Bab 2.3

62 5 0
                                    

Din memberi renungan syukur kepada Tuhan yang memberikannya ilham sebagai buah tangan. Pandangannya redup pada awan angker yang membina tembok memagari sinar bulan dan penghayatannya menusuk sampai ke lapisan langit hidayah Roqi'ah. Di pangkin sebelah pantai, hatinya pula berbelah bagi.

"Patut ke aku bagi surat ni ke Rozita? Amacam pendapat lu orang?" Din memandang Radhi dan Ghani. Dia meminta pendapat.

"Entahlah Din, kau ikut naluri kau lah, naluri ni benda ghaib, kau tau benda ghaib tak?" Tanya Radhi.
Din dan Ghani menaikkan kedua-dua belah bahu. "Tak tahu."

"Benda ghaib ni iras-iras magik lah, kau tak boleh nampak dengan mata kepala kau ni, tapi kau boleh rasa dekat sini." Radhi menepuk dadanya.

"Bila kita rasa dekat sini, kemungkinan dia tepat memang tinggi, adalah tinggi ni" Tangannya dinaikkan separas dahi. "Tapi kalau kau tanya pendapat orang, kemungkinan untuk tepat dah jadi begini." Tangannya diturunkan ke paras betis kaki.

Din mengangguk lembut, raut wajahnya masih pahit. Keyakinannya yang membara siang tadi kian longgar, dia tak pasti kalau hati dia mampu memberikannya jawapan

"Fuh! Lu memang power Di!" Balas Ghani sambil memberikan satu isyarat bagus yang bergegar.

Ghani memejamkan mata. Dia cuba menghafal kembali poin-poin Radhi tadi untuk dia muat naik sebagai status di Facebook bila dia log in dekat cc siang esok.

"Ha, amacam oke tak Din?" Tanya Radhi, dia menepuk belakang badan Din.

"Eh oke oke..aku oke." Din tersentak seraya dia mengangguk laju, gabra dia semacam.

Din melompat turun dari pangkin, pendaratannya tangkas. Dia berdiri tegak semula dan membelakangkan Radhi dan Ghani di pangkin, tangannya di sematkan ke dalam poket seluar.

"Gadisku..seri mewangi..bagai disiram, selautan kasturiii..."

Dia dapat menangkap bayangan lagu hit 'Gadisku' dinyanyikan Amy dengan sedap. Pantas dia dapat merasakan bahawa Amy Search sedang cuba berkomunikasi dengannya menggunakan satu talian hayat, talian dimana, hanya keimanan rock yang utuh dan suci saja yang dapat menjayakannya. Selama ini pun, ikatan rock antara Din dan lagu-lagu Amy Search memang ngam. Melalui bayangannya tadi, Din dapat merasakan satu dorongan yang segar, seolah-olah Amy Search baru saja menepuk bahunya sambil berkata, "Gua sentiasa dekat belakang lu bro!"

Din memusingkan badan ke arah pangkin. "Aku dah fikir elok-elok, aku ingat dalam esok atau lusa aku nak balik kampunglah jenguk orang tua aku, sambil-sambil, bolehlah aku serah surat ni dengan tangan aku sendiri, dia terima atau tak, itu belakang kira, sekurang-kurangnya aku cuba." Ucap Din sambil memegang sepucuk surat yang dah disamak dengan bedak talkum. Pada sepasang matanya, ada terpancar sinar baru, dia memandang tepat pada Radhi dan Ghani yang sibuk mengaji kod-kod sukar pada gitar.

"Huuuuuuu..." Din menghela satu nafas panjang.

"Aku dapat rasakan Amy Search dah memberi restu dengan keputusan aku ni." Monolognya dalam hati. Dia memandang ke arah langit, Amy menguntumkan satu senyuman dan mengenyitkan mata ke arah Din sebelum dia hilang di telan permata dan nilam langit ketujuh, langit zabarjad.

Warkah Kasih Mat RockWhere stories live. Discover now