Margandat - BAB 2

190 17 2
                                    

Lewat petang itu, seisi warga perkampungan Gandat gempar dengan penemuan mayat tanpa kepala di dalam sampan di pinggir tasik berhampiran sebuah jeti. Penemuan itu telah mencetuskan suasana huru-hara dan kekecohan kepada penduduk setempat.

Keamanan,kedamaian dan ketenteraman yang mereka nikmati selama ini sudah tercalar. Keresahan mula terpancar di wajah warga tua. Mereka sudah sekian lama mendiami perkampungan tersebut. Sudah tentu segala peristiwa lampau masih segar diingatan mereka.

Kejadian berdarah yang terbaru ini seperti mengasak mereka untuk menyingkap kembali sebuah rahsia lama. Rahsia yang telah disimpan kejap daripada pengetahuan generasi baharu. Mengingatinya umpama memanggil bala. Sebolehnya rahsia itu mahu di bawa ke dalam kubur bersama. Biar bersemadi tenang bersama mereka. Agar anak cucu mereka dapat hidup aman dan tenteram.

Wajah Tuk penghulu kelihatan keruh. Kerutan wajahnya semakin jelas terbentuk. Kewibawaan dirinya sebagai penghulu perkampungan Gandat bakal teruji. Antara warga tua yang masih hidup, dia juga salah seorang penyimpan rahsia.

Kebimbangan mulai menjalar di segenap urat darah pada tubuhnya. Lambat laun rahsia itu akan terbongkar juga walau sedaya upaya cuba dipendam ketat. Kejadian terbaru ini menambahkan lagi resah di wajahnya.

"Angkat mayat Ramli dan bawa ke rumahnya". Arah Tuk penghulu kepada anak-anak buahnya. Jasad tanpa kepala yang dikenalpasti sebagai Ramli itu segera diangkat keluar daripada dalam sampan. Mayat itu diletakkan di atas sehelai kain yang telah dibentangkan di atas tanah. Pengecaman telah dilakukan oleh ahli keluarganya berdasarkan sampan dan pakaian pada mayat walaupun tanpa kepalanya yang masih tidak ditemui.

Mayat Ramli dibalut dengan kain sebelum diusung ke rumahnya oleh beberapa orang pemuda yang berbadan kekar. Mereka kelihatannya sungguh gagah sekali.

Tok Penghulu dan orang kampung yang berada disitu berjalan mengiringi mayat Ramli. Desas-desus dalam kalangan orang kampung mula kedengaran. Masing-masing dengan tafsiran tersendiri yang menjurus kepada sesuatu yang bersifat ngeri dan menakutkan. Yang menjadi punca kepada kematian Ramli.

Beberapa orang pemuda kampung yang sedang mencari-cari di dalam air menggunakan beberapa buah sampan serta di semak berhampiran kelihatan hampa. Kepala Ramli tidak juga ditemui. Puas mereka mencari. Di dasar tasik berhampiran sampan juga telah diselam.

Pencarian terpaksa dihentikan apabila hari mulai gelap. Kegelapan malam bukan sahaja menyukarkan pencarian malah boleh mengundang malapetaka . Atau lebih teruk nasib mereka juga boleh jadi seperti Ramli. Mati dalam keadaan mengerikan.

Suara tangisan dan raungan kedengaran memenuhi ruang dan persekitaran rumah Ramli. Mayat Ramli ditempatkan di tengah-tengah ruang tamu rumah yang berdindingkan papan. Mayat Ramli ditutup dengan kain batik sepenuhnya dari kepala hingga ke kaki walaupun tanpa kepala.

Surah Yasin dibacakan oleh marga yang hadir. Alunan suara bacaan yassin menimbulkan suasana sayu dan hina. Mereka duduk bersila mengelilingi mayat Ramli. Beberapa lampu kalimantang menerangi segenap ruang yang dilanda kesuraman tersebut.

"Mayat Ramli ni, hendak dikebumikan malam ini juga ke, Tuk?" Tanya Zaki, salah seorang pemuda yang turut terlibat dalam pencarian pada siang hari tadi.

"Kepalanya sudah ditemui?" Soal Tuk Penghulu serius.

"Belum lagi ,Tuk. Kami dah cari di kawasan sekitar, tapi tak jumpa. Mungkin sudah di baham binatang buas." Zaki menyatakan pendapatnya.

"Binatang buas apa yang hanya baham kepala sahaja?". Zaki membisu. Kata-kata Tuk Penghulu itu ada benarnya juga. Binatang apa yang cuma baham kepala sahaja? Sedangkan jasad sedikit pun tidak disentuh. Tambah pula, tiada kelihatan sebarang kesan tapak kaki binatang berdekatan mayat Ramli ditemui.

Tuk Penghulu naik ke atas masuk je dalam rumah berjumpa Rahim, ayah kepada Ramli. Lelaki itu kelihatan sungguh berduka cita dengan tragedi yang menimpa anaknya. Ramli adalah anak tunggal Rahim dan Maziah. Selama ini, Ramli lah yang menjadi tulang belakang keluarga mereka sejak kesihatan Rahim tidak berapa memuaskan kebelakangan ini.

"Rahim, aku fikir lebih baik kita segerakan pengebumian mayat Ramli. Kita kena kebumikan malam ini juga. Lagi pula tak baik disimpan lama-lama mayat di dalam rumah." Saran Tuk Penghulu.

"Iya Tuk. Saya pun fikir begitu." Rahim bersetuju dengan saranan Tuk Penghulu.

"Baguslah begitu. Aku dah arahkan orang gali kubur lepas maghrib tadi. Pasal kepala yang belum jumpa tu, kita akan teruskan pencarian esok. Semoga dipermudahkan urusan kita"

"Kalau begitu Tuk, tak apa la. Saya pergi siapkan persiapan untuk mandikan dan mengkafankan mayat dahulu." Rahim meminta diri.

Tuk Penghulu mengalih pandangan ke arah mayat Ramli yang terbaring kaku di bawah hamparan kain batik. Timbul perasaan simpati di hatinya terhadap nasib yang diterima oleh Ramli. Kerajinan Ramli menyenangkan hatinya dan seluruh penduduk kampung Gandat. Menurut pengetahuan dia, Ramli bukan la jenis orang yang suka membuat masalah atau menyakiti hati sesiapa. Namun kejadian yang menimpa arwah ternyata meruntun hati mereka semua.

MARGANDATWhere stories live. Discover now