Bab 1.5

84 3 2
                                    


"Nah Din, teh tarik dengan roti canai"
Jenal Keli sekali lagi menghentikan lamunan jahat Din.

"Kira sekali bang"
Pinta Din sambil dia bangun dan mengeluarkan dompet Levi's dari poket belakang jeans.

"Dua ringgit seposen, seposen tak payah, aku belanja"

Din mengeluarkan dua keping not seringgit dari dompetnya dan menyerahkan ke Jenal Keli.

***

"Krek..krek..krekk"

Ketibaan Din di bengkel tak disedari Ah King yang sedang berbaring di bawah kereta sambil memulas spanar ratchet.

"Ah king! Ah king!"

"Ya.. saya sini bawah." Balas Ah king dengan tatabahasa yang serba terbalik.

"Haiyya! U sini keluar dulu lah apek."
Panggil Din lagi dalam loghat mandarin-melayu.

"Ha! Din. U apa mahu?"

"Bagi i itu adapter pusing tingkap punya"

"Oke oke.. U sekejap tunggu, I cari dulu.."
Ah King terus ke belakang dan menyelongkar setor penyimpanannya.

Din duduk pada kerusi kayu didepan bengkel dan meneliti tajam-tajam pada Ah King, lelaki cina 50 an, figura yang cukup dikenali, hampir semua kereta yang ada di pekan ini pernah berubat dengan Ah King.

"Dollah, u pergi pasang ini barang"
Arah Ah King pada pekerja tunggalnya, Dollah Keruak. Dollah yang tengah memunggah sisa minyak hitam memberhentikan tugasannya serta merta, dia mengesat kedua-dua tangannya pada jeans Lee yang dipakainya, terus dia menuju ke arah Din.

"Dekat belah mana nak pasang ni Din?"

"Sini"
Din berjalan ke arah pintu sebelah pemandu. Din membantu dengan membuka pintu seluas mungkin. Dollah memarking lututnya pada tanah.

"Kau kerja apa Din sekarang?"
Tanya Dollah sambil tangannya cuba mengumpil pin pada pelaras tingkap.

"Aku sekarang bekerja sendirian berhad secara kecil-kecilan je Dollah"
Din merendah diri.

"Uish! Kau ni dikira bos lah, hebat juga kau ni Din."

"Sendiri bos sendiri kuli Dollah"

Kali ini Dollah tak menjawab balas. Berdasarkan raut wajahnya, Din dapat mengagak, pemasangan tersebut sedang melalui saat yang paling sukar.

"Ssssssiiikkkiiittt lagiii..."
Jerih Dollah, suaranya perlahan tapi agak menekan, mukanya tegang seperti menahan hadas.

Peluh jantan mula mengalir lembut pada dahi Dollah, jernih berkilauan saat air yang menitis itu bersenggama dengan cahaya matahari pagi.

"Ahhhh! Siap!"
Dollah melelah lega. Din terus masuk kedalam dan melangsaikan bil pada Ah King.

"Terima kasih Dollah, kau memang best.."
Din menepuk belakang Dollah sambil melangkah masuk kedalam kereta. Dollah mengangkat kedua-dua keningnya sebagai tanda membalas budi bahasa Din.

Din memulas pemulas tingkap barunya itu melawan jam, tingkap diturunkan sampai paras dia boleh menyandarkan sikunya. Sebatang rokok dibakar.

"Dah lama aku tak merokok sambil memandu." Getus hatinya sambil dia menghembus asap ke luar tingkap, yang memaksa Din mengherotkan bibirnya senget sedikit.

Dia memandu keluar meninggalkan perkarangan bengkel Ah King. Sesekali dia memandang serius pada kelibat awan, telahannya tadi pagi masih belum jadi kenyataan.

"Ada minyak ke tidak kereta ni? Meter pun tak hidup ni."

"PAP!"
Din mengetuk kuat pada atas papan pemuka meter, menggigil tolok temperature dan tolok minyak, selepas digertak dengan satu pukulan deras, barulah tolok minyak berfungsi dan berterus terang soal berapa takuk minyak yang berbaki.

Warkah Kasih Mat RockWhere stories live. Discover now