai cara aku cuba lakukan bagi melupakan kejadian yang memalukan tersebut. Namun, otak ini seakan sengaja enggan mendengar setiap permintaanku.

"Oitt, kau dengar tak ni?" Suara nyaring Nadia tiba-tiba menarik aku kembali ke alam nyata.

"Apa dia?" desisku sambil mengurut dada beberapa kali. 'Budak ni suka cakap terjerit-jerit,' rungutku dalam diam.

Nadia kelihatan tidak ambil pusing akan nada jelik yang tersembunyi di sebalik soalan tersebut. Dia sebaliknya memuncungkan sedikit bibir, menunjuk ke arah sesuatu yang berada di suatu sudut, hujung cafè.

Pantas berpaling, mataku liar melilau ke sekeliling, cuba mencari apa yang ingin ditunjukkan oleh gadis itu. Namun, selepas beberapa kali berpusing ke kiri dan kanan, yang kelihatan hanyalah beberapa orang gadis yang sedang rancak berbual berdekatan pintu masuk dan seorang lelaki lingkungan awal 30-an yang sedang khusyuk menaip sesuatu di sebalik komputer berjenama lenovo di sudut bertentangan. Gagal membaca maksud yang cuba disampaikan oleh Nadia, aku mengangkat kening.

Jelas kecewa dengan tahap kecerdasan otakku bagi memproses isyarat yang cuba disampaikan, Nadia menggeleng perlahan. Dia kemudian berbisik sambil anak matanya tepat memandang ke arah lelaki berkemeja ungu yang sedang tekun menghadap komputer itu.

"Mr. Handsome."

Mr. Handsome adalah gelaran yang sering digunakan kepada setiap pelanggan yang dirasakan memiliki raup wajah yang mampu memikat sekeping hati milik Nadia.

"Tak tua sangat ke?" Soalku.

"Of course, tak! Itu namanya matang, okay," balasnya berpura-pura tersinggung dengan komen tersebut.

Malas untuk terus melayan sikap terlebih dramatik gadis itu, aku mengambil keputusan untuk kembali memberi tumpuan ke arah pelanggan yang baru sahaja memasuki ruang cafè.

"Selamat datang ke Kembang's cafè! Apa yang boleh saya bantu?" Mantra keramat itu ku ucap penuh bersemangat. Tidak lupa juga untuk menghulur senyuman seikhlas mungkin.

"Uh uh..." respon pelanggan tersebut. Dia tanpa membuang masa, menyebut senarai menu yang dikehendaki.

Mula menyedari akan gerangan yang berdiri di hadapanku kini. Senyuman yang terukir sebentar tadi secara tak langsung mula luntur. Cuba menutup gugup yang bertandang, aku menarik nafas dalam sebelum kembali mengukir senyuman. Sementara tangan ini pantas menekan skrin komputer beberapa kali.

"Berapa?" Soal Nina sambil mencapai dompet kulit yang berada di dalam tas tangan yang tertulis perkataan LV di atasnya.

"RM10.60," aku membalas, cuba berlagak profesional.

Meskipun begitu, aku sempat beberapa kali mencuri pandang ke arah gadis itu. Biarpun tanpa make-up yang tebal, Nina masih kelihatan cantik. Aku tidak dapat menepis rasa iri hati yang tiba-tiba menyinggah tanpa diundang.

Menghulurkan dua keping not berwarna merah. "Keep the changes," ujar gadis itu seraya mengukir senyuman nipis. Lesung pipit yang terserlah, menaikkan lagi seri di wajahnya.

Membalas senyuman yang diterima. "Terima kasih," ucapku, perlahan.

Mengangguk kecil, Nina tanpa membuang masa melangkah pantas menuju ke arah Mr. Handsome.

'Mr. Handsome dan Nina?' Hatiku berdetik, hairan. Jadi, ini penyebab kepada keretakkan yang berlaku di antara Amal dan gadis itu? Nina curang?

"Hellooo...mak cik!" Suara Nadia sekali lagi menjerit nyaring. "Apa lagi?" Rungutku, tidak suka dengan tabiat buruk gadis itu. 'Lama-lama macam ni boleh gugur jantung aku,' hatiku berdetik sendirian.

ZARA AWANISWhere stories live. Discover now