BAB 5

155 8 3
                                    

Bunyi hilai tawa di sebalik pintu membuatkan hati ini berasa sedikit lega. Ini bermakna mood Encik Hadi baik-baik sahaja.

Majikan berusia lewat 50an itu memang sudah terkenal dengan perangainya yang mudah berubah-ubah. Mungkin pada awal paginya, lelaki itu boleh menjadi sahabat paling baik. Namun, belum menjelang tengah hari, dia boleh bertukar menjadi majikan yang paling digeruni. Jadi, melihat kepada moodnya ketika ini, aku tahu saat ini merupakan waktu yang paling sesuai untuk menyuarakan masalah yang sudah lama terbuku di dalam hati.

Menarik nafas dalam, aku gagahkan diri untuk mengetuk pintu. "Masuk," suara garau Encik Hadi kedengaran dari dalam.

Sekali lagi menarik nafas dalam, aku menolak pintu dengan berhati-hati.

"Oh, Zara! Masuk masuk," jemput Encik Hadi, penuh ceria. Aku menuruti tanpa banyak bicara.

"Hey baby, I have to go. I'm going to call you back tho...yeah later," ujar lelaki itu sebelum menekan skrin telefon pintarnya. Usai meletak gajet keluaran syarikat gergasi itu di atas meja, dia mendongak. "Ya, Zara?"

"Hurm...boleh saya bincang sesuatu dengan encik?" Aku menyoal gugup.

"Of course sweetheart," lelaki tua itu membalas, bersama sengihan terlebih manis di bibir.

Entah kenapa, aku tiba-tiba sahaja berasa tidak sedap hati. Walaupun aku agak jarang bersua muka dengan lelaki tersebut. Namun, reputasinya yang sering meniti di bibir rakan sekerja membuatkan hati ini berasa sedikit gementar. Sikap miang Encik Hadi sudah menjadi buah mulut orang sejak aku mula bekerja di sini lagi. Jadi, mungkin perasaan yang menyinggah ketika kini merupakan satu perkara yang normal?

"Nak bincang apa?" Dia menyoal sambil membetulkan sedikit kolar baju kemeja yang dipakainya.

Aku yang masih lagi berdiri tegak, memberanikan diri untuk membuka mulut. "Saya nak tahu yang...hurmm, sebenarnya macam ni, saya nak berbincang soal gaji," maklumku, tidak mahu lagi berbasa basi.

Wajah ceria Encik Hadi sebentar tadi serta merta bertukar mendung. "Kenapa dengan gaji?" Soalnya, kedengaran tegas.

Aku menelan air liur. "Sebenarnya, saya perlukan duit..."

"Semua orang perlukan duit Zara," pintasnya, dingin. Isyarat tubuh lelaki itu tidak setenang tadi, bahunya kelihatan tegang. Kerutan di dahinya juga menunjukkan bahawa dia tidak mengemari topik yang sedang diutarakan.

"Saya...saya..." aku mulai gugup. Wajah ini terasa panas tiba-tiba. Hinggakan, sejuk penghawa dingin langsung tidak dapat meredakan gemuruh yang dialami ketika ini.

"Kamu sendiri tahu macam mana keadaan kita sejak kebelakangan ini, bukan?" Aku mengetap bibir. "Saya sangat kecewa dengan kamu Zara. Sebagai pekerja kamu patut lebih bertimbang rasa. Kalau kamu perlukan duit? Saya lagi perlukan duit. Kamu kena faham perasaan saya sekarang. Tanggungjawab saya lagi besar!" hujahnya.

Walaupun, ada kebenaran di sebalik kata-kata tersebut. Namun aku tahu, lelaki di hadapanku ini bukanlah seorang yang bertanggungjawab seperti yang cuba digembar gemburkan. Hilai tawanya sebentar tadi antara salah satu bukti yang menunjukkan bahawa dia langsung tidak ambil peduli akan kebajikan pekerja bawahannya.

Meskipun begitu, aku tetap juga mengangguk. Berlagak memahami setiap luahan yang disampaikan olehnya. "Jadi tunggu apa lagi? Pergilah sambung kerja," bidasnya, sebelum kembali mencapai telefon di atas meja.

Faham akan maksud bahawa perbincangan ini sudah pun berakhir. Aku tanpa banyak bicara terus beredar. Tidak lagi berani untuk berhadapan dengan lelaki tersebut.

Menutup pintu secermat yang mungkin, aku dikejutkan dengan kehadiran Nadia. "Macam mana?" Dia menyoal, ingin tahu.

Aku menggeleng lemah.

ZARA AWANISWhere stories live. Discover now