Bab 1.6

67 3 3
                                    

"PINN PINNNNN!!"

Din menekan hon, satu nada hon sepanjang 4 ke 6 harakat dibunyikan didepan pintu rumah Radhi. Mata Din tajam memerhati pada sebalik cermin tingkap lut sinar bilik Radhi, jelas kelihatan banners 'undilah barisan nasional' yang Radhi gantung dibahagian dalam sebagai pengganti langsir. Tapi tiada kelibat makhluk yang bergerak untuk menyelak banners tersebut, atau ada sesiapa yang bergerak disebaliknya, cuma foto Perdana Menteri sahaja yang tersenyum girang disitu.

"Dah dekat pukul 10, takkan tak bangun lagi?"

Din melangkah keluar dari keretanya, dia kemudian menapak dan berdiri betul-betul didepan pintu rumah Radhi.

"Woi Radhi! Radhi!"
Panggilan tersebut disertakan dengan beberapa das ketukan pada pintu.

Selang beberapa puluh saat, barulah Radhi membuka daun pintu sambil tangannya menggosok-gosok mata. Perut gemuknya basah berpeluh, petanda jelas yang Radhi bergelut dengan kepuasan tidurnya.

"Ha Din.. apahal pagi-pagi buta menjerit macam Chaca ni?"
Tanya Radhi sambil kelopak matanya terkebil-kebil melawan silau cahaya matahari, tangannya pula di garu-garu sekitar lubang pusat.

"Chaca tu abang kau lah, Di, kau pergi mandi cepat, teman aku ke Pekan kejap."

Chaca memang famous dikalangan orang kampung disebabkan otaknya yang tidak sihat, setiap hari dia akan mengusung kain berbungkus baju dan bertawaf satu kampung sambil menjerit-jerit kalau 'time' dia sampai.

"Ha kau tunggu kejap, bagi aku mandi."
Radhi membetulkan semula ikatan kain pelikatnya sambil menguap sebelum berjalan menuju ke dalam semula.

***

"Uish! Elok lagi besi buruk kau ni Din."
Ujar Radhi sambil menepuk-nepuk body keras Mira. Radhi kelihatan segak bergaya dengan sepasang kemeja biru laut yang di cilok dari almari baju abahnya, dikenakan pula dengan sepasang jeans dan Timberland bundle, cukup Amerikanya.

"Wangi betul kau Di, nak ke Pekan je pun.."

"Busuk kau bising, wangi pun kau bising, salah aku ke Din sebab aku gagal memenuhi kepuasan kau? Salah aku ke Din?!"
Radhi membalas dengan satu hujah berbaur psikologi yang terus mematahkan serangan Din. Memang itulah kepakaran Radhi yang gagal ditandingi Din sejak sekian lama usia persahabatan mereka. Tapi Din kekal bertenang, itulah simbol filsuf rock yang ulung, tak mudah melatah dengan sebarang serangan ringan.

Radhi berjalan masuk kedalam kereta pada kerusi di sebelah pemandu.

"Din, kunci? Biar aku uji kemampuan kereta sedan ni."
Pinta Radhi. Tanpa banyak masalah, Din menyerahkan kunci yang digantung kemas dari tadi pada poket seluarnya.

Radhi berhempas pulas melaras kedudukan kerusi memandangkan jarak perutnya dan steering hanya dipisahkan dengan satu teknik tahan nafas, teknik sama yang orang berperut besar guna bila bergambar. Din terus masuk pada kerusi penumpang sebelah depan. Radhi menghidupkan enjin dengan sekali pulasan kunci sahaja.

"Kau ni takda kerja ke Din? Pagi-pagi dah sampai kat rumah orang, bawak-bawaklah cari kerja Din.."
Radhi mengusik sambil menarik tali pinggang keledar melintasi badannya.

Terus Din merenung Radhi yang gemuk seperti sehelai kertas yang mampu dironyokkan dengan sebelah tangan sahaja. Kata-kata berkaitan saranan bekerja yang keluar dari mulut seorang penganggur benar-benar menguji ketenangan Din.

"Sesuci....dihening subuh sunyi
Sesuci....terdengar nurani.."

Mujur Din dapat ditenangkan semula selepas lagu sesuci lebaran yang di cover semula oleh Avenged Sevenfold diputarkan deejay radio dan bergema menerusi sistem audio Rockford fosgate beliau.

Disebalik ketenangan semula yang Din raih, tak siapa peduli mengapa lagu sesuci lebaran diputarkan dalam bulan Rejab, atau mengapa Avenged Sevenfold yang terkenal dengan aliran muzik metalcore dan hardrock mengubah identiti muzik mereka dan menyanyikan lagu irama Malaysia tersebut.

Warkah Kasih Mat RockWhere stories live. Discover now