Bab 2.1

52 4 0
                                    

"Berapa semua ni Rajesh?"
Din meletakkan sebuku kertas kajang, dan sebatang pen biru di atas meja kaunter.

"Aaaa...unek..anek..5 ringgit.."

Din mengeluarkan not 5 ringgit tepat dari dompet. Hatinya sedap melihat beberapa keping not 50 ringgit masih tak diusik. Rajesh menyentuhkan jarinya pada lidah untuk memudahkan dia membuka plastik. Din fokus memerhati pergerakan jari Rajesh, halkumnya berdenyut menelan air liur loya.

"Terima kasih abang.." Ucap Rajesh ringkas. Din membalas dengan senyuman serba pendek. Dia cuba mengelak tangannya bersentuhan dengan jari Rajesh sewaktu menerima bungkusan plastik tersebut. Dia tak memegang pun tangkai plastik, tangannya menggenggam bahagian tengah plastik.

Din berjalan keluar dari kedai runcit Rajesh. Dia mendapatkan motornya yang di parkir betul-betul di depan kedai. Bungkusan tadi diletakkan ke dalam raga motor. Dia menoleh keliling kawasan, kalau boleh, janganlah dia ada berjumpa sesiapa yang dikenalinya, nanti nak kena bersembang pula, walaupun sekadar sembang basi, itu boleh merencatkan kepantasan misinya menakluk Rozita.

"Nanti nak sembang, lecehlah, kalau cerita pasal Amy Search tak apa lah juga, ini cerita pasal baju raya lah, kurta tak bolehlah, tak ikut adatlah, dia pakai rantai dekat leher tak apa, adat mana ajar lelaki boleh pakai rantai? Adat parameswara?" Dalam hatinya membebel mengutuk Bang Jaafar.

Penunggangannya lancar sehinggalah terbit langit mendung berarak masuk, tanda hari nak hujan. Tanpa mempedulikan pondok polis dihadapannya, Din menundukkan kepala, kedua-dua tangannya kuat memegang handle. Dia tak kisah kalau dirinya basah lencun, dia sudah biasa. Tapi memandangkan dia membawa sama perutusan yang maha penting, sebuku kertas kajang, maka terpaksalah dia melakukan tunggangan yang agak 'daring', sedikit sahaja silap, penunggangannya bakal berakhir di dalam parit besar tepi jalan.

Lagi pula dia tak sanggup nak menghadap air liur kelat Rajesh sekali lagi kalau-kalau bukunya itu basah terkena hujan. Belum sempat air hujan nak mencacah titis-titis basah pada bajunya, Din berjaya sampai ke rumah terlebih dulu. "Huh!" Din menghela satu nafas lega. Pada pemikirannya, tuhan baru saja mempermudahkan urusan dia. Harapannya pada Rozita kian kukuh.

"Aku akan tulis kisah ni dalam surat tu nanti! Biar bergenang air matanya semasa membaca kisah epik pengorbanan aku ni." Getus Din bersemangat. Tangannya menggenggam plastik yang berisi pen dan buku kajang, dia langsung terlupa akan air liur Rajesh yang belum disertu pada tangkai plastik.

Hujan mula turun dengan hebat, mendesak zink-zink yang berkarat dan rapuh bertahan sekuat mungkin. Din berhadapan dengan meja sambil tangannya menongkat dagu. Pen biru dibiarkan atas sehelai kertas kajang yang dah dikoyak keluar daripada buku.

"Aku ingat kalau aku karang dalam jawi ni kang mahu runtuh ego bapak dia, tapi aku tak mahir jawi-jawi ni." Din menggelengkan kepala. Ideanya dah bernas, tapi agak sukar nak dilaksanakannya. Dia boleh menulis dan membaca jawi, tapi hukum hakam derlung misalnya, serta konteks penyambungan ayat itu yang dia tak berapa khatam.

"Ini semua salah Ijat Baung, kalau kecik dulu aku tak kawan dengan dia, dah jadi ahli dah aku bab jawi ni, ini tak, ustaz ajar hukum jawi kat depan, dia ajak sembang pasal Gundam dekat belakang." Din menyumpah kawan sekelasnya semasa di sekolah agama dulu.

"Ke hadapan Rozita,.."
Din memulakan ayat dalam rumi akhirnya. Setakat berpuluh-puluh minit di depan kertas, ayat itu sahajalah yang dirasakan sesuai. Dia mengetuk-ngetuk batang pen pada dahinya, tiada ilham baginya untuk meneruskan mukadimah tersebut. Din sedang berkira-kira betapa bagusnya kalau dapat diselitkan juga beberapa potong puisi pada karangan tersebut.

Warkah Kasih Mat RockWhere stories live. Discover now